- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

PKPB Tidak Menghalang Operasi Pencegahan dan Penguatkuasaan Hutan

Must read

art-178-03-20

Selaras sumbangan besar sektor perhutanan serta industri perkayuan kepada pembangunan negeri dan rakyat Sarawak, sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dikuatkuasakan, beberapa aktiviti utama Jabatan Hutan Sarawak seperti pembalakan, industri perkilangan papan lapis (Plywood Mill) dan kayu gergaji (Sawmill) serta perladangan hutan (forest plantation) telah dibenarkan untuk beroperasi tetapi perlu mematuhi sepenuhnya SOP Pengawalan Wabak COVID-19 yang telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan.

Kebenaran beroperasi ini juga adalah tertakluk kepada penggunaan tenaga kerja yang minimum, mematuhi ketetapan dan syarat-syarat yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dari masa ke semasa. Mereka juga dikehendaki untuk mengambil langkah-langkah pengawalan yang ketat bagi menggelak penularan wabak COVID-19.

Walaupun akur dan patuh kepada arahan semasa Kerajaan Negeri Sarawak selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal penularan wabak COVID-19, Jabatan Hutan Sarawak sentiasa meneruskan operasi pencegahan dan penguatkuasaan hutan di negeri ini.

Sejak dilancarkan pada 13 April lepas, operasi ini yang melibatkan beberapa siri pemantauan melalui udara dan penguatkuasaan melalui daratan dan air telah berjaya mengesan dan mematahkan beberapa siri pencerobohan dan pembalakan haram di beberapa lokasi utama di negeri Sarawak iaitu di Bahagian Sibu, Samarahan, Tatau dan Bintulu Water Catchment di Bahagian Bintulu, serta Zon Buffer di Daerah Lawas.

Melalui operasi-operasi yang dilaksanakan di sepanjang tempoh PKP ini, Jabatan Hutan Sarawak telah berjaya merampas sebanyak 3,712 atau 4,825.6 meter padu kayu balak pelbagai saiz dan spesies yang dianggarkan bernilai RM627,328 berdasarkan kadar royalti dan cess semasa.

Turut dirampas ialah 2 buah jengkaut, sebuah lori serta pelbagai peralatan lain yang digunakan bagi melaksanakan aktiviti haram berkenaan. Dalam operasi ini juga, seorang suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Jabatan Hutan Sarawak mengambil maklum ada sesetengah pihak di luar sana yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan pembalakan haram dengan sewenang-wenangnya sepanjang tempoh PKP ini.

Mereka beranggapan bahawa Jabatan Hutan Sarawak tidak melakukan sebarang kawalan ataupun operasi penguatkuasaan. Tanggapan ini adalah meleset sama sekali kerana Jabatan Hutan Sarawak mempunyai pelbagai peralatan moden dan kakitangan yang mencukupi untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan serta mengawasi setiap inci hutan di negeri.

Pada masa akan datang, Jabatan Hutan Sarawak akan terus memperkasakan lagi operasi ini dengan menggunakan pelbagai peralatan moden yang lain bagi memastikan kegiatan haram ini dapat dikawal dan dibendung sepenuhnya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article