Rakyat Sarawak yang berhasrat untuk menceburi bidang keusahawanan kini boleh memohon enam program bantuan yang ditawarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak.
Program-program bantuan tersebut termasuklah Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Sarawak Marketing Development, Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dan Skim Kredit Mikro Sarawak bagi usahawan B40.
Di bawah program GERAK, lepasan universiti yang ingin menceburi bidang perniagaan diberikan geran RM20,000 maksimum.
Manakala menerusi program USTEV pula, mereka yang memiliki sijil teknikal dan vokasional juga akan diberi geran sebanyak RM20,000 untuk membeli peralatan mesin komputer dan sebagainya.
Jumlah geran yang sama, iaitu sebanyak RM20,000 akan diberikan kepada mereka yang terlibat dalam program Sarawak Marketing Development.
Bagi bantuan di bawah Sarawak e-Commerce and Innovation, mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang baharu dan dalam sektor e-Dagang akan menerima amaun di antara RM5000 hingga RM20,000.
Bantuan maksimum berjumlah RM250,000 dengan kadar faedah 4% berlandaskan konsep ‘decreasing balance’ diberikan kepada mereka yang menyertai Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).
Di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak (usahawan B40), pinjaman di antara RM1000 hingga RM10,000 tanpa faedah akan diberikan manakala bagi golongan M40 pula, pinjaman dberikan dari RM1000 hingga RM50,000 dengan faedah 4% sebulan.
Kedua-dua skim pinjaman tersebut dikendalikan oleh Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Menurut Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan YB Datuk Hj. Mohd Naroden Majais, inisiatif yang dijalankan MINTRED ini bertujuan untuk merancakkan lagi bidang keusahawanan di Sarawak.