Permohonan penyertaan Program Pertanian Bandar akan dibuka sehingga 31 Julai 2020 dan borang permohonan boleh dimuat turun di laman sesawang www.doa.gov.my
Program Pertanian Bandar yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) bertujuan membantu isi rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar meringankan kos sara hidup mereka.
Program ini melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan.
Program Pertanian Bandar adalah satu pendekatan yang praktikal dan dilihat dapat mengurangkan perbelanjaan harian berikutan kenaikan kos sara hidup di bandar juga terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara kita selama lebih kurang tiga bulan yang lalu.
Oleh itu, mereka digalak untuk terlibat dalam program menanam sayur-sayuran atau tanaman makanan di sekitar kediaman mereka supaya beban kenaikan kos sara hidup dapat dikurangkan.
Selain itu, ia juga dapat mewujudkan interaksi sosial dan menggalakkan komunikasi di kalangan komuniti bandar serta membantu dalam menjamin keselamatan makanan.
Pengintegrasian pertanian dalam perancangan dan pembangunan perbandaran adalah penting untuk pembangunan mampan dari segi pelbagai aspek kehidupan dan keperluan kehidupan bandar termasuk bekalan bahan makanan, penghijauan persekitaran, pengurusan air dan bahan buangan bandar, pendidikan serta riadah.
Sehubungan itu, kerajaan melalui Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah menawarkan pakej sumbangan barangan dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan latihan kepada individu dengan nilai RM500 (maksimum) dan RM50,000 (maksimum) bagi setiap komuniti.
Pakej sumbangan ini akan memberi manfaat kepada 800 komuniti dan 12,000 penyertaan individu baharu dalam program pertanian bandar.