Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memilih tema ‘Wanita Waja Negara Sejahtera’ untuk sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan KPWKM pada 24 Ogos, tema tersebut bersesuaian dengan semangat serta pengorbanan golongan wanita di negara ini terutama ketika berdepan dengan pandemik COVID-19.
Golongan wanita merupakan tonggak kepada kejayaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada penglibatan secara langsung sebagai barisan hadapan mahupun tanggungjawab dalam institusi keluarga.
Kenyataan KPWKM turut memetik, tema berkenaan dipilih bagi memberi inspirasi kepada golongan wanita selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan dan pembangunan masyarakat serta negara.
Menyedari peranan wanita dalam pembangunan negara dari segi ekonomi dan kesejahteraan negara, KPWKM turut menyeru masyarakat agar bersama-sama bergerak dan menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa wanita melalui pelbagai pendekatan.