- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Tiada Kompromi Kepada Penceroboh Kawasan Hutan Simpan Kekal

Must read

art-413-01Pengarah Hutan Sarawak, YBhg Datu Hamden Haji Mohammad bergambar bersama peserta Bengkel Pegurusan Hutan Simpan kekal, Jabatan Hutan Sarawak 2020

Jabatan Hutan Sarawak tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan pencerobohan dalam kawasan yang telah di wartakan sebagai Kawasan Hutan Kekal (PFE). Terdapat pihak awam yang telah menceroboh kawasan tersebut untuk dijadikan sebagai kawasan ladang, perumahan dan sebagainya.

Jabatan Hutan Sarawak akan menggunapakai sepenuhnya peruntukan undang-undang yang ada dalam Forests Ordinance 2015 bagi mengekang aktiviti haram ini

Demikian menurut Pengarah Hutan Sarawak, YBhg Datu Hamden Haji Mohammad semasa berucap merasmikan Bengkel Pegurusan Hutan Simpan kekal, Jabatan Hutan Sarawak 2020 yang berlangsung di Kuching pada 25 Ogos 2020.

Beliau menambah, Kawasan PFE merupakan asset terpenting negeri ini yang perlu dijaga rapi kerana ia mempunyai nilai estitika yang tinggi serta memainkan peranan yang amat penting kepada kehidupan sejagat termasuklah menjadi sumber bekalan air yang bersih, penstabil alam sekitar, pembebasan gas oksigen dan sebagai sumber semulajadi makanan kepada para penduduk setempat.

Keistimewaan yang terdapat dalam kawasan PFE adalah setanding dengan yang terdapat dalam kawasan TPA kerana kawasan PFE amat sesuai dijadikan sebagai pusat rekreasi, riadah dan aktiviti sukan lasak.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Sarawak telah mensasarkan 6 juta hektar daripada keluasan negeri ini untuk dijadikan sebagai Kawasan PFE.

Sehingga kini, seluas 3.96 juta hektar telah pun berjaya diwartakan dan beliau yakin dan optimis, sasaran ini akan dicapai dalam waktu yang singkat kerana sebelum ini Jabatan Hutan Sarawak telah pun berjaya mewartakan kawasan seluas 0.89 juta hektar daripada sasaran 1 juta hektar sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dalam tempoh beberapa tahun sahaja sebelum diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation pada 2 Januari 2020 yang lepas.

Terdapat beberapa isu yang telah dikenalpasti membelenggu Jabatan Hutan Sarawak dalam menguruskan kawasan PFE. Antaranya tuntutan sempadan yang bertindih daripada penduduk setempat, pencerobohan serta terdapat penempatan haram di kawasan berkenaan juga.

Oleh yang demikian, Jabatan Hutan Sarawak telah dan sedang merangka tindakan yang pro aktif seperti penyatuan data-data tanah yang komprehensif dengan agensi-agensi yang berkenaan, penandaan dan pembersihan sempadan serta mengadakan pemantauan dari masa ke semasa.

Beliau menambah melalui bengkel yang diadakan selama dua hari ini, para peserta dapat merangka pelan tindakan yang lebih bersepadu bagi mencapai sasaran pewartaan PFE disamping mengenalpasti isu-isu dan permasalahan yang timbul semasa pemantuan PFE bagi mengurangkan konflik dengan masyarakat setempat.

Bengkel ini telah dihadiri oleh 100 orang peserta Jabatan Hutan Sarawak daripada Ibu pejabat dan Pejabat-pejabat Hutan Wilayah. Turut hadir ialah Timbalan pengarah Hutan Sarawak, Encik Jack Liam serta beberapa orang pegawai kanan Jabatan Hutan Sarawak yang lain.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article