- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kesan-kesan Buruk Buli

Must read

little girl bullying in school classroom

Buli adalah perbuatan atau tingkah laku agresif berulang yang sengaja dilakukan dengan tujuan untuk menyakiti individu yang lain dari segi fizikal, menta atau emosi.

Ciri-ciri buli merangkumi niat bermusuhan, ketidakseimbangan kuasa dan berulang dalam tempoh masa tertentu.

Buli dikelaskan dalam empat kategori, iaitu buli fizikal, buli lisan, buli berkaitan hubungan dan buli siber.

Buli fizikal adalah apa-apa buli yang melibatkan perbuatan memukul, menendang, mencuri, menyembunyikan atau merosakkan harta benda orang lain atau memaksa mangsa buli melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

Di peringkat sekolah, mangsa mungkin akan diejek, diseksa dan dipukul oleh rakan sekelas. Buli fizikal hendaklah dihentikan dengan segera kerana kadang-kadang ia berakhir dalam keadaan tragis seperti kecederaan parah atau kematian.

Buli lisan berkaitan dengan apa-apa buli yang dilakukan melalui percakapan seperti mengusik atau menghina, menyebarkan khabar angin (fitnah), mengancam dan mengejek orang lain. Ini adalah jenis buli yang paling biasa berlaku terutama di kalangan murid-murid sekolah.

Buli berkaitan hubungan dilakukan dengan niat untuk membuat seseorang berasa terpinggir atau ditolak seperti dengan keengganan untuk bercakap dengan seseorang, menghasut atau menggalakkan orang lain untuk membuli dalam beberapa cara.

Buli berkaitan hubungan adalah perkara biasa di kalangan belia, terutama pada kanak-kanak perempuan.

Berbeza dengan buli fizikal yang jelas, buli berkaitan hubungan tidak berlaku terang-terangan dan boleh terus berlaku untuk jangka masa yang lama tanpa diketahui.

Buli siber dilakukan melalui penggunaan teknologi seperti e-mel, mesej segera, laman rangkaian sosial seperti Facebook, mesej teks dan telefon bimbit yang bertujuan untuk mengganggu, mengugut, memalukan atau menyasarkan orang lain.

Buli siber boleh mengakibatkan seseorang pelaku dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman penjara jika perilaku tersebut memenuhi definisi gangguan siber atau siber-hendap.

Buli boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi dalam kehidupan mangsa sama ada untuk tempoh masa yang pendek atau berpanjangan.

Kajian telah menunjukkan bahawa mangsa buli lebih cenderung untuk merasa tertekan, kesunyian dan merasa cemas.

Mangsa juga mungkin akan mempunyai harga diri yang rendah. Manakala kesan fizikal pula termasuklah mengalami sakit kepala, sakit perut, keletihan dan kurang selera makan.

Mangsa dalam kalangan murid-murid sekolah mungkin akan cuba untuk tidak hadir ke sekolah, tidak suka sekolah seterusnya menjejaskan prestasi pelajaran.

Yang paling merisaukan adalah, perilaku buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa terdorong untuk membunuh diri, menyakiti diri sendiri secara fizikal atau cuba membunuh diri.

Kajian juga menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang terlibat dengan buli sama ada mereka yang membuli orang lain atau mereka yang dibuli mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kemurungan.

Hindari perbuatan buli atau elak daripada dibuli untuk keselamatan dan kesejahteraan bersama.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article