- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pejabat Pertanian Baharu Di Nanga Machan, Kanowit

Must read

Kerajaan Sarawak akan terus menjadikan sektor pertanian antara fokus utama untuk mempertingkatkan hasil ekonomi negeri Sarawak kerana yakin bahawa sektor ini mempunyai masa depan yang sangat cerah dan berpotensi untuk berkembang kukuh pada masa hadapan.

Melihat kepentingan sektor tersebut terhadap ekonomi negeri ini, Kerajaan Sarawak telah memberikan suntikan dana khas berjumlah RM700 juta kepada Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak (JPS).

Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika merasmikan pembukaan Pejabat Pertanian baharu di Nanga Machan, Kanowit pada 22 Oktober, lepas.

Pejabat Pertanian baharu di Nanga Machan, Kanowit yang bernilai RM4 juta itu dibina di kawasan seluas 1.2 hektar berhampiran Bazar Nanga Machan dan merupakan antara beberapa buah pejabat baharu JPS yang ditempatkan di kawasan luar bandar Sarawak.

Menurut Ketua Menteri, sektor pertanian di Sarawak mempunyai potensi yang sangat besar justeru, beliau mendorong rakyat negeri ini yang sedang menceburi bidang pertanian agar terus komited dan bersungguh-sungguh dalam mengusahakan projek-projek pertanian.

Sektor pertanian di negeri ini mempunyai potensi yang begitu besar buktinya, Sarawak telah mengeksport ikan patin dari Batang Ai dan ikan tilapia ke negara Singapura baru-baru ini untuk dipasarkan selain khinzir hidup yang bernilai RM70 juta turut dieksport pada tahun ini.

Bukan setakat itu saja, beliau turut dimaklumkan bahawa sayur paku midin turut dieksport ke Singapura menggunakan perkhidmatan udara untuk dipasarkan di negara tersebut dan sesungguhnya beliau tidak menyangka bahawa sayur midin turut mendapat permintaan yang tinggi daripada negara luar.

Kerana itu, beliau sangat yakin bahawa sektor makanan (pertanian) dari Sarawak mempunyai masa depan yang sangat cerah justeru, justeru Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian kepada sektor pertanian dengan memperkenalkan pelbagai cara moden untuk membantu golongan petani meningkatkan pendapatan mereka.

JPS kini sedang giat meningkatkan usaha memodenkan sektor pertanian negeri dengan menekankan program pengembangan termasuk memperkenalkan program dan aktiviti baharu bagi membantu para petani dan penternak menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Berucap semasa Majlis Perasmian Pejabat Pertanian baharu Nanga Machan itu, Ketua Menteri telah mengumumkan dua projek penting untuk manfaat rakyat di Daerah Kanowit khasnya Nanga Machan.

Projek yang pertama ialah pembinaan Jalan Ulu Machan dari Nanga Jerangku sepanjang 10 kilometer yang akan menghubungkan para penduduk dari 10 buah rumah panjang di kawasan berkenaan dan projek yang kedua ialah pembinaan Tebingan Pekan Machan dengan kos sebanyak RM3 juta.

Projek pembinaan Jalan Ulu Machan akan dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) manakala projek pembinaan Tebingan Pekan Machan akan dijalankan di bawah pelaksanaan Majlis Daerah Kanowit (MDK).

Selain itu, sebagai komitmen Kerajaan Sarawak dalam membawa kemajuan kepada rakyat di kawasan luar bandar, Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa peruntukan untuk membina sebuah pasar baharu di Kanowit bagi menambah keluasan pasar sedia ada juga sudah diluluskan.

Mengulas kenyataan tersebut Ketua Menteri berkata, projek yang diluluskan ini bukan sahaja demi manfaat jangka panjang penduduk setempat malah turut membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Sebagai rekod, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan besar berjumlah RM797 juta pada tahun ini untuk memodenkan sektor pertanian di Sarawak dengan matlamat akan menjadi penyumbang dalam sektor pertanian kepada keluaran dalam negeri  khususnya oleh industri pengeluaran makanan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article