- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek Pembinaan Semula SK Sebemban Dijangka Bermula dalam Masa Terdekat

Must read

Kerajaan Sarawak bersetuju untuk melaksanakan Projek Gantian Penuh SK Sebemban, Spaoh.

Menurut Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, YB Dr Haji Annuar Rapaee, persetujuan untuk melaksanakan projek berkenaan dibuat memandangkan sekolah tersebut terletak di tebing sungai dan berisiko untuk mengalami hakisan dan terdedah pada banjir.

Bangunan baharu SK Sebemban akan dibina di lokasi sejauh 1.5 kilometer dari lokasi asal.

Bilik darjah yang selamat dan selesa merangsang sesi pengajaran dan pembelajaran (Gambar Hiasan)

Skop projek merangkumi pembinaan enam buah bilik darjah, enam unit kuarter guru termasuk sebuah bangunan pra sekolah bagi menampung populasi di sekitar Sebemban.

Jelas YB Dr Haji Annuar, tender untuk projek tersebut telah pun ditutup dan sedang dalam proses penilaian oleh Federal Centre Tender Board Evaluation dan projek dijangka bermula dalam masa terdekat.

Beliau memaklumkan perkembangan tersebut sebagai menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, YB Razi Sitam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, 9 November lepas.

YB Dr Haji Annuar merangkap Menteri Muda Perumahan turut memberi respon terhadap pertanyaan YB Razi mengenai perkembangan projek sekolah daif di kawasan Saribas.

Jelas beliau, SK Tanjung Asam, Saribas telah dikenal pasti untuk dibaik pulih di bawah peruntukan bayaran kontra RM1 bilion di antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

Sementera itu, sebanyak 13 buah sekolah di kawasan DUN Saribas telah dibaik pulih dengan kos perbelanjaan keseluruhan daripada pelbagai peruntukan yang berjumlah RM35.12 juta.

Peruntukan-peruntukan tersebut termasuklah peruntukan di bawah Rancangan Malaysia, bayaran kontra RM1 bilion, Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan peruntukan baik pulih tahunan yang disalurkan oleh Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article