- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Respon Anak Muda Kampung Tringgus Bong Terhadap Transformasi

Must read

Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan telah membangunkan Kampung Tringgus Bong dengan menyediakan pelbagai infrastruktur asas bagi memastikan penduduk menikmati kehidupan yang berkualiti setanding dengan penduduk di kampung-kampung yang lain.

Susulan itu baru-baru ini, RAKAN Sarawak telah menjejaki kampung tersebut dan menemuramah beberapa orang anak muda untuk melihat respon mereka terhadap transformasi yang berlaku.


Jambatan gantung Kampung Tringgus Bong
 

Jemen anak Jagan, 28, mengakui pelbagai bentuk pembangunan telah dilaksanakan di kampung mereka, dan menurut beliau, gelanggang futsal antara kemudahan yang telah memberi impak yang besar kerana ia telah mengubah sikap anak-anak muda di kampung Tringgus Bong.

Sebelum adanya gelanggang futsal, anak-anak muda di kampung ini tidak aktif kerana tiada kemudahan atau tempat yang sesuai untuk bersukan.

Berbanding sekarang, anak-anak muda semakin aktif, malah setiap petang gelanggang futsal pasti meriah dikunjungi anak-anak muda untuk menjalankan pelbagai aktiviti sukan. 

Jamen berharap kampung mereka akan menerima lebih banyak projek pembangunan pada masa akan datang lebih-lebih lagi pembinaan dewan serbaguna yang sangat diperlukan untuk menjalankan pelbagai aktiviti kampung.

Kendrix Callysia Baon, 17, berasa bangga kerana terdapat sistem Tagang yang telah dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Bau di kampung mereka yang pasti akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke kampung Tringgus Bong.

Beliau memberitahu, sebuah Pusat Informasi Pelancongan telah dibina di kampung mereka untuk memudahkan para pelancong mendapat informasi tentang produk-produk pelancongan di kampung ini.

Kendrix Callysia berhasrat mempromosikan keindahan alam semulajadi serta adat resam kampung Tringgus Bong seperti perayaan Gawai Guna melalui media sosial kerana ia adalah satu-satunya produk pelancongan yang menarik di kampung ini.

Ashly Alyssa Esther anak Sudin, 16, bersyukur dengan pembangunan yang telah berlaku di kampung mereka dan antara kemudahan yang telah memberi impak besar kepada beliau sebagai seorang pelajar ialah pembinaan Terminal Aperture Sangat Kecil (VSAT).

Dengan adanya kemudahan VSAT tersebut, mereka telah dapat berhubung dengan saudara-mara dan kawan-kawan yang berada di kawasan yang jauh, malah orang-orang kampung kini boleh mengakses internet untuk tujuan pembelajaran dan mengetahui isu-isu semasa.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak dapat belajar di sekolah seperti biasa, namun masih dapat berhubung dengan guru-guru serta rakan-rakan yang lain bahkan dapat mengikuti kelas secara maya dengan adanya kemudahan internet di kampung mereka.

Zander Yan Eden, 16, rasa bertuah kerana tinggal di sebuah kampung yang kaya dengan keindahan alam semulajadi seperti memiliki sungai yang bersih, air terjun yang cantik, kawasan gunung yang sesuai untuk didaki, serta pemandangan di sekitar kampung yang sangat indah.

Banyak kemajuan yang sudah dapat dilihat dan yang paling memberi impak besar kepada penduduk kampung ialah pembinaan jalan raya berturap kerana ia telah memudahkan pergerakan orang kampung ke mana-mana.

Beliau komited untuk menyumbang tenaga kerja dengan menyertai gotong-royong membersihkan kawasan kampung kerana kebersihan kampung adalah faktor yang dapat menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang ke kampung ini.

Samuel Asriel anak Daos, 15 turut berkongsi keistimewaan yang terdapat di kampung Tringgus Bong selain menyatakan rasa gembira ke atas kemajuan kampung mereka.


Tempat parkir kenderaan dan gelanggang futsal Kampung Tringgsu Bong

Antara pembangunan yang sangat memberi impak kepada Samuel ialah kemudahan bekalan elektrik 24 jam kerana sewaktu masih bergantung kepada generator, beliau hanya dapat membuat kerja sekolah pada waktu siang berbanding sekarang semuanya sudah dapat dilakukan pada waktu malam.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article