- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Memupuk Sikap Kesegeraan Dalam Perkhidmatan Awam

Must read

Masalah sikap di kalangan penjawat awam adalah salah satu masalah yang berakar umbi sejak sekian lama dan sering diperkatakan oleh rakyat.

Apatah lagi apabila masalah sikap ini sering dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik seperti lambat bertindak atau lewat memberikan perkhidmatan, tidak mesra, tidak cekap, kurang pengetahuan dan sebagainya.

Perubahan sikap negatif kepada sikap positif boleh diubah, biarpun mengambil masa yang lama. Menghantar penjawat awam menghadiri kursus, latihan dan kaunseling adalah sebahagian daripada usaha untuk mengubah sikap penjawat awam, namun usaha-usaha tersebut mungkin tidak memadai.

Perubahan sikap perlu dilakukan dengan kesungguhan daripada individu itu sendiri. Sikap suka berlengah dan tiada kesegeraan boleh dikatakan antara sikap yang menyebabkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terjejas.

Dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, sikap positif individu dan kumpulan dibentuk melalui pengurusan perubahan budaya yang menerapkan Enam Nilai Bersama.

Nilai-nilai bersama tersebut mencakupi Sikap Kesegeraan dan Semangat Sepunya selain Integriti, Baik hati dan Prihatin, Profesionalisme, Semangat Berpasukan dan Berorientasikan Hasil.

Sikap kesegeraan di sini ditakrifkan sebagai tindakan cepat penjawat awam dalam melaksanakan tugas tanpa melengah-lengahkan masa.

Nilai ini menuntut agar tugas yang dilaksanakan adalah atas dasar tanggungjawab dan kesetiaan kepada organisasi.

Sebenarnya, selain latihan dan bimbingan, pelbagai usaha telah pun dilaksanakan oleh perkhidmatan awam negeri dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan pada kadar segera.

Salah satu daripada usaha menyegerakan perkhidmatan kepada rakyat ialah dengan mewujudkan Service Sarawak.

Pusat perkhidmatan sehenti tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan urusan rakyat dengan kerajaan dapat disegerakan.

Hal ini dikatakan demikian kerana Service Sarawak menawarkan pelbagai perkhidmatan agensi Kerajaan Negeri yang disepadukan.

Pewujudan Service Sarawak juga merupakan salah satu inisiatif yang menggambarkan polisi ‘no wrong door’ yang diamalkan dalam perkhidmatan awam negeri.

Berbalik kepada sikap kesegeraan, sikap ini boleh dipupuk dengan memiliki perasaan bangga ketika melaksanakan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

Berbangga di sini bukanlah bermaksud bermegah-megah dengan pangkat atau jawatan yang dipegang, tetapi sebaliknya, penjawat awam perlu memiliki rasa bangga kerana diamanahkan untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana perkhidmatan yang diberikan adalah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Di samping itu juga, keseronokan dalam bekerja juga perlu dicari kerana dengan perasaan bangga dan seronok, tidak mustahil bahawa sikap kesegeraan dalam melaksanakan tanggungjawab akan wujud secara semula jadi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article