- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Amalan Berkongsi Ilmu di Tempat Kerja Perlu Diperkasakan

Must read

Perkongsian ilmu di kalangan rakan sekerja sangat penting kerana ilmu yang dikongsi tidak akan pernah berkurangan sebaliknya akan semakin bertambah sehingga memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Lebih banyak kita berkongsi ilmu, lebih mendalam kefahaman kita dalam sesuatu perkara malah, amalan ini akan dapat membantu rakan sekerja yang lain untuk memperbaiki kelemahan diri seterusnya dapat membantu organisasi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Sesetengah individu lebih cenderung mencari pengetahuan daripada menyumbang pengetahuan kepada orang lain sedangkan jika difikir secara rasional, menyumbang pengetahuan adalah satu komitmen untuk memanfaatkan maklumat yang dimiliki kepada khalayak yang lebih luas.

Dalam sebuah organisasi, maklumat yang dimiliki secara perseorangan tidak akan memberi sebarang nilai sehingga ia dipindahkan kepada rakan sekerja yang lain.

Oleh itu, perkongsian pengetahuan perlu diperkasakan dari semasa ke semasa kerana secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan atau orang awam.

Kesediaan berkongsi pengetahuan menunjukkan bahawa bagaimana seseorang itu bersedia untuk memberitahu rakan sekerja tentang apa yang mereka lakukan, pengalaman baharu yang diperolehi atau maklumat penting yang perlu diketahui oleh rakan sekerja yang lain.

Sikap mudah berkongsi tentang apa yang mereka tahu, yakin dalam kebolehan mereka berkongsi ilmu dan yakin dengan ilmu yang dikongsi akan dapat meningkatkan prestasi rakan sekerja.

Kita sentiasa diingatkan bahawa ilmu pengetahuan itu sangat penting dalam kehidupan kita kerana apa yang hendak kita lakukan selalunya berpandukan ilmu pengetahuan bahkan merupakan kunci bagi mencapai kejayaan, keselamatan dan kesejahteraan hidup.

Pelajar dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UNIMAS berkongsi ilmu pengetahuan kepada masyarakat di Kampung Sebelu, Sebuyau

Kehidupan tanpa ilmu bermakna kita berada dalam kejahilan dan kemunduran kerana ketinggian ilmu pengetahuan selalu menjadi ukuran yang sangat penting dalam membezakan diantara kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa mahupun negara.

Namun, apa yang penting adalah seseorang yang berilmu haruslah menggunakan ilmu yang diperolehi dengan sebaik-baiknya dan jangan gunakan ilmu yang dimiliki sekadar untuk kepentingan diri semata-mata.

Lokek akan ilmu tidak akan membawa keuntungan kepada diri sendiri bahkan merugikan semua pihak kerana ilmu tidak akan berkurang jika dikongsi sebaliknya akan bertambah banyak.

Ilmu yang tinggi belum mampu menjamin seseorang menjadi yang terbaik dan disebabkan itu, kita tidak harus kedekut ilmu kerana ia akan menyempitkan lagi ilmu yang dimiliki dan membantutkan perkembangan ilmu tersebut untuk mencapai lebih kejayaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article