- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Warga Pihak Berkuasa Tempatan Diseru Kukuhkan Amalan Integriti

Must read

Semua warga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diseru agar terus bersabar, beristiqamah dan mengukuhkan amalan integriti sebagai usaha membanteras segala bentuk perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

PBT memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sesebuah negeri, wilayah dan daerah sehingga telah diiktiraf sebagai barisan hadapan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Sebagai barisan hadapan, sudah tentu warga PBT berhadapan dengan cabaran besar dalam melayan pelbagai karenah pelanggan.

Tidak cukup dengan itu, warga PBT turut berhadapan dengan pelbagai tohmahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa apabila tidak memenuhi permintaan segelintir pihak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak YB Dato’ Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada 9 Disember 2020.

Perkara ini ditegaskan oleh Pengarah SPRM Sarawak YBhg Dato’ Badrul Shah bin Norman semasa berucap pada Majlis Pelancaran Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada 9 Disember 2020.

Beliau mendedahkan, hasil soal selidik HARA 2018 amat memeranjatkan apabila dicatatkan sebanyak 418 (11%) daripada 3,810 responden penjawat awam mengaku akan melakukan rasuah sekiranya mereka mempunyai kuasa dan peluang.

Manakala berdasarkan statistik SPRM, penjawat awam adalah kumpulan yang paling ramai ditangkap kerana kesalahan rasuah.

Setiap tahun, hampir separuh daripada tangkapan keseluruhan SPRM adalah melibatkan penjawat awam dan sesungguhnya senario ini amat membimbangkan.

Jelas beliau, ketiadaan integriti kepada seseorang penjawat awam yang mempunyai kuasa dan peluang merupakan punca utama mereka terlibat dengan rasuah.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa kerana tindakan SPRM adalah tegas dan tidak mengira sesiapa.

Menurut beliau, kebanyakan kes yang melibatkan penjawat awam adalah berkaitan kesalahan meminta dan menerima rasuah sehingga menjadi ‘bleeding area’ kepada penjawat awam.

Kerana itu, tema program HARA 2020 kali ini telah ditetapkan sebagai ‘PBT Perangi Pemberi Rasuah’ untuk menyeru semua warga PBT agar segera melaporkan kepada SPRM sebarang tawaran rasuah daripada mana-mana pihak.

Beliau percaya tindakan memerangi pemberi rasuah boleh meningkatkan imej dan kredibiliti PBT sebagai pelaksana amanah rakyat lagipun kita perlu memberi mesej kepada masyarakat bahawa tiada harga yang mampu membayar maruah kita dalam melaksanakan amanah itu.

Beliau menegaskan bahawa pembanterasan rasuah merupakan tanggungjawab dan amanah bersama yang perlu dipikul oleh semua pihak sama ada agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik, institusi agama, mahasiswa, pelajar sekolah mahupun ibu bapa.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article