- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Cabaran Meningkatkan Kualiti Pemimpin Dalam Perkhidmatan Awam

Must read

Kecemerlangan perkhidmatan awam merupakan asas kukuh yang akan menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan perkhidmatan memerlukan kepimpinan yang jitu daripada pemimpin dalam mana-mana organisasi perkhidmatan awam.

Sesetengah pendapat mengatakan, kepimpinan adalah bakat semula jadi dan sesetengah pendapat lain mengatakan bahawa pemimpin dapat dilahirkan melalui latihan dan tunjuk ajar.

Walau apa pun pendapat yang disuarakan, melahirkan pemimpin mahupun meningkatkan kualiti pemimpin pasti ada cabarannya, terutama dalam perkhidmatan awam.

Pemimpin yang berkualiti bijak menangani apa saja cabaran dan rintangan yang dihadapi dalam organisasi

Berikut merupakan beberapa cabaran dalam meningkatkan kualiti pemimpin dalam perkhidmatan awam:

Kedudukan dan Pangkat

Kedudukan dan pangkat merupakan isu yang telah sekian lama menghantui kepimpinan dalam perkhidmatan awam, terutama bagi negara-negara miskin dan rakyat yang berpendapatan rendah.

Kesan dari rakyat yang miskin dan pegawai kerajaan yang berpendapatan rendah mudah menjejaskan nilai integriti dalam diri mereka.

Hal ini dikatakan demikian kerana pangkat dan kuasa memberi cabaran dan kesan yang besar kepada suasana dalam perkhidmatan awam.

Jika diletakkan kayu pengukur dalam sesuatu masyarakat, golongan pemimpin dalam perkhidmatan awam yang berpangkat tinggi akan dipandang tinggi sementara pegawai bawahan akan dipandang rendah kerana status yang rendah.

Maka, isu ini adalah satu cabaran yang besar kepada semua pihak untuk meningkatkan taraf dan status kedudukan penjawat awam.

Tahap kedudukan dan status pangkat penjawat awam akan menyebabkan ahli atau anggota masyarakat mengubah persepsi pemikiran dan kedudukan seseorang pemimpin terhadap taraf kehidupan yang lebih selesa dan sempurna.

Kejujuran dan Keikhlasan

Nilai kejujuran dan keikhlasan menjadi asas yang kukuh dalam pembangunan sumber manusia dan organisasi kerajaan agar mampu melahirkan pemimpin yang berkualiti.

Tanpa kedua-dua nilai tersebut, kepercayaan orang di sekeliling akan hilang. Namun, cabaran utama dalam memastikan penerapan kedua-dua elemen di atas adalah penzahiran keadilan dalam pelaksanaan penerapan.

Ini kerana kelompok individu dalam organisasi yang dipimpin melihat sejauh mana pemimpin tersebut dapat benar-benar memahami tanggungjawab tersebut dengan asas kejujuran dan keikhlasan yang kukuh, seterusnya mampu menjadi teladan kepada orang yang dipimpin.

Membina Masa Depan Generasi Pemimpin

Mewujudkan amalan budaya murni dalam masyarakat dan negara merupakan cabaran yang paling besar dalam memastikan kecemerlangan pemimpin dalam sesebuah organisasi, khususnya perkhidmatan awam.

Membina masa depan generasi pemimpin memerlukan perancangan yang khusus kerana negara perlu mewujudkan dasar pewarisan dan pengganti yang jelas berhubung dasar mewujudkan pemimpin yang nyata agar generasi akan datang dapat membina keutuhan masyarakat mampan yang menjadi generasi pemimpin negara.

Pemimpin masa hadapan mestilah mempunyai wawasan yang jelas serta tahap kepimpinan yang lebih tinggi dalam aspek pembangunan sumber manusia dan tidak hanya melihat kepada aspek ekonomi negara.

Sehubungan dengan itu, kecemerlangan sesebuah negara itu akan banyak bergantung pada acuan pemimpin yang perlu dibentuk ke atas generasi yang mendatang agar semua kelemahan ke atas proses sedia ada dapat dikenal pasti bermula dari sistem pendidikan awal hingga ke peringkat pendidikan tertinggi.

Kaedah Pendidikan Awal Hingga Pengajian Tinggi

Kaedah Pendidikan awal dan pengajian tiggi memainkan peranan penting dalam membentuk barisan pemimpin yang mempunyai integriti dan asas pegangan yang kukuh.

Komponen integriti, jati diri dan pembangunan kapasiti sumber manusia hendaklah diterapkan dengan lebih awal menerusi penggemblengan usaha bersepadu para guru, pendidik dan pensyarah.

Benarlah bahawa didikan awal bermula dari institusi keluarga, namun usaha sedemikian juga perlu dilakukan bagi melahirkan mereka yang benar-benar layak memimpin dan mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin sebenar.

Oleh yang demikian, bagi memastikan kelangsungan kepimpinan negara yang berkualiti sama ada di peringkat pentadbiran dan sokongan, pendidikan berhubung pembentukan dan siasah pemimpin yang berintegriti dan berkaliber hendaklah dilaksanakan secara sistematik dan berterusan.

Pendekatan Keagamaan

Di mana-mana negara, aspek keagamaan berhubung pelantikan seseorang pemimpin tertinggi negara itu akan diterapkan dengan kepercayaan agama yang menjadi pegangan rasmi di negara tersebut.

Di Malaysia, Islam adalah agama rasmi dan pendekatan keagamaan dan asas keagamaan jelas termaktub di dalam sumber undang-undang negara yang tertinggi.

Kaedah pendekatan agama dalam apa jua pelaksanaan dan pentadbiran negara adalah yang terbaik kerana setiap anggota pentadbiran dan penjawat awam akan sentiasa terdidik untuk melaksanakan tugas dengan betul, amanah, jujur dan bertanggungjawab.

Sikap dan kefahaman agama perlu sentiasa ditanam dan diterapkan dengan mendalam agar menjadi penganut agama yang baik dan taat, seterusnya dapat menjauhkan seseorang itu daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej diri sendiri dan organisasi.

Kepercayaan agama yang kukuh dan kuat mencerminkan keperibadian seseorang pemimpin dan boleh meningkatkan nama baiknya dan organisasi yang diwakili.

Amalan dan Contoh Kepimpinan

Kepimpinan cemerlang menuntut penzahiran teladan dan amalan positif dalam organisasi. Sehubungan itu, pemimpin sepatutnya menzahirkan contoh yang baik.

Seseorang pemimpin mestilah mampu membawa organisasi yang diketuainya ke satu tahap yang lebih tinggi bagi memastikan arus kepimpinan mempunyai ‘DNA’ yang boleh dijadikan contoh dalam masyarakat serta negara.

Pegawai bawahan sentiasa melihat pada ketua mereka dalam mencorak warna kepimpinan negara.

Contoh yang baik oleh ketua dalam organisasi kerajaan akan menjadi sesuatu yang dipandang mulia dan dilihat dari segi amalan dan ikutan keperibadian pemimpin.

Oleh yang demikian, ia secara tidak langsung dapat memastikan seseorang pemimpin itu menjauhi amalan dan perbuatan yang tidak baik termasuk salah guna kuasa.

Apa yang jelas di sini, kepimpinan melalui teladan merupakan salah satu bentuk kaedah pendidikan dan pembentukan ciri-ciri pemimpin yang terbaik dan dapat dibentuk dalam perkhidmatan awam.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article