- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Melahirkan Pemimpin Melalui Prinsip Keibubapaan

Must read

Keupayaan memimpin adalah kemahiran yang biasanya dipelajari melalui pengalaman.

Tanpa pengalaman, agak mustahil untuk kita merasakan kemampuan untuk menjadi pemimpin.

Namun, kita sebenarnya sudah memiliki banyak kemahiran yang bermula dari didikan serta cara kita membimbing dan membesarkan anak-anak.

Selain daripada pengalaman, institusi keluarga merupakan prinsip asas dalam kemahiran dan kebertanggungjawaban dalam memimpin serta dipimpin

Untuk menjadi dan melahirkan pemimpin dalam sesebuah organisasi, kemahiran dan bimbingan tersebut boleh diterapkan di tempat kerja dengan lima (5) prinsip asas keibubapaan, iaitu Kasih Sayang, Persekitaran, Kesihatan, Tutur Bahasa dan Wawasan.

Kasih Sayang

Kasih sayang merupakan asas pembentukan kekeluargaan dan masyarakat. Dalam sesebuah organisasi, kasih sayang juga perlu wujud sebagai asas hubungan sesama pekerja.

Melalui hubungan, kesefahaman dan sikap sentiasa memaafkan, pemimpin dapat membina tempat kerja yang padu dengan pasukan yang saling memahami serta menghargai pengetahuan dan kemahiran masing-masing, mampu menangani konflik yang membina dan mempunyai iltizam yang tinggi terhadap kejayaan organisasi secara keseluruhan.

Persekitaran

Persekitaran rumah yang baik mempengaruhi psikologi dan membantu merangsang pertumbuhan dan kecemerlangan anak-anak.

Oleh yang demikian, mewujudkan persekitaran rumah yang kondusif dan menenangkan sangat penting demi kelancaran proses untuk anak-anak berjaya dan cemerlang dalam apa yang ingin dicapai.

Begitu juga dengan persekitaran tempat kerja. Mewujudkan keselamatan psikologi agar pekerja bawahan merasai kebebasan dalam memberi pandangan, idea dan sebagainya akan membantu memupuk kreativiti dan inovasi yang perlu dilakukan oleh organisasi.

Ini bermaksud, ibu bapa atau pemimpin perlu bijak memberi gambaran ke atas jangkaan dan kesan yang jelas bagi membolehkan para pekerja memahami apa dan bila sesuatu tugas perlu dilakukan dan apakah kesan yang bakal dihadapi jika sesuatu tugas tidak dilaksanakan.

Langkah sedemikian akan dapat mewujudkan rasa kebertanggungjawaban dan peningkatan prestasi para pekerja.

Kesihatan

Sudah menjadi lumrah manusia untuk memiliki kesihatan yang baik sama ada dari segi fizikal dan mental.

Ibu bapa sentiasa mahu memastikan bahawa anak-anak dalam keadaan sihat dan akan menjadi risau apabila anak-anak jatuh sakit.

Ibu bapa juga mahukan anak-anak berjaya dalam dunia yang semakin mendesak dalam apa jua bidang yang dilihat sentiasa ada tekanan.

Apabila badan dan minda kita sihat, kita mampu mengasah kemahiran dan kecekalan untuk menghadapi tekanan atau stres yang datang dari pelbagai sudut.

Hal yang sama juga dihadapi di tempat kerja. Pemimpin haruslah memberi sokongan kepada pekerja bawahan untuk mengimbangi kehidupan dan kerjaya, mengamalkan gaya hidup sihat, bersenam dan berfikiran positif supaya menjadi kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup dan kerjaya.

Melalui sokongan yang diberikan, pemimpin akan dapat membantu kakitangan yang lain menangani stres, mengurangkan risiko penyakit, seterusnya meningkatkan keterlibatan mereka dalam hal berkaitan kerja.

Tutur Bahasa

Anak-anak cenderung untuk meniru gaya bahasa, percakapan dan tutur kata ibu bapa. Tidak hairanlah jika mereka turut pandai menggunakan bahasa yang tidak elok ketika berbicara, walaupun mereka belum memahami apa yang dituturkan.

Oleh itu, sentiasa ingatkan diri sendiri supaya bertutur dengan baik tanpa menggunakan kata-kata kesat dalam memberi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak.

Demikian halnya di tempat kerja. Pemimpin hendaklah sentiasa bertutur dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat apabila memarahi kakitangan yang lain.

Keperibadian, akhlak dan budi bahasa pemimpin yang baik akan menjadi contoh kepada kakitangan-kakitangan yang lain.

Wawasan

Ibu bapa mempunyai harapan yang tinggi terhadap perkembangan anak-anak, terutama dalam proses pembesaran, kejayaan dalam apa jua yang mereka minati, kebahagiaan hidup, kerjaya, alam rumah tangga, impian dan aspirasi mereka.

Seorang pemimpin pasti mahukan orang yang dipimpin melakukan tugas sehabis baik, membangun, belajar dan berjaya.

Memiliki wawasan dan menetapkan matlamat masa depan adalah penting, sama ada untuk hal peribadi dan kerjaya.

Wawasan dan strategi membantu semua ahli dapat memahami kaitan di antara apa yang mereka lakukan setiap hari dengan matlamat pasukan dan organisasi.

Memahami tujuan yang mendasari wawasan juga memberi makna dalam pekerjaan yang mereka lakukan dan hubungan antara satu sama lain dalam organisasi.

Persamaan di antara keibubapaan dan kepemimpinan adalah jelas dan mempraktikkan kemahiran daripada kedua-duanya memberi peluang kepada kita untuk menjadi dan melahirkan pemimpin yang hebat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article