- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pendekatan Baharu dan Idea Radikal

Must read

Inovasi untuk Perkhidmatan Cemerlang

Sektor awam berperanan sangat penting dalam ekonomi moden.

Perkhidmatan awam pada masa kini menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks berikutan dengan perubahan sosial dan ekonomi dunia.

Keadaan ini menuntut sistem perkhidmatan yang lebih inovatif dalam menghasilkan perkhidmatan yang dapat memenuhi harapan atau jangkaan serta melangkaui kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan.

Perkhidmatan awam perlu kepada pendekatan baharu dan idea yang lebih radikal untuk membolehkan jabatan atau agensi berupaya meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan agar menjadi lebih cekap dan berkesan.

Bagi mencapai tahap sebuah pentadbiran yang cekap, berkesan, fleksibel dan responsif, perubahan- perubahan yang perlu dilakukan mesti mencakupi semua dimensi pengurusan dan pentadbiran, iaitu perubahan kepada struktur, amalan pengurusan, sistem dan prosedur, teknologi, dan yang tidak kurang pentingnya perubahan minda seluruh anggota organisasi.

Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini untuk melakukan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui penciptaan dan penemuan inovasi baharu.

Inovasi bukan mengenai menghasilkan dan menyampaikan sesuatu produk atau perkhidmatan yang lebih kurang sama atau penyelesaian sesuatu perkara tetapi ia lebih kepada untuk mengubah bentuk, kandungan, perkhidmatan dan rutin organisasi atau mengubah pemahaman masalah dan objektif dasar.

Sistem penyampaian yang cekap amat diperlukan bagi memenuhi tuntutan rakyat dan masyarakat serta sektor perniagaan yang terus meningkat.

Pada masa yang sama jabatan dan agensi kerajaan juga perlu melipatgandakan lagi usaha dalam mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula amalan sedia ada bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing.

Ini termasuk mengkaji semula sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.

Beberapa inisiatif dan tumpuan diberi kepada usaha-usaha berterusan untuk meneliti dan mengkaji semula sistem dan prosedur terutama di agensi-agensi yang banyak berurusan dengan orang ramai dan yang terlibat dalam penyediaan kemudahan bagi memajukan industri, perdagangan dan perniagaan.

Inovasi dan transformasi adalah antara dua perkara yang tidak dapat dipisahkan agar dapat memacu strategi pelaksanaan bagi mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

Untuk itu jabatan atau agensi perlu menyediakan Pelan Tindakan Inovasi yang mengandungi aktiviti-aktiviti pembudayaan inovasi secara terancang.

Setiap aktiviti hendaklah ditetapkan secara jelas dengan jadual pelaksanaan yang khusus.

Setiap inovasi yang dihasilkan perlu dipantau daripada peringkat perancangan sehingga diaplikasikan.

Inovasi yang dihasilkan hendaklah berupaya menambah nilai output semasa serta membawa transformasi dan perubahan amalan sedia ada.

Kajian impak inovasi juga perlu dilaksanakan untuk memastikan inovasi berkenaan memberi faedah yang dihasratkan.

Inovasi yang berjaya perlu dikongsikan di setiap peringkat organisasi.

Bagi perkhidmatan awam Sarawak, budaya kreatif dan inovatif merupakan salah satu tonggak dalam Pelan Tindakan Hala Tuju Perkhidmatan Awam Negeri 2010-2020.

Untuk itu, penjawat awam perlu mengubah cara berfikir untuk menghasilkan produk baharu atau perkhidmatan kreatif.

Selari dengan usaha pembudayaan kreatif dan inovatif penjawat awam juga perlu memiliki kapasiti intelektual serta nilai kreativiti dan inovasi tinggi.

Budaya inovasi dan kreatif dapat mewujudkan kerja mantap dan  berpandangan jauh bagi menambah baik keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kualiti kerja.

Sambutan Hari Inovasi atau Minggu Inovasi yang diadakan setiap tahun menandakan kepentingan budaya inovasi dalam mendokong agenda transformasi sektor awam.

Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sarawak 2020 mengangkat tema ‘Inovasi untuk Perkhidmatan Cemerlang’ dengan pelbagai aktiviti telah disusun yang dilaksanakan dengan pengamalan piawaian prosedur operasi yang rapi.

Perkhidmatan awam yang membudayakan inovasi pastinya akan dapat memperkenalkan pendekatan penyampaian perkhidmatan baharu apabila kaedah-kaedah semasa didapati kurang berkesan dengan memanfaatkan keupayaan teknologi terkini secara optimum.

Inovasi kini perlu dijadikan komponen asas pentadbiran dan bukannya sesuatu sandaran apabila sudah tiada lagi pilihan lain dalam mengatasi/menyelesaikan permasalahan atau penambahbaikan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article