Tempat kerja yang sihat ditakrifkan sebagai tempat kerja yang sentiasa mewujudkan dan memperbaiki persekitaran sosial dan fizikal yang membolehkan pekerja saling menyokong antara satu sama lain dalam menjalankan tugas dan membina keupayaan ke tahap maksimum.
Setiap pekerja dianggarkan meluangkan masa aktif di tempat kerja pada kadar 50% setiap hari.
Sesetengah organisasi yang menyediakan program kesihatan mendapati bahawa pekerja yang sentiasa berasa sihat akan melaksanakan tugas dengan lebih baik, kurang mengambil cuti sakit dan cenderung untuk bekerja dengan organisasi tersebut untuk tempoh yang lama.
Selain memberi manfaat kepada kesemua pekerja sama ada di peringkat pengurusan dan sokongan, tempat kerja yang sihat membantu perkembangan organisasi.
Oleh yang demikian, mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan memberi pekerja peluang memperbaiki kesihatan diri amatlah penting.
Persekitaran tempat kerja mendatangkan kesan secara langsung terhadap kesihatan pekerja.
Stres, gangguan seksual, keganasan di tempat kerja, tabiat merokok, alkohol dan penyalahgunaan dadah, pemakanan yang kurang baik dan rekaan ergonomik yang tidak bagus merupakan antara penyebab penyakit dan ketidakhadiran di kalangan tenaga kerja.
Tempat kerja sihat adalah komprehensif dan terdiri daripada tiga faktor utama kesihatan seperti persekitaran, sumber peribadi dan amalan sihat.
Persekitaran. Faktor-faktor persekitaran di rumah atau di tempat kerja memberi kesan terhadap kesihatan pekerja seperti tahap kebersihan udara, kebisingan, pencahayaan, kualiti mesin dan peralatan, jenis kerja, tanggungjawab di tempat kerja, hubungan sesama majikan, rakan sekerja dan hubungan sesame keluarga di rumah.
Sumber peribadi. Perasaan pekerja tentang pengaruh mereka terhadap kesihatan diri dan kerja, tahap sokongan yang diterima daripada orang lain serta sejauh mana usaha yang mereka lakukan dalam meningkatkan kesihatan diri.
Amalan sihat. Amalan yang memberi kesan terhadap kesihatan seperti senaman, pengambilan alkohol, tabiat tidur dan makan dan juga penggunaan ubat-ubatan atau dadah.
Manakala ciri-ciri tempat kerja sihat pula merangkumi persekitaran fizikal yang bersih, hubungan dan sokongan di kalangan pekerja yang baik dan bersepadu, tidak mempergunakan pekerja serta galakan gaya hidup sihat.
Selain itu keperluan asas pekerja yang disediakan dan kadar penglibatan pekerja yang tinggi juga merupakan antara ciri-ciri tempat kerja yang sihat.