Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penyakit Novel Coronavirus atau COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020, tiga kes positif pertama dilaporkan di Kuching, Sarawak pada 13 Mac 2020.
Berikutan penularan wabak COVID-19 di seluruh negara, Kerajaan Persekutuan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 14 April 2020 bagi mengekang rantaian jangkitan.
Sekatan jalan raya dijalankan bagi memantau pergerakan orang awam dan pintu masuk sempadan ditutup di seluruh negara.
Pada 18 Mac 2020, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menguatkuasakan langkah-langkah yang bersesuaian dengan PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Sebelum pelaksanaan PKP, JPBNS telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi pada 15 Mac 2020 supaya semua acara perhimpunan awam dan majlis rasmi kerajaan yang melibatkan penyertaan lebih daripada 50 orang di Sarawak ditangguhkan.
Ini berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 yang melibatkan peserta-peserta perhimpunan keagamaan di Kuala Lumpur yang telah berlangsung dari 28 Februari hingga 1 Mac 2020.
Kerajaan Sarawak juga segera mengambil langkah menyekat pergerakan keluar masuk bagi membendung jangkitan wabak daripada terus merebak ke seluruh negeri.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) giat memasang alat pengesan suhu badan di pintu-pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri termasuk Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh.
Antara langkah-langkah lain yang diambil termasuklah melanjutkan tempoh cuti sekolah untuk seminggu sehingga 29 Mac 2020 di seluruh negeri, mengarahkan semua pra sekolah, tadika dan sekolah tahfiz ditutup dua minggu sementara institusi pengajian tinggi (IPT) kerajaan dan swasta dinasihatkan untuk menangguhkan sesi akademik baharu selama dua minggu berkuat kuasa 17 Mac 2020.
JPBNS juga mengeluarkan perintah kuarantin wajib 14 hari berkuat kuasa 18 Mac 2020 kepada semua pelawat yang datang dari luar negara dan domestik termasuk pemegang pas jangka panjang dan jangka pendek serta rakyat Sarawak yang pulang ke negeri ini.
Manakala pelajar-pelajar tempatan yang sedang menuntut di Semenanjung dan di Sabah pula tidak dilarang untuk kembali ke Sarawak, namun, arahan kuarantin wajib turut dikeluarkan kepada mereka.
Proses kuarantin dikendalikan oleh JKNS dengan dibantu oleh agensi-agensi terlibat yang memantau pemegang notis duduk di rumah menerusi kunjungan secara rawak, panggilan telefon dan aplikasi khas.
Sejak tiga kes pertama positif COVID-19 dilaporkan di Kuching, JKNS segera menjalankan pengesanan kontak rapat kepada pesakit-pesakit yang dijangkiti.
Kluster-kluster yang menyebabkan rantaian jangkitan juga dikenal pasti untuk tindakan susulan dan kawalan lebih ketat diambil.
Pendekatan-pendekatan lain yang diambil termasuklah menyediakan pusat saringan di beberapa lokasi di setiap Bahagian, melakukan saringan secara rawak selain menjadikan pusat-pusat penginapan sebagai pusat kuarantin.
Pergerakan rentas daerah dikawal dan orang ramai yang mempunyai urusan di luar daerah perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menetapkan empat zon diklasifikasikan mengikut warna bagi menentukan status kawasan berdasarkan jumlah kes positif COVID-19 yang dilaporkan.
Zon Merah adalah di mana terdapat lebih daripada 40 kes positif virus berkenaan dilaporkan, manakala kawasan yang mempunyai 21 hingga 40 kes positif pula dikategorikan sebagai Zon Jingga.
Zon Kuning merujuk pada kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif dan Zon Hijau adalah kawasan yang tiada kes positif dilaporkan dalam tempoh 14 hari berturut-turut.
Pada minggu terakhir April 2020, sebanyak 29 daripada 40 daerah di Sarawak dikategorikan sebagai Zon Hijau.
Sehinggalah pada 4 Mei 2020, iaitu 53 hari sejak kes pertama dilaporkan di Kuching, buat pertama kalinya tiada kes positif COVID-19 dilaporkan di Sarawak.
Minggu ketiga pada bulan Mei 2020 menyaksikan peningkatan kawasan berstatus Zon Hijau setelah Daerah Lundu mencatatkan tiada kes positif selama tempoh 14 hari, menjadikan Zon Hijau meningkat kepada 36 kawasan.
Sehari selepas diisytiharkan sebagai Zon Hijau, kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat secara mendadak kepada 25 kes pada 28 Julai 2020.
Jangkitan berlaku daripada beberapa kluster yang masih aktif, melibatkan jangkitan import dan jangkitan tempatan.
Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan Kerajaan Sarawak untuk menghadkan pergerakan antara zon yang dikuatkuasakan pada 1 Ogos hingga 14 Ogos 2020.
Bahagian berstatus Zon Kuning, Jingga dan Merah, iaitu Kuching, Serian dan Samarahan dikategorikan di bawah Zon Satu.
Manakala Zon Dua pula meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang yang pada ketika itu berstatus Zon Hijau.
Sarawak seakan mengalami gelombang kedua penularan COVID-19 hingga memaksa Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki, Kuching pada November 2020.
Walau bagaimanapun, usaha gigih yang dijalankan pihak berkuasa dalam memastikan seluruh negeri ini berada pada status Zon Hijau menunjukkan petanda positif.
Setakat artikel ini ditulis pada minggu keempat bulan Disember 2020, Sarawak mencatatkan 1,090 jumlah kes positif keseluruhan dengan kematian masih pada 19 kes.
Kes yang dirawat di hospital dicatatkan sebanyak 18 kes (1.65%) dan kes telah sembuh dan discaj sebanyak 1,053 (96.61%).
Dari segi klasifikasi zon, tiga bahagian bertukar status daripada Zon Hijau kepada Zon Kuning melibatkan bahagian Kuching, Serian dan Sibu. Manakala bahagian-bahagian lain pula masih berstatus Zon Hijau.
Secara keseluruhan, sejak PKPD ditamatkan di Kampung Haji Baki, wabak COVID-19 di Sarawak sepanjang Disember 2020 agak terkawal, berdasarkan pada laporan harian bahawa hampir seluruh kawasan di negeri ini berstatus Zon Hijau.
Perkembangan positif ini adalah hasil daripada usaha bersepadu dan pendekatan yang diambil JPBNS dan Majlis Keselamatan Negeri dengan agensi-agensi terlibat seperti JKNS, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH), PDRM, ATM, Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Fokus utama Kerajaan Sarawak sekarang adalah memastikan semua bahagian dan daerah di Sarawak kekal berstatus Zon Hijau.
Rakyat dinasihatkan supaya tidak leka dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Selain usaha memerangi, bantuan turut disalurkan bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat, kesan daripada pandemik COVID-19.
Kerajaan Sarawak telah melancarkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS). Bantuan yang disalurkan mencakupi bantuan kewangan, geran perniagaan, pengecualian dan penangguhan bayaran seperti kadar sewa dan bayaran yang melibatkan operasi dan lesen perniagaan dan sebagainya.
Bantuan tersebut diteruskan dengan siri BKSS 2.0, BKSS 3.0 dan setakat ini di peringkat BKSS 4.0.
Antara golongan yang mendapat bantuan berkenaan termasuklah golongan bujang dan berkeluarga dalam kategori B40 dan M40, golongan usahawan, pengusaha perniagaan dan perkhidmatan, para petugas barisan hadapan dan anggota keselamatan, pekerja dalam perkhidmatan e-hailing, ekonomi gig, penghantar makanan dan individu-individu lain yang layak.
Pada peringkat awal krisis COVID-19 apabila peralatan penjagaan kesihatan sukar didapati, Kerajaan Sarawak telah mengedarkan dua juta pelitup muka percuma ke seluruh negeri.
Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg turut mengumumkan pakej bantuan perubatan berjumlah RM1.15 juta pada 21 Mac 2020.
Menyedari kesukaran yang dihadapi penduduk mendapatkan keperluan dan makanan semasa tempoh PKP dikuatkuasakan, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar, Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan berbentuk barangan keperluan makanan.
Operasi bantuan diketuai Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dan dibantu oleh agensi-agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, ATM serta jawatankuasa bencana peringkat Bahagian dan Daerah.
Penghantaran makanan menggunakan perkhidmatan helikopter ATM juga dijalankan di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar dihubungi.