- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

TQM Adalah Faktor Penting Dalam Memenuhi Ekspektasi Pelanggan

Must read

Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam sesebuah organisasi dilihat sebagai satu faktor yang sangat penting untuk mewujudkan standard yang didorong oleh permintaan atau ekspektasi pelanggan.

Hal ini adalah kerana TQM mengandungi elemen-elemen insaniah (soft factor) di dalamnya seperti fokus kepada pelanggan, perancangan strategik, penglibatan pekerja dan sebagainya.

TQM dilakukan dengan menghasilkan output-output yang dapat memenuhi ekspektasi pelanggan misalnya produk-produk yang dikeluarkan tidak mempunyai kecacatan (defect free) atau kesilapan (error free) kerana kecacatan atau kesilapan boleh menjejaskan kepuasan hati pelanggan.

Setiap organisasi sama ada sektor awam mahupun swasta perlu menerapkan strategi Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi memenuhi ekspektasi pelanggan (orang awam).

Pada peringkat awal, sesebuah organisasi itu perlu memastikan bahawa output yang dikeluarkan adalah seperti yang dikehendaki oleh pelanggan.

Sistem TQM sebenarnya telah berkembang pesat sejak beberapa tahun yang lalu dan ia telah diakui oleh para sarjana sebagai satu strategi untuk bersaing justeru, ia dianggap dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti di samping memenuhi kehendak pengguna.

TQM juga adalah salah satu falsafah pengurusan komprehensif yang menyediakan penambahbaikan yang berterusan kepada seluruh organisasi malah, turut menjadi agenda utama dalam amalan pengurusan sesebuah organisasi bagi mencapai matlamat, visi, dan misi.  

TQM amat penting kepada sesebuah organisasi kerana dapat membawa perubahan yang menyeluruh ke arah melahirkan budaya organisasi yang cemerlang dan mendukung proses transformasi budaya di dalam sesebuah organisasi.

Dengan pengurusan yang berkualiti, organisasi itu menjadi satu tempat yang begitu penting sehingga dianggap sebagai tempat yang dapat melahirkan individu baru yang sanggup bersaing secara global.

Tidak kira organisasi swasta atau awam dan di mana saja seseorang bertugas, persaingan adalah amat sengit dan dalam kebanyakan organisasi hanya segelintir orang sahaja yang percaya bahawa kualiti adalah senjata yang paling penting dalam persaingan.

Mengambil contoh negara-negara maju seperti di Britain, Amerika, Perancis, Jerman, Itali, Switzerland dan Sweden turut menekankan TQM untuk menguasai pelanggan, merebut sumber atau dana perniagaan serta memberi perhatian sepenuhnya kepada kualiti perkhidmatan untuk memperbaiki prestasi dari segi kebolehpercayaan, penyerahan kepada pelanggan dan harga.

Telah dikenalpasti, dalam sesebuah organisasi, terdapat pelbagai faktor yang terlibat dalam membangunkan organisasi dan telah menjadi isu yang sangat penting dalam pengurusan kualiti.

Bagi sesebuah organisasi yang hendak mencapai objektif dan meningkatkan produktiviti, tahap serta mutu perkhidmatan hendaklah ditingkatkan dan diperkasakan.

Selain itu, reputasi juga amat penting dalam sesebuah organisasi, dan untuk meningkatkan reputasi unsur kualiti memainkan peranan yang sangat penting.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article