Pengurusan awam adalah satu bentuk pengurusan dalam pentadbiran awam yang berfungsi untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
Pengurusan Awam merupakan satu badan yang sah di sisi undang-undang kerana ia ditubuhkan di bawah peruntukan Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan.
Terdapat dua fungsi pengurusan awam, iaitu yang pertama ialah mengurus sumber manusia melibatkan proses-proses pengambilan, perancangan, pembangunan dan hubungan antara sumber manusia dalam sektor awam.
Proses-proses sumber manusia melibatkan aktiviti-aktiviti pengrekrutan, pemilihan, latihan dan pembangunan, pentadbiran pampasan dan faedah, gaji dan upah, hubungan perusahaan dan disiplin kakitangan sektor awam.
Fungsi kedua yang merupakan satu aspek yang perlu diberi perhatian di dalam mana-mana organisasi ialah mengurus sumber bukan manusia.
Hal ini adalah kerana dengan hanya memberi penekanan terhadap pengurusan sumber manusia, ia tidak dapat menjamin sesebuah organisasi akan dapat mencapai matlamatnya.
Dalam sektor awam, pengurusan sumber bukan manusia selalunya melibatkan beberapa aspek pengurusan, iaitu pengurusan kewangan, pengurusan projek dan pengurusan aset.
Berdasarkan penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pengurusan awam adalah satu proses yang menyatukan sumber-sumber dan menggunakannya melalui aktiviti dan proses ke arah mencapai matlamat kebajikan sosial.
Pengurusan awam biasanya bermotifkan kebajikan (social service-oriented) dan kurang mementingkan keuntungan yang bertujuan untuk melaksanakan polisi-polisi awam secara langsung dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Dalam pentadbiran awam, program pembangunan pengurusan amat ditekankan untuk tujuan menyediakan latihan pengurusan yang berkualiti dalam bidang pembangunan organisasi dan sumber manusia, sistem pengurusan kualiti, perkhidmatan pelanggan serta membentuk nilai dan etika yang cemerlang.
Program dan aktiviti yang dirancang adalah berteraskan kepada objektif membangunkan anggota sektor awam yang kompeten dengan kemahiran, pengetahuan dan tingkah laku yang diperlukan bagi membentuk pengurus dan penyelia yang efektif dalam organisasi sektor awam.