- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Belajar Bahasa Asing Adalah Proses Dalam ‘Learning Society’

Must read

Selain memberi penekanan terhadap pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kebanyakan ibu bapa turut menggalakan anak-anak menguasai bahasa asing dengan maksud menguasai lebih daripada dua bahasa contohnya menjadikan Bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga dan sebaliknya.

Belajar bahasa asing tergolong sebagai ‘Learning Society’ kerana terbentuknya ‘Learning Society’ adalah melalui individu yang mahu belajar sesuatu yang baharu demi manfaat diri dan orang lain.

Belajar bahasa asing bukan saja membuatkan kita lebih bijak, memberi kelebihan profesional dan kerjaya atau memberi akses yang lebih luas kepada pendidikan dan maklumat malah, membolehkan kita memahami dengan lebih luas serta mendalam tentang budaya orang lain.

Oleh sebab itulah dikatakan bahawa bahasa dan budaya seolah-olah tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia terutama dalam dunia pendidikan bahasa itu sendiri.

Pada dasarnya, bahasa asing tidak semestinya bahasa yang datang dari luar negara kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk yang mempunyai perbezaan bahasa misalnya bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut dan sebagainya.

Belajar Bahasa Asing dapat membantu meningkatkan pengetahuan serta keterampilan seseorang individu

Justeru, tanpa kebolehan berkomunikasi dan memahami sesuatu kebudayaan dalam bahasanya sendiri, kita tidak akan mempunyai peluang dan ruang untuk memahami budaya tersebut.

Memahami kebudayaan lain sangat penting kerana kurang kefahaman boleh menimbulkan perasaan tidak mempercayai satu sama lain dan salah faham akan timbul malah akan wujudnya halangan dalam bekerjasama, berurusan serta berkompromi.

Salah satu sebab kita terlalu cepat beremosi adalah kerana perpaduan antara kaum belum cukup utuh disebabkan kita belum cukup kenal antara satu sama lain, tidak memahami budaya masyarakat lain sehingga takut hendak bergaul dengan kaum lain.

Oleh sebab itu, ‘Learning Society’ sangat penting kerana kita perlu ada usaha untuk belajar dan memahami bahasa kaum lain kerana semakin banyak bahasa yang kita tahu, semakin mudah untuk kita berkomunikasi dengan ramai orang.

Biasanya, orang yang berpengetahuan dalam bahasa lain selalunya mudah untuk merapatkan jurang antara budaya dan mewujudkan keharmonian dengan sesama.

Tidak dinafikan bahawa belajar dan menguasai bahasa asing mengambil satu masa yang lama dan itulah antara faktor yang menyebabkan ramai ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah lain seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pusat-pusat pengajian bahasa yang lain.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article