- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perpaduan Penting Dalam Usaha Membina Negara Bangsa

Must read

Membina negara bangsa adalah matlamat utama sesebuah negara malah dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta penduduknya.

Agenda membina negara bangsa amat relevan dan mendesak bagi negara kita untuk menangani pelbagai cabaran yang berlaku dalam sejarah dan cabaran kesan daripada globalisasi.

Namun begitu, membina sebuah negara bangsa yang sempurna bukanlah satu tugas yang mudah apatah lagi bagi negara kita yang mempunyai kepelbagaian kaum serta etnik dari latar sejarah, bahasa dan budaya yang berbeza.

Pembinaan negara bangsa memerlukan kesepaduan dan integrasi yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia

Sejak negara mencapai kemerdekaan, proses pembinaan negara bangsa kelihatan berjalan dengan baik, namun masih timbul krisis perkauman sehingga mencetuskan ketidakstabilan malah tuntutan dan perjuangan setiap kaum juga menimbulkan perdebatan yang hangat.

Jika kita renungkan sejenak, sudah pasti kita dapat melihat pada hakikatnya, pembentukan negara bangsa di negara kita merupakan satu perjuangan yang masih belum selesai kerana kita masih dihantui pelbagai permasalahan yang bersifat perkauman.

Dalam tempoh lebih kurang 60 tahun selepas negara kita mencapai kemerdekaan, masih lagi timbul persoalan-persoalan yang sensitif dan menggugat sentimen masyarakat berbilang bangsa bahkan diungkitkan kembali secara berleluasa oleh individu dan pihak tertentu.

Selain itu, isu-isu negara, bangsa dan bahasa juga masih menjadi wadah yang kerap diperdebatkan oleh ahli-ahli politik, golongan akademik termasuk rakyat-rakyat biasa.

Demi memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing, isu-isu yang melibatkan hak keistimewaan, persoalan ketuanan, serta peranan mahupun sumbangan terus dipersoalkan sehingga menimbulkan pertikaian dan pergaduhan.

Peristiwa kerusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sepatutnya dapat menjadi pengajaran yang berguna buat seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, untuk merealisasikan matlamat membina negara bangsa ini, kita perlu menyemarakkan lagi semangat perpaduan iaitu hubungan erat atau bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas.

Dalam kata lain, perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.

Dalam pada itu, kerjasama antara parti politik juga perlu digerakkan meskipun pada hakikatnya inisiatif perpaduan menerusi kerjasama politik kelihatan sukar untuk diwujudkan.

Daripada penjelasan di atas, kunci untuk membina negara bangsa memerlukan proses menyatukan unsur-unsur penting yang membentuk perpaduan seperti bahasa, budaya, politik, tujuan dan wawasan yang dipersetujui bersama, ketaatan dan dedikasi terhadap negara kita sendiri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article