- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak

Must read

Perjalanan Yang Dinamik dan Unik

Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak mempunyai perjalanan yang cukup istimewa, unik menarik dengan melihat bagaimana barisan pemimpin pentadbiran dan barisan pemimpin dalam perkhidmatan awam berjaya menginspirasi, mencorak dan seterusnya menerajui perkhidmatan awam dari dahulu sehingga ke hari ini.

Tanpa adanya sebuah Perkhidmatan Awam yang dinamik dan mengadaptasi kepada perubahan masa, harapan pihak pentadbiran negeri dan rakyat maka segala perancangan yang di buat kerajaan tidak akan mudah dicapai.

Gerakan transformasi bermula dengan pembangunan sumber manusia melalui penubuhan institusi latihan, Centre for Modern Management (CMM) pada Januari 1994.

Sejak daripada itu, CMM telah melaksanakan pelbagai latihan pengurusan moden dengan menggunakan kepakaran terkini dari luar yang turut dipertanggungjawabkan meningkatkan kompetensi di kalangan penjawat awam.

Bermulanya pengenalan beberapa pendekatan baharu antaranya Pengurusan Kualiti Menyeluruh atau TQM dan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (kini dikenali Kumpulan Inovatif dan Kreatif) ke setiap agensi dan perekasayaan prosedur kerja dan MS ISO9000.

Mantan Ketua Menteri ketika itu juga telah mewujudkan pelan jangka Panjang pembangunan ICT dengan penubuhan syarikat SAINS milik kerajaan pada tahun 1991, yang bertujuan melahir pakar tempatan dalam membangunkan aplikasi terbaik, sehingga Sarawak dijadikan penanda aras (benchmark) terutama untuk pembangunan sistem pengurusan tanah (LASIS), pengurusan hutan, dan pengurusan pembayaran bil.

Untuk rekod, perkhidmatan SarawakNet mula dilancarkan pada tahun 1996 dan mula diperluaskan ke peringkat daerah pada tahun berikutnya.

Model pembangunan ICT dengan menggunakan kepakaran SAINS telah membawa Perkhidmatan Awam Negeri ke tahap yang amat mengagumkan sehingga Sarawak terkenal di seluruh negara dan bermulanya era e-kerajaan untuk negeri Sarawak.

Pada tahun 2001, bagi menyokong e-kerajaan, Unit Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) Unit, Jabatan Ketua Menteri diwujudkan. Maka bermulalah banyak aplikasi dibangunkan antaranya Sarawak Electronic Bill Presentment and Payment dan sebagainya.

Bagi meningkatkan capaian penyampaian perkhidmatan dan membawa lebih banyak pembangunan di Kawasan luar bandar, dua (2) Bahagian Pentadbiran baharu telah diwujudkan pada 1 Mac dan 26 Mac 2002.

Pentadbiran Bahagian

Pentadbiran di peringkat bahagian juga tidak ketinggalan diberi perhatian terutama berkaitan isu sosial yang perlu mendapat perhatian sewajarnya dengan memperkenalkan  struktur baru iaitu struktur Timbalan Residen Pembangunan dan Timbalan Residen Sosial di Pejabat Residen supaya mudah dipantau dan ditangani dengan pantas dari Pejabat Residen.

Satu unit ditubuhkan iaitu Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU) pada tahun 2005 untuk memantau dan melaporkan status projek dilaksanakan supaya dapat siap pada tempoh yang ditetapkan dan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Serentak dengan itu, satu sistem pemantauan projek dipanggil Sarawak Monitor telah dibangunkan untuk tujuan tersebut.

Mantan Ketua Menteri juga mengarahkan sebilangan besar pegawai kerajaan dihantar ke luar negara bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana dan kedoktoran serta latihan intensif pengurusan kepimpinan di institusi pengajian tinggi di luar negara yang terkenal termasuk Harvard University dan Stanford University.

Usaha tersebut bertujuan untuk menyediakan mereka dengan kaedah pengurusan dan pengetahuan yang moden dan efektif apabila melaksanakan projek dan program bersesuaian selaras dengan falsafah Politik Pembangunan dan konsep Change, Opportunity, Mobility dan Equality atau singkatannya C.O.M.E.

Antara bidang-bidang yang diperlukan ialah bidang ekonomi, pengurusan kewangan, alam sekitar, teknologi, dan bio teknologi di mana skim gaji untuk menarik pakar-pakar tersebut hendaklah lebih fleksibel. Kepakaran tersebut diperlukan segera bagi memastikan perkhidmatan awam tidak ketinggalan dalam persaingan untuk menarik pelabur.

Komponen terpenting yang turut ditransformasikan ketika itu adalah dari segi perubahan minda dan sikap, pertambahan pengetahuan, latihan dan kepimpinan yang resourceful (amat membantu) dan inovatif.

Kepimpinan ketika itu memberikan keyakinan tinggi kepada perkhidmatan awam yang disifatkan sebagai komponen penting dalam pembangunan negara pada masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam memastikan pembangunan bandar lebih berkesan terutama apabila Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) (diperkenalkan pada tahun 2008) dapat direalisasikan.

Falsafah An Honour To Serve

Pada masa yang sama, falsafah An Honour To Serve mula diperkenalkan serta diterapkan bagi meningkatkan keyakinan semua penjawat awam untuk melaksanakan setiap program dan dasar kerajaan.

Momentum perkhidmatan awam negeri Sarawak dapat dirasai pada pertengahan tahun 2009 apabila ia mula mengambil langkah-langkah besar untuk memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan ke arah Perkhidmatan Awam yang bertaraf dunia.

Bagi memastikan institusi Perkhidmatan Awam ini terus kekal relevan, Setiausaha Negeri  ketika itu, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Pelan Tindakan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010-2020 (SCS10-20) pada tahun 2012.

Buat permulaan pada tahun 2010, beberapa inisiatif mula diperkenalkan seperti Aktiviti Fokus Utama (KFA), Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan High Performance Team (HPT) khusus kepada penjawat awam dengan sasaran tertentu tetapi dengan matlamat dan mesej jelas supaya perkhidmatan awam perlu berubah, bergerak lebih maju dan mencari lebih banyak penyelesaian serta menjana lebih banyak idea dan inovasi.

Pada tahun tersebut juga, perkhidmatan awam buat pertama kalinya “membawakan perkhidmatan kepada rakyat” melalui Program Sejiwa Senada ke beberapa lokasi terpilih termasuk Kawasan luar bandar.

Tempoh 2 tahun pertama (2010-2012) lebih kepada mewujudkan asas kukuh kepada perkembangan SCS10-20 pada masa hadapan dengan pernyataan visi dan misi ke arah perkhidmatan bertaraf dunia, pembangunan sistem talian seperti Local Authority (ELA) dan aplikasi kewangan seperti SIFBAS dan CORIS.

Dalam tempoh tersebut, Kerangka Pengurusan Bakat Sumber Manusia telah dibangunkan, SCS10-20 telah dimuktamadkan termasuk didokumentasikan serta dilancarkan, pengukuran kecemerlangan melalui Balanced Score Card (BSC) dan penjenamaan semula Jabatan Ketua Menteri (JKM).

SCS10-20 secara lengkapnya dilancarkan pada 2012 yang merupakan pelan komprehensif sepuluh (10) tahun (2010-2020) merangkumi tujuh (7) inisiatif utama Menguruskan Perubahan Budaya, Pengurusan Bakat Sumber Manusia, Mengurus Keperluan Pelanggan, Inovasi dan Kreativiti, e-Kerajaan, Kecemerlangan Penyampaian Projek dan Program, Pengurusan Kewangan dan tambahan satu lagi inisiatif pada tahun 2013 dengan Kecemerlangan Pentadbiran Perundangan Sarawak.

Seterusnya pada tahun 2013 sehingga ke 2015, lebih kepada aspek pelaksanaan dan pengukuhan dengan pelaksanaan Penyelesaian Pantas (Quick Wins), Program Mentoring, mendokumentasi serta merumuskan polisi-polisi utama yang berkaitan dengan SCS10-20 di samping menyebarluaskan pelan tindakan tersebut melalui Lawatan Q-Visit.

Pada tahun 2013 hingga 2016, HPT Solutions & Quick Wins telah diperkenalkan dalam permukiman HPT bertujuan untuk mencari penyelesaian yang lebih pantas dan berkesan  dalam jangka masa pendek (antaranya Penguatkuasaan dan Keselamatan dan sebagainya) di samping beberapa inisiatif lain giat dilaksanakan seperti Prestasi Berasaskan Budaya Kerja, penambahbaikan KFA, budaya kerja berprestasi tinggi merentasi agensi, memperluaskan konsep One Government at Your Service, pelaksanaan Pengurusan Bakat Sumber Manusia, membangunkan kerangka kerja Tadbir Urus ICT untuk SCS10-20 dan penerapan budaya serta nilai Bersama.

Perkhidmatan kios buat pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 2013 di tempat strategik pusat membeli belah dan sistem aplikasi mudah alih Talikhidmat dilancarkan pada tahun 2014.

Pada tahun 2016 sehingga 2018, Permukiman HPT 2016 telah merancang dan menetapkan agenda pembangunan lebih besar seperti 20 sasaran bidang keberhasilan daripada Jawatankuasa Kabinet Transformasi Sosioekonomi, Transformasi Luar Bandar, dan Transformasi Prestasi dan Sistem Penyampaian Perkhidmatan.

Bagi Permukiman HPT 2017 pula, merancang dan merangka 47 Pelan Tindakan di dalam Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 dan Permukiman HPT 2018 mencari penyelesaian dan merangka Projek dan Program Penyampaian Perkhidmatan (Projek Infrastruktur Berimpak Tinggi).

Impak yang jelas dapat dilihat terutama inisiatif Inovasi dan Kreatif, dengan ekosistem yang lengkap telah memungkinkan Kumpulan KIK Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah menempa nama pada peringkat kebangsaan tiga (3) tahun berturut-turut pada tahun 2011, 2012 dan 2014 merangkul kejuaraan berganda KIK Peringkat Kebangsaan masing-masing daripada Kategori Teknikal dan Pengurusan.

Malah kecemerlangan Kumpulan KIK telah menembusi sehingga ke peringkat antarabangsa dengan sembilan (9) pencapaian setakat ini.

Bukan setakat itu sahaja, melalui SCS10-20 juga Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah mendapat pengiktirafan pada peringkat Asia Pasifik melalui Anugerah ‘FutureGov’ menerusi kategori Digital Inclusion pada 2014 dan pada peringkat negara Komanwel melalui Anugerah Inovasi Antarabangsa (IIA) Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2016 dalam kategori Inovasi.

Beberapa komen positif terutama Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) Tun Zaki Tun Azmi dalam rangka “Misi Mengkaji Transformasi” menyifatkan Sarawak antara negeri terbaik memperlihatkan bahawa segala transformasi perkhidmatan awam berada pada landasan tepat.

Program Transformasi Luar Bandar

Beberapa perkembangan menarik berlaku sepanjang 25 tahun secara tidak langsung melibatkan perkhidmatan awam seperti pengenalan polisi dan dasar baharu seperti Program Transformasi Luar Bandar atau Rural Transformation Programme (RTP) diperkenalkan penghujung tahun 2014 mengikut keutamaan dan keperluan penduduk di sesebuah Kawasan dan perlu siap pada tahun berikutnya.

Pada tahun berikutnya (2015), pengumuman pentadbiran bahagian dan daerah baharu pada tahun 2015 dengan Bahagian ke 12, Bahagian Serian dan sembilan (9) buah daerah baharu dan empat (4) daerah kecil sudah pasti meningkatkan jangkaan atau harapan rakyat di kawasan luar bandar.

Pada tahun 2015 juga menyaksikan penstrukturan semula jabatan dan agensi kerajaan seperti Unit Pemodenan Pentadbiran Negeri (UPPN) (hasil gabungan antara Unit Pemodenan Perkhidmatan dan Kualiti dan Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi) diwujudkan khususnya untuk menerajui dan memantau semua inisiatif Transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

Serentak dengan itu, Leadership Institute of Sarawak Civil Service (dahulunya dikenali sebagai CMM) telah diwujudkan pada tahun 2015 dalam usaha memperkukuhkan sumber manusia seiring usaha Kerajaan Negeri membangun dan menyediakan lebih ramai bakat-bakat terbaik dan meningkatkan kompetensi dalam perkhidmatan awam.

Pada tahun 2016, menyaksikan 3 jabatan baharu telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan negeri ketika itu, ini termasuklah Jabatan Pembangunan Wanita, Sarawak Sport Coordination dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar.

Berikutan keluasan kawasan yang besar di bawah penyeliaan SCORE, pada tahun 2017 3 agensi di bawah RECODA telah ditubuhkan mengikut Seksyen 16 Ordinan RECODA 2006 untuk menerajui pembangunan di wilayah-wilayah kecil iaitu Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Pada tahun 2017 juga, Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) adalah anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak telah dilancar yang menyediakan program pembangunan sumber manusia kepada sektor swasta, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan perusahaan kecil dan sederhana.

Ekonomi Digital

Pada tahun tersebut juga, sebagai persediaan ke arah ekonomi digital, Sarawak telah menganjurkan satu Persidangan Ekonomi Digital dan Infrastruktur ICT Antarabangsa Sarawak (IDECS) sebagai persediaan ke arah ekonomi digital.

Hasilnya, pada tahun 2017 sistem penyampaian perkhidmatan melangkah setapak lagi ke hadapan pada tahun dengan wujudnya SarawakGov (aplikasi kerajaan negeri) dan SarawakPay (aplikasi pembayaran secara elektronik).

Rentetan pada tahun berikutnya (2018), Sarawak telah memperkenalkan Sarawak ID (satu identiti untuk perkhidmatan dalam talian) di samping sebuah agensi

Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) ditubuhkan sebagai entiti mengawal dan membangunkan ekonomi digital serta mengukuhkan ekosistem ekonomi digital.

Perkhidmatan Awam Negeri responsif terhadap perubahan semasa dan telah menyesuaikan peranan dengan mewujudkan beberapa jabatan baharu pada tahun 2017 termasuklah Unit Hal Ehwal Agama- Agama Lain (UNIFOR), Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri (UNION) dan pada tahun 2018 Unit Komunikasi Awam Negeri (UKAS).

Manakala pada tahun 2019 Unit Integriti diketuai pegawai integriti bertauliah (CEIO) telah ditubuhkan di semua kementerian dan jabatan Kerajaan Sarawak termasuk badan berkanun negeri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article