- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

JBALB: Misi dan Visi Mencapai 100 Peratus Liputan Bekalan Air

Must read

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar atau ringkasnya JBALB dahulu merupakan cabang Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang dikenali sebagai Unit Bekalan Air JKR.

Faktor pembangunan, sosio-ekonomi, peningkatan penduduk dan permintaan tinggi terhadap bekalan air bersih di kawasan luar bandar telah membawa kepada penubuhan JBALB.

Ditubuhkan pada 1 September 2015 sebagai sebuah jabatan yang berdiri sendiri di bawah Kementerian Utiliti (MOU), JBALB membawa misi membekalkan kemudahan air bersih dan selamat untuk kawasan luar bandar di seluruh Sarawak.

JBALB beroperasi di seluruh negeri Sarawak dengan satu pejabat cawangan untuk setiap 12 bahagian serta sebuah Ibu Pejabat yang berpangkalan di Kuching dengan jumlah keseluruhan kakitangan seramai 1,519 orang.

Fungsi dan peranan JBALB adalah untuk mereka dan membangunkan sumber air mentah dan sistem bekalan air di samping mengurus, mengoperasi dan menyelenggara sistem bekalan air di Sarawak.

Selain itu, JBALB juga berperanan dalam merancang serta membangunkan sambungan bekalan air bersih dan berkualiti ke kawasan luar bandar dan mempunyai peranan dalam hal-hal berkaitan pentadbiran, penguatkuasaan di bawah Ordinan Bekalan Air, Peraturan Bekalan Air dan peruntukan pelesenan yang berkaitan di negeri ini.

Loji Rawatan Air Nanga Sekuau, Sibu

JBALB melaksanakan misinya dengan memberi tumpuan kepada beberapa objektif strategik seperti berikut: –

  • Pembangunan Pelan Induk Bekalan Air dengan mengutamakan projek-projek yang dilaksanakan secara sistematik untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi bekalan air;
  • Meluaskan liputan bekalan air ke semua kawasan yang tidak mempunyai akses bekalan air;
  • Pengurusan dan pembangunan sumber air mentah untuk memastikan bekalan air mentah yang mampan;
  • Meningkatkan pelaksanaan dan pemantauan projek untuk memastikan projek siap mengikut jadual, anggaran dan nilai skim yang diluluskan;
  • Membangunkan keupayaan dalaman untuk perancangan dan reka bentuk sistem bekalan air;
  • Pengurangan air terbuang atau Non-Revenue Water (NRW);
  • Penambahbaikan Sistem Bekalan Air untuk mengatasi kecekapan, pengoptimuman kualiti dan kos melalui penggunaan teknologi baharu yang sesuai dalam sistem bekalan air; dan
  • Pembangunan tenaga kerja mahir, kompeten dan bermotivasi untuk operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air.
Bilik operasi atau ‘Command Centre’ Ibu Pejabat JBALB di Kuching

Menyedari kepentingan air sebagai keperluan asas untuk kelangsungan hidup, JBALB juga mempunyai visi untuk mencapai liputan bekalan air 100 peratus di seluruh Sarawak menjelang 2025.

Visi berkenaan memperkukuhkan kedudukan JBALB dalam industri air di Sarawak serta merupakan cabaran besar yang mesti didepani seperti diakui oleh Pengarah JBALB, Ir. Chang Kuet Shian yang ditemuramah oleh RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Pengarah JBALB, Ir. Chang Kuet Shian

Walau bagaimanapun, berbekalkan dedikasi, kepakaran dan perancangan strategik yang sedang dilaksanakan, beliau percaya bahawa visi tersebut mampu dicapai.

JBALB juga komited dalam mencari idea-idea baharu dan bekerjasama dengan semua pihak dalam membangunkan sumber air bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article