- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Empat Unit Bas Elektrik Baharu Mula Beroperasi Awal Mac 2021

Must read

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah telah melancarkan empat unit bas elektrik (E-Bus) baharu bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 2 Mac 2021.

Sarawak negeri pertama di Malaysia yang telah memperkenalkan bas elektrik yang digerakkan oleh tenaga elektrik tanpa selaras dengan dasar Kerajaan Sarawak yang kini sedang memberi penekanan terhadap pembangunan lestari.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah melakukan simbolik pelancaran bas elektrik baharu

Menurut Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada majlis perasmian, perkhidmatan bas elektrik dengan percubaan yang pertama telah bermula pada 1 Mac 2019 meliputi 26 buah perhentian bas yang mula bergerak dari bangunan mahkamah lama hingga ke Icom Square.

Walau bagaimanapun, dengan hanya satu unit bas, ia tidak dapat menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh kepada orang awam kerana masa dan kawasan yang dilalui terlalu terhad malah, perkhidmatan bas ini akan mengalami gangguan apabila berlakunya kerosakan pada enjin atau keperluannya untuk diselenggarakan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak telah mengesyorkan agar Kerajaan Sarawak menambah empat lagi unit bas elektrik yang baharu dan pada hari ini, impian tersebut telah dapat direalisasikan.

Dengan tambahan jumlah bas tersebut, perkhidmatan bas elektrik ini dapat meliputi kawasan yang lebih luas iaitu daripada 26 buah perhentian bas kepada 54 buah perhentian bas yang akan berulang alik dari Dewan Undangan Negeri (DUN) lama ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang merupakan destinasi terkenal di kalangan para pelancong yang datang ke Sarawak.

Perkara ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik buat negeri Sarawak dan pihak kementerian berharap akan dapat memperluaskan inisiatif ini di bahagian-bahagian lain seperti di Sibu, Miri, Bintulu dan sebagainya bagi menyokong alternatif pengangkutan hijau.

Bas elektrik yang dikendalikan oleh HENZ Pasific Sdn Bhd ini menggunakan bateri yang boleh dicas semula yang bermatlamat untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan pencemaran udara.

Bas elektrik ini turut dilengkapi dengan teknologi-teknologi terkini seperti sistem automasi pengumuman hentian bas, sistem kawasan kandungan penyiaran, kaunter video kiraan penumpang, Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) dan sistem kawalan penyiaran kandungan tepat masa.

Perkhidmatan WiFi percuma tanpa had untuk kemudahan penumpang

Selain itu, di setiap bas turut disediakan enam kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan keselamatan para penumpang adalah terjamin selain perkhidmatan WiFi percuma tanpa had untuk dimanfaatkan oleh para penumpang.

Empat unit bas elektrik ini turut menonjolkan rekaan terbaharu dengan menyediakan ruang untuk penyimpanan basikal lipat dengan itu, penunggang basikal boleh membawa basikal lipat mereka menaiki bas elektrik menuju destinasi yang hendak ditujui.

Dengan kelebihan tersebut juga, penunggang basikal kini boleh menunggang basikal mereka dari rumah masing-masing sehingga ke perhentian bas, seterusnya mereka boleh menaiki bas elektrik bersama basikal lipat mereka.

Keistimewaan lain bas elektrik ini berbanding bas yang sedia ada ialah, ia turut menawarkan perkhidmatan mesra penumpang dengan menyediakan ruang kerusi roda untuk penumpang golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, bas elektrik ini turut membangunkan sebuah aplikasi telefon pintar dikenali sebagai ‘Kuching Metro’ yang boleh dimuat turun melalui IOS dan Android untuk membolehkan pengguna bas mendapat pemantauan tepat masa lokasi bas dan jangkaan masa ketibaan bas.

Mengikut jadual semasa, kesemua empat unit bas elektrik tersebut akan menyediakan kemudahan kepada orang awam dari Dewan Undangan Negeri (DUN) lama ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh  dengan tempoh masa pergerakan selama dua jam bagi setiap bas.

Ruang untuk penyimpanan basikal lipat dan aplikasi telefon pintar ‘Kuching Metro’ yang telah dibangunkan

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article