- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Gerakan Koperasi – Matlamat Bersama Untuk Faedah Bersama

Must read

Koperasi ialah persatuan/organisasi yang dimiliki dan dikendalikan oleh orang tertentu bagi memenuhi keperluan dan aspirasi ekonomi, sosial, dan/atau budaya mereka bersama melalui perniagaan (perusahaan) yang dimiliki bersama dan dikendalikan secara demokratik.

Anggota atau ahli koperasi ialah mereka yang menggunakan produk, bekalan, dan/atau perkhidmatannya. Keuntungan daripada kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh koperasi biasanya dikembalikan kepada ahli koperasi,

Koperasi didasarkan pada nilai-nilai membantu diri sendiri, tanggungjawab ke atas diri, demokrasi, persamaan, ekuiti, dan solidariti. Secara amnya anggota koperasi mempercayai pada nilai etika kejujuran, keterbukaan, tanggungjawab sosial, dan menjaga atau membantu orang lain.

Gerakan koperasi bermula dengan di Britain pada abad ke-19 sebagai tindak balas kepada revolusi industri dan transformasi ekonomi yang mengancam kehidupan pekerja.

Pada tahun 1844 sekumpulan 28 orang pekerja mahir yang bekerja di kilang kapas di bandar Rochdale, di utara England, menubuhkan perniagaan koperasi moden pertama iaitu Rochdale Equitable Pioneers Society.

Kebanyakan mereka daripada kalangan penenun, mereka menghadapi keadaan kerja yang buruk dan upah yang rendah dan tidak mampu membayar harga makanan dan barangan rumah yang tinggi.

Mereka memutuskan untuk mengumpulkan sumber yang mereka ada dan bekerjasama bagi mendapatkan keperluan barang asas dengan harga yang lebih rendah. Pada mulanya, koperasi ini hanya ada empat barang yang dijual iaitu tepung, emping oat, gula, dan mentega.

Di Malaysia, idea gerakan koperasi pertama kali diperkenalkan oleh Sir Arthur Young (Setiausaha British bagi Negeri-negeri Selat) di Negeri-negeri Tanah Melayu pada tahun 1907 hasil pemerhatiannya terhadap kejayaan gerakan koperasi di Cyprus. Namun hanya pada sekitar tahun 1922, idea ini diterima dengan lebih meluas.

Pada 21 Julai 1922, Syarikat Bekerjasama-sama Jimat Cermat dan Pinjaman Wang Pekerja-pekerja, Jabatan Pos dan Telekom Berhad ialah koperasi pertama yang didaftarkan.

Koperasi ini masih aktif sehingga hari ini dengan nama Koperasi Telekom Malaysia Berhad (KOTAMAS) dan Koperasi Pos Nasional Berhad (KOPONAS).

Pergerakan koperasi di Sarawak pula bermula pada tahun 1949 apabila The Sarawak Co-operative Ordinance 1949 diluluskan.

Koperasi Koperkasa Sarawak Bhd (Ko-Perkasa) dengan keahlian 124 orang individu telah ditubuhkan pada 6 September 1949 dan merupakan salah sebuah koperasi perintis di Sarawak.

Model Perniagaan Koperasi

Pemilikan perniagaan biasa didasarkan pada peratusan perniagaan yang dimiliki oleh individu, sehingga diprorata. Perniagaan koperasi agak berbeza.

Pemilikan koperasi didasarkan pada berapa banyak ekuiti yang disumbangkan oleh setiap ahli. Ini ialah struktur pemilikan yang unik, kerana ia boleh didasarkan pada apa sahaja, termasuk berapa banyak perkhidmatan dan produk perniagaan koperasi yang dibeli oleh ahli. Inilah yang menjadikan perniagaan koperasi sangat berbeza dengan perniagaan lain.

Kawalan

Dalam gerakan koperasi kawalan ke atas aktivitinya juga terdapat perbezaan daripada perniagaan biasa. Dalam perniagaan biasa, setiap saham diberikan satu undi. Ini bermaksud pelabur dapat membeli seberapa banyak saham yang mereka perlukan untuk mendapatkan tahap kawalan tertentu dalam perniagaan.

Dalam koperasi, ia sangat berbeza. Setiap ahli hanya mendapat satu undi, Ini mewujudkan persamaan hak suara. Semua ahli kemudian mengambil bahagian dalam menjalankan perniagaan/aktiviti koperasi dan berkongsi tanggungjawab yang terlibat.

Kelebihan Perniagaan Koperasi

Perniagaan koperasi diatur untuk tujuan meningkatkan daya tawar-menawar setiap anggota dan kualiti produk atau perkhidmatan yang diberikan oleh para anggota.

Ia juga bertujuan untuk mengurangkan kos pengeluaran selain bertujuan untuk memberikan persaingan kepada perusahaan yang lebih besar yang memiliki modal yang besar.

Pada masa yang sama koperasi juga berupaya memperluas peluang di pasar dan memanfaatkannya serta untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan yang tidak akan disediakan/ditawarkan oleh entiti perniagaan (syarikat) yang melihat ia sebagai tidak menguntungkan.

Salah satu kelebihan terbesar gerakan koperasi ialah persamaan yang terlibat dalam pengurusannya dan menjadikannya organisasi perniagaan yang jauh lebih stabil daripada perniagaan biasa. Anggota akan datang dan pergi tanpa perlu mengganggu operasi organisasi.

Perniagaan koperasi dimiliki dan dikendalikan oleh ahli, jadi mereka lebih autonomi berbanding perniagaan yang dikendalikan oleh pelabur.

Perniagaan koperasi didasarkan pada falsafah saling tolong menolong. Koperasi bukan sekadar meningkatkan anggota daripada segi ekonomi, tetapi juga moral dan sosial.

Oleh sebab perniagaan koperasi dijalankan secara saksama/bersama, perniagaan koperasi biasanya memanfaatkan sumber yang ada dengan cara yang terbaik, kerana anggotanya juga merupakan anggota masyarakat di tempat ia beroperasi.

Banyak koperasi memberi kembali kepada masyarakat dan menjalin hubungan baik melalui tajaan dan penubuhan atau penyediaan tabung dana.

Malah terdapat koperasi yang menggunakan sumber mereka untuk menubuhkan perniagaan/perusahaan atau perkhidmatan baharu bagi memenuhi keperluan khusus kawasan di mana koperasi berkaitan beroperasi.

Koperasi terikat dengan sifatnya untuk mempertimbangkan kesejahteraan masyarakat di mana mereka beroperasi.

Koperasi telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di seluruh dunia. Koperasi menerapkan nilai-nilai yang diperlukan oleh anggotanya dan ini biasanya merupakan nilai-nilai yang terbaik untuk masyarakat pada umumnya.

Model asas gerakan koperasi berteraskan faedah sosial dan model ini menjadi bukti bahawa pertumbuhan dan keuntungan ekonomi masih boleh dapat diperoleh dan dalam sama yang sama masih mampu melaksanakan tanggungjawab sosial.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article