- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ketua Menteri, Canselor Kolej Universiti i-CATS Yang Pertama

Must read

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak telah dilantik sebagai Canselor Pertama Kolej Universiti i-CATS.

Watikah pelantikan kepada YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari diserahkan sempena Konvokesyen Ke-23 Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS serta pelancaran naik taraf i-CATS menjadi sebuah Kolej Universiti pada 8 Mac 2021.

Dengan status sebagai sebuah kolej universiti, Kolej Universiti i-CATS boleh menawarkan lebih banyak program daripada peringkat ijazah Sarjana hingga ke peringkat Sarjana Falsafah

Sarawak Skills sejak penubuhannya telah berjaya melatih dan melahirkan lebih 60,000 graduan dalam bidang kemahiran serta akademik.

YAB Ketua Menteri melahirkan rasa bangga beliau kerana i-CATS kini telah diiktiraf menjadi sebuah universiti kolej.

“Sememangnya, Sarawak agak ke hadapan dari segi membangunkan sumber tenaga manusia sendiri walaupun pendidikan dan kemahiran merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Sarawak mempunyai pusat dan institusi kemahiran Skills dan i-CATS, dan Centexs selain pusat kemahiran lain di bawah tanggungjawab persekutuan seperti Politeknik, ILP, Kolej Vokasional, Kolej Komuniti,  IKM dan lain-lain,” jelas Ketua Menteri.

Seterusnya Ketua Menteri menggesa agar institusi universiti, vokasional dan pusat latihan kemahiran khas untuk menjana kemahiran dalam teknologi baharu yang memperkasakan ekonomi hijau.

“Dalam perkembangan ekonomi dunia yang sedang giat menuju ke arah penggunaan tenaga yang bersih, adalah dijangkakan bahawa gas hidrogen akan menjadi sumber tenaga utama dalam dekad-dekad yang akan datang,” kata Ketua Menteri.

Dalam hal ini, Ketua Menteri menyatakan bahawa Sarawak sudah mendahului negeri-negeri lain dengan mula mengorak langkah untuk merintis penggunaan hidrogen, khususnya dalam sektor pengangkutan.  Loji pengeluaran gas hidrogen di bawah kelolaan Sarawak Energy di Pending merupakan kemudahan pertama di rantau ini.

“Saya yakin institusi seperti Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS boleh memainkan peranan sebagai penjana sumber tenaga mahir atau specialist dalam pelbagai teknologi baru termasuk pembangunan pengunaan gas hidrogen dan teknologi digital yang menjadi pemangkin kepada ekonomi masa kini,” nyata Ketua Menteri 

Pengerusi Sarawak Skills yang juga Presiden Dan Pro-Canselor Kolej Universiti i-CATS,  Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz  Bin Dato Haji Husain dalam ucapan aluannya menyatakan, “kejayaan Sarawak Skills dan Kumpulan Institusi Pembelajaran di bawah naungannya tidak akan berjaya jika tidak mendapat kerjasama erat daripada tripartide-colloboration iaitu Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Industri-industri.”

“Sarawak Skills telah menepati kehendak industri dalam pengeluaran graduannya di mana purata 89% graduan dan pelatihnya mendapat pekerjaan dalam jangka masa enam (6) bulan selepas menamatkan pengajian mereka.”

“Model kerjasama ini akan kita perhebatkan supaya ianya lebih berkesan lagi dalam masa yang terdekat ini.”

“Kita komited untuk melibatkan pihak industri untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran,” jelas beliau.

Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 742 graduan yang terdiri daripada 327 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 119 penerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan lima (5) penerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Sementara itu seramai tujuh (7) graduan akan menerima Sijil Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik, 259 graduan akan menerima Diploma dalam pelbagai bidang, dan 25 graduan daripada Ijazah Kejuruteraan Perisian dan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Universiti i-CATS.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article