- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Benteng Penahan Hakisan Sungai Simunjan Dibina Semula

Must read

Projek benteng penahan hakisan sungai Simunjan sepanjang kira-kira 500-meter akan dibina semula dengan kos yang dianggarkan berjumlah RM80 juta sehingga RM200 juta.

Perkara ini dimaklumkan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak projek benteng penahan hakisan sungai Simunjan pada 10 Mac 2021.

Beliau difahamkan pada November tahun lepas (2020), projek penahan hakisan sungai Simunjan yang masih dalam pembinaan telah terjejas susulan fenomena air pasang dan arus deras.

Tapak projek penahan hakisan sungai Simunjan yang telah terjejas susulan fenomena air pasang dan arus deras pada November 2020

Justeru, pembinaan semula projek benteng penahan hakisan itu akan dilaksanakan semula selepas konsep pembinaan yang telah dikaji semula siap menjelang hujung tahun ini.

Ketua Menteri menjelaskan bahawa kajian terperinci mengenai struktur tanah dan teknologi yang digunakan bagi pembinaan benteng penahan hakisan yang lebih kukuh dan efektif perlu dilakukan.

Berhubung dengan perkara tersebut, jurutera yang terlibat dalam projek ini akan diarahkan untuk melakukan kajian meskipun ia mungkin akan menelan belanja yang agak besar.

Hal ini kerana, benteng yang hendak dibina ini akan bermula dari penghujung pekan Simunjan sehingga ke penghujung Kampung Sageng yang sudah tentunya akan memberi impak yang sangat besar terutama dalam membantu membangunkan pekan Simunjan.

Malah, pembinaan benteng itu juga merupakan tambahan kepada satu lagi projek penahan hakisan dalam usaha meningkatkan piawaian keselamatan di kawasan sungai yang akan diperluas di pesisir pantai Sarawak khasnya di Samarahan yang terjejas akibat fenomena hakisan sungai semula jadi.

Beliau berkata, pelbagai bentuk pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan akan mampu melonjakkan pembangunan ekonomi di Daerah Simunjan misalnya pembinaan jajaran jalan raya yang sudah pasti akan dapat membantu meningkatkan sektor ekonomi dan perhubungan rakyat setempat.

Bahkan dengan adanya projek seperti pembinaan jalan raya, ia akan dapat menghubungkan Simunjan dengan Samarahan dan Gedong dengan Serian dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Tambah beliau, Daerah Simunjan sememangnya terkenal sebagai kawasan bakul makanan food busket) malah turut menjadi destinasi utama pengunjung dari luar untuk mendapatkan makanan yang diperolehi daripada sungai mahupun laut terutamanya udang.

Beliau percaya dalam tempoh lima tahun akan datang, perjalanan dari Simunjan ke Kuching sudah dapat dipendekkan daripada empat jam sebelum ini kepada satu jam, malah lebih banyak kemudahan lain akan dapat dibangunkan di pekan Simunjan.

Selain itu, kerajaan juga akan dapat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi serta membuka kawasan pertanian moden berteraskan teknologi maklumat (IT) sekali gus akan dapat membantu anak-anak muda yang menceburi bidang pertanian dan kejuruteraan mendapat pekerjaan.

Terdahulu Ketua Menteri bersama rombongan telah menghadiri taklimat pembangunan di Anjung Rehat seterusnya menyempurnakan perasmian Rumah Rehat Sri Simunjan.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyempurnakan perasmian Rumah Rehat Sri Simunjan
Plug Perasmian Rumah Rehat Sri Simunjan yang ditandatangani Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article