Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 17 Mac 2021 telah mengadakan Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS 2021 (MAGU 2021) di Arena Gemilang, Kampus UNIMAS.
YB Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak adalah tetamu kehormat dan telah menyempurnakan majlis penyampaian anugerah itu.
Majlis ini merupakan acara tahunan sejak 2010 yang merupakan sebagai penerus tradisi universiti dalam mengiktiraf serta meraikan penerima-penerima anugerah kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pengurusan dan juga sukan.
Pengiktirafan seperti ini sememangnya mampu menjadi pendorong dan kayu ukur bagi memotivasikan lagi warga kampus dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cekap, amanah, beriltizam tinggi serta dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor, UNIMAS dalam ucapan alu-aluanya, menyatakan UNIMAS menyasarkan muncul sebagai universiti yang berjenama global namun dalam masa yang sama tidak akan melupakan tanggungjawab mereka untuk memupuk transformasi komuniti.
Prof. Datuk Dr Mohamad memberi contoh usaha UNIMAS membantu menyediakan bekalan air bersih di SMK Ulu Balingian yang menghadapi masalah bekalan air bersih melalui sistem penapisan air ultra (water ultrafiltration) yang direkabentuk dan dipasang oleh penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan UNIMAS dengan kerjasama penyelidik Universiti Malaya, baru-baru ini.
Kejayaan ini menurut Prof. Datuk Dr Mohamad mendorong Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan 11 buah lagi projek sistem penapisan air ultra di sekolah- sekolah luar bandar Sarawak.
Pengiktirafan kecemerlangan pada MAGU 2021 boleh dijadikan contoh teladan kepada warga universiti yang lain, dalam melahirkan penjawat awam yang berintegriti, berwawasan dan berpandangan jauh serta dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang
Di samping itu, majlis ini turut meraikan para pesara dan juga bakal pesara UNIMAS untuk tahun 2020/2021.
Seramai 164 orang warga kerja UNIMAS telah diberikan pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada MAGU 2021.
Selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, turut disampaikan ialah Anugerah Perkhidmatan Setia, Penghargaan Sempena Persaraan, Anugerah Inovasi ICT Pengurusan, Anugerah Webometrics dan Anugerah RISE@UNIMAS.
MAGU 2021 turut menghargai warganya dengan penganugerahan Anugerah Tokoh Akademik UNIMAS, Anugerah Pengajaran UNIMAS, Anugerah Ahli Akademik Harapan UNIMAS, Anugerah Kumulatif Tertinggi Penerbitan Dalam Jurnal Berimpak, Anugerah Inovasi Dan Pengkomersialan Produk UNIMAS, Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun) UNIMAS, Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) UNIMAS, Anugerah Penerbitan UNIMAS, Anugerah Seni Dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran Transformatif and Anugerah Pentaksiran.
Sumbangan warga kerja UNIMAS dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional diiktiraf dengan penyampaian Anugerah Kepemimpinan Pengurusan dan Profesional, Anugerah Kepemimpinan Pelaksana, Anugerah Staf Harapan Pengurusan dan Profesional, Anugerah Staf Harapan Pelaksana dan Anugerah Penghargaan Pelaksana.
Turut diberikan pengiktirafan ialah warga UNIMAS yang cemerlang dalam sukan melalui Anugerah Kecemerlangan Sukan, Anugerah Galakan Sukan dan Anugerah Kecemerlangan Sukan (Berpasukan).
Pada MAGU 2021, pihak universiti turut menyampaikan Anugerah Permata Gemilang kepada Allahyarhamah Puan Korina Ibrahim, Pengarah, Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Rejab 1442H bersamaan 20 Februari 2021.
YB Datuk Amar Jaul telah menyampaikan anugerah ini kepada Prof Dr Othman Bojo, waris Allahyarhamah Puan Korina Ibrahim.