- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Dua Pusat Kegiatan Ekonomi Luar Bandar di Lawas Mendapat Perhatian KPLB

Must read

Pusat Kraftangan Manik Seramik Kampung Tuma dan Stesen Pembiakan Kerbau Meragang di Daerah Lawas telah mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB) yang berpotensi untuk dimajukan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, YB Datuk Dr. Abd Latiff bin Ahmad yang diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke kedua-dua pusat kegiatan ekonomi berkenaan pada 28 Mac 2021.

Lawatan diadakan bagi meninjau perkembangan kedua-dua pusat yang begitu signifikan dalam menjana pendapatan penduduk dan ekonomi luar bandar, khususnya di Daerah Lawas, dalam Bahagian Limbang.

Pusat Kraftangan Manik Seramik yang terletak di Kampung Long Tuma, Lawas merupakan satu-satunya pusat yang menghasilkan manik seramik di Sarawak.

Manik seramik yang dihasilkan diperbuat daripada tanah liat yang digali dari dasar Sungai Pa’ Lawas ketika air surut oleh sekumpulan kecil wanita dari etnik Lun Bawang.

Pusat Kraftangan Manik Seramik Kampung Long Tuma bukan sahaja menjana pendapatan komuniti, bahkan juga, besar maknanya bagi para pekerja dan pengusaha kerana mereka mahu terus menghidupkan tradisi penghasilan manik seramik tradisional daripada etnik Lun Bawang.

Menurut Pengurus, Puan Patricia Busak, aktiviti penghasilan manik di pusat berkenaan dijalankan oleh empat orang pengusaha dan enam orang pekerja sambilan.

Sekitar 8,000 ke 10,000 manik dapat dihasilkan sebulan dengan pendapatan bulanan berjumlah RM3,000 ke RM4,000.

Hasil daripada lawatan YB Datuk Dr. Abdul Latiff, KPLB telah meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi membina bangunan tambahan dan peralatan di pusat tersebut selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan hasil jualan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di samping meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan.

Beliau juga berharap agar manik yang dihasilkan dipasarkan secara dalam talian dan berkembang ke peringkat antarabangsa, seterusnya dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk, khususnya di luar bandar.

Di Stesen Pembiakan Kerbau Meragang, YB Datuk Abdul Latiff dan rombongan meninjau bagaimana kaedah penternakan kerbau dikendalikan.

Stesen berkenaan menghasilkan produk tenusu seperti keju untuk dipasarkan ke pasaran global.

Beliau berharap supaya penghasilan produk berkenaan dapat membangunkan sosioekonomi penduduk dan kawasan sekitar Lawas.

Pada Februari lepas, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) YB Datuk Abdul Rahman Ismail yang turut mengiringi lawatan tersebut mengumumkan cadangan menaik taraf sistem pembiakan kerbau di stesen berkenaan melalui dana berjumlah RM9 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Kerja-kerja naik taraf akan dilaksanakan oleh Jabatan Veterinar Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) yang bertujuan untuk menambah baik pembiakan kerbau-kerbau untuk diserahkan kepada petani dan penternak di bawah Skim Pawah.

Penternakan kerbau merupakan antara aktiviti utama yang menjana ekonomi di Daerah Lawas

DVS akan bekerjasama dengan syarikat swasta terpilih dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta melatih para penternak yang terlibat.

Selain itu, sebahagian aktiviti ternakan di Stesen Pembiakan Kerbau Meragang juga dicadangkan untuk diswastakan, terutama di bahagian pembiakan.

Melalui cadangan ini, sebuah syarikat swasta yang dipilih kelak akan menjalankan operasi bahagian pembiakan dengan sasaran 250 ekor kerbau setahun dalam usaha meningkatkan populasi kerbau di Sarawak.

Jumlah semasa kerbau di negeri ini direkodkan sekitar 6,000 ekor dan dijangka akan meningkat kepada sekurang-kurangnya 11,000 ekor menjelang tahun 2030.

Yang turut menyertai rombongan lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Henry Sum Agong dan Residen Bahagian Limbang, Encik Ir. Ahmad Denney bin Haji Ahmad Fauzi.

Pemandangan dari udara Daerah Lawas, Limbang
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article