- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Meningkatkan Pengeluaran Makanan Melalui Pemodenan dan Pengkomersialan Pertanian

Must read

Selari dengan perkembangan teknologi dan aktiviti dalam pelbagai sektor global berasaskan digital, Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah mengambil langkah proaktif dalam penggunaan teknologi untuk memodenkan pertanian di Sarawak.

Langkah berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan pertanian yang lestari selari dengan hasrat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan di rantau ini menjelang 2030.

Kaedah mempromosi pertanian moden giat dijalankan oleh DOA, antaranya adalah memperkenalkan kaedah tanaman secara fertigasi dan hidroponik.

Kaedah tanaman hidroponik merupakan salah satu kaedah penanaman moden yang mampu meningkatkan hasil pertanian

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), seramai 3,549 orang petani telah mendapat manfaat daripada kaedah tanaman fertigasi dan hidroponik dengan peruntukan berjumlah RM12.85 juta.

Penggunaan dron bagi memodenkan industri padi di Sarawak juga sedang dalam perancangan. DOA bercadang menggunakan dron untuk menjalankan proses pembajaan dan penyemburan racun perosak di kawasan penanaman padi.

Satu projek rintis (pilot project) dijadual untuk dilaksanakan di kawasan tanaman padi di Tanjung Purun, Lundu yang akan diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gading pada musim menuai yang akan datang.

Bagi meningkatkan produk pertanian, teknologi internet kebendaan (IoT) diaplikasikan terhadap beberapa projek pertanian.

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi yang terletak di Kuching merupakan salah satu kaedah pertanian yang menggunakan IoT.

Tanaman yang menggunakan kaedah IoT di TKPM Rampangi, Kuching

TKPM Rampangi yang mula beroperasi pada 2018 sebagai projek rintis jabatan mempunyai 40 struktur pelindung hujan (SPH) serta dilengkapi IoT pada 2019 dan siap sepenuhnya pada 2020.

Dalam tempoh 2018 hingga 2020, nilai hasil pengeluaran daripada TKPM Rampangi mencapai RM697,529 dengan pengeluaran sebanyak 66.9 tan metrik.

Bermula pada tahun 2021, DOA sedang merancang untuk mengadaptasi model yang sama di beberapa lokasi berlainan, antaranya di Pusat Penyelidikan Pertanian Semonggok, Stesen Pertanian Tarat dan Pusat Latihan Pertanian Sungai Sebiew.

Dari segi pengkomersialan, DOA telah membangunkan infrastruktur pertanian dan ekosistem rantaian pemasaran.

Antara usaha yang dijalankan termasuklah membangunkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk Pertanian (CPPC) di Tarat, Layar, Lawas, Limbang, Lundu, Lachau, Sebangan, Betong, Sarikei, Kapit, Long Lama dan Julau.

CPPC Tarat telah siap sepenuhnya dan telah beroperasi pada 30 Disember 2019. Manakala CPPC yang lain pula sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan perancangan.

DOA juga telah berjaya melaksanakan 1,186 projek penyelenggaraan, baik pulih, naik taraf dan pembinaan jalan ladang sepanjang 2,000 kilometer dengan kos RM122 juta yang telah memberi manfaat kepada lebih 27,000 petani di seluruh Sarawak di bawah RMK-11.

Antara lain, sebuah pasar borong di Kota Samarahan kendalian Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dengan peruntukan RM5 juta telah siap dibina dan beroperasi pada Mac 2021.

Pasar borong berkenaan dibina bagi meningkatkan capaian pasaran bagi hasil pertanian komuniti tani.

Penanaman nanas secara berkelompok adalah antara usaha pengkomersialan hasil pertanian yang giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian Sarawak

Jabatan juga telah menjalankan kolaborasi dengan syarikat-syarikat peneraju yang mempunyai kepakaran dan modal kewangan yang kukuh bagi membantu petani kecil memasarkan hasil pertanian mereka.

Sebagai contoh, sejumlah 223 tan metrik pes dan pulpa durian telah dieksport ke Semenanjung Malaysia dan negara China dengan anggaran nilai RM4.86 juta menerusi kolaborasi antara jabatan dengan Syarikat Top Fruits Sdn. Bhd di Tarat, Serian dan Syarikat A.T.A Supplies di Layar, Betong.

Usaha-usaha pengkomersialan pertanian yang lain termasuklah mempergiatkan tanaman secara berkelompok seperti projek tanaman kelapa di Kampung Limo, Lundu seluas 10 hektar, tanaman pisang di Bakong, Miri (10 hektar), tanaman nanas di Sungai Kut, Dalat (63 hektar) dan sebagainya.

Melalui penanaman secara kelompok, DOA menyelaras pengedaran input pertanian, penyediaan infrastruktur ladang, pemasaran dan khidmat nasihat dengan cekap bagi memastikan projek yang dijalankan memberi impak tinggi.

Di samping itu juga, DOA turut membantu para petani dan usahawan dalam pembangunan pusat pengumpulan di lokasi-lokasi yang strategik bagi membangunkan industri hiliran yang berasaskan agro makanan.

Membangunkan tujuh (7) buah TKPM dengan anggaran keluasan sekitar 406 hektar juga merupakan antara langkah pengkomersialan pertanian yang diambil oleh DOA.

Usaha tersebut akan memanfaatkan seramai 121 orang peserta yang meliputi TKPM Semonggok, TKPM Pejiru dan TKPM Rampangi di Kuching, TKPM Sungai Ma’aw di Sibu, TKPM Penipah di Mukah, TKPM Kabuloh di Miri dan TKPM Kubong di Limbang.

Setakat ini, lima (5) TKPM telah beroperasi, iaitu TKPM Kabuloh, Semonggok, Rampangi, Pejiru dan Penipah dengan anggaran nilai hasil jualan melebihi RM6.8 juta pada tahun 2020.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article