Sarawak Delta Geopark (SDGp) yang mempunyai ciri-ciri istimewa dijangka dapat meningkatkan ekonomi Sarawak, khususnya dalam sektor geopelancongan.
Hasil survei dan pemetaan di kawasan yang meliputi SDGp dapat dimanfaatkan oleh rakyat secara maksimum sebagai produk atau tempat pelancongan yang mampu menjana pendapatan sekiranya dibangunkan dengan sistematik.
Keyakinan tersebut disuarakan Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg Ketika beliau merasmikan Sarawak Delta Geopark di Kampung Budaya Sarawak pada 9 April 2021.
Menurut beliau, dalam kawasan SDGp telah pun ada tempat-tempat menarik seperti Taman Negara Bako, Taman Negara Santubong, Rizab Semula jadi Wind Cave, Rizab Semula jadi Fairy Cave dan sebagainya.
Geopark merupakan kawasan yang memiliki unsur-unsur ekologi, arkeologi, sejarah dan budaya. Oleh itu, pemilihan Sarawak Delta sebagai geopark menurut Ketua Menteri sangat bertepatan kerana kawasan berkenaan menepati ciri-ciri sebuah geopark.
Ciri-ciri istimewa SDGp yang terserlah antaranya adalah, ruang bawah tanah Sundaland yang merupakan antara sedimen terawal dalam evolusi geologi rantau Asia berusia 355 juta tahun selain daripada kawasan berkenaan yang ada kaitannya dengan pembentukan batu Tuang, pembentukan Sejingkat, pembentukan gunung berapi Serian, pembentukan batu kapur Bau dan pembentukan batu pasir Kayan.
Ketua Menteri berharap supaya keistimewaan SDGp yang memenuhi semua elemen standard geopark antarabangsa akan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan, seterusnya ke peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Menteri Muda YB Datuk Haji Len Talif bin Salleh dalam ucapan aluan beliau menerangkan SDGp merupakan geopark pertama yang dicadangkan di Sarawak dan cadangan tersebut pertama kali dibentangkan pada 2009 oleh Dr. Patrick McKeever, iaitu seorang wakil dari Kumpulan Pakar UNESCO Global Geoparks (UGGPs).
Setelah Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bersetuju untuk membangunkan SDGp pada 2016, Jawatankuasa Saintifik yang membantu membangunkan geopark tersebut pula diwujudkan sehinggalah Kerajaan Sarawak meluluskan cadangan tersebut pada November 2019.
SDGp dengan keluasan 311,246 hektar meliputi kawasan daratan dan air yang mewakili kesatuan warisan geologi, biologi dan budaya istimewa yang terdapat di Daerah Kuching, Daerah Bau, Daerah Kecil Padawan, Daerah Samarahan dan juga Daerah Kecil Siburan.
Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.045 juta sebagai persediaan kepada usaha untuk mencapai pengiktirafan SDGp sebagai Geopark Kebangsaan.
Peruntukan yang mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan juga diharapkan agar dapat menyokong usaha Kerajaan Sarawak mendapatkan pengiktirafan Sarawak Delta yang merupakan geopark pertama yang meliputi kawasan delta sebagai geopark pertama di Sarawak, seterusnya mendapatkan pengiktirafan di peringkat global.
Pada masa sekarang, sebanyak 161 geopark di dunia yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark.
Manakala di Malaysia pula terdapat sebuah geopark yang diiktiraf oleh UNESCO, iaitu di Langkawi dan tiga geopark kebangsaan, iaitu di Jerai, Kedah, Lembah Kinta di Perak dan Kinabalu di Sabah.