Pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang sinonim dengan masyarakat di luar bandar. Lazimnya, petani luar bandar mewarisi kemahiran bertani dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Biarpun sudah memiliki kemahiran, bimbingan dan latihan masih perlu dikembangkan kepada golongan petani supaya hasil pertanian dan pendapatan mereka dapat ditingkatkan.
Menyedari akan hal ini, Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah memperkenalkan Agriculture Community Outreach Programme atau ringkasnya, AgriCOP.
AgriCOP merupakan program pengembangan dan perkongsian ilmu pengetahuan dalam bidang pertanian, terutama dalam teknologi tanaman, perikanan dan agro makanan yang dilaksanakan menerusi ceramah, pameran, model dan demonstrasi pertanian.
Objektif program adalah untuk memberi pendedahan secara langsung mengenai kaedah pertanian dan teknologi pertanian terkini kepada golongan sasar.
Penganjuran program juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan pelbagai kemahiran yang sudah pun dimiliki oleh para peserta dan dijangka akan memperkasakan lagi sektor pertanian luar bandar.
Lebih daripada itu, AgriCOP diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan merapatkan diri dengan rakyat di luar bandar.
AgriCOP dijalankan di semua bahagian di Sarawak dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
Setakat hujung tahun 2020, seramai 35,000 orang peserta daripada 346 buah kursus yang dianjurkan telah mengikuti program tersebut.
Melalui perkongsian dan latihan dalam inisiatif AgriCOP, golongan tani diharapkan dapat meningkatkan produk dan kualiti hasil pertanian, seterusnya mempertingkatkan taraf hidup dan sosioekonomi di kawasan komuniti tani yang terlibat.