- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pembangunan Sektor Pertanian Dan Industri Makanan Sarawak

Must read

Sektor pertanian di Sarawak dilihat begitu penting, malah telah menjadi aktiviti utama terutama bagi penduduk di kawasan luar bandar kerana ia merupakan punca pendapatan utama mereka.

Jika dilihat dalam tempoh lebih suku abad yang lalu, sektor pertanian dilihat agak “pasif” dan gaya pelaksanaan aktiviti pertanian juga masih dijalankan secara tradisional bahkan tidak kurang daripada petani yang lebih tertumpu kepada pertanian pindah dan sara diri.

Menyedari keadaan ini, Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah mencari pelbagai kaedah yang baharu dan berinovatif untuk dilaksanakan bagi memperkasakan sektor ini.

Antara usaha yang dilakukan ialah menggiat dan menggalakkan pertanian bercorak komersial, tersusun, penggunaan tanah yang intensif, pengurusan yang cekap, amalan agronomi yang betul dan penggunaan teknologi yang lebih canggih dan moden.

Penggunaan teknologi yang moden dan terkini dalam sektor pertanian

Tidak diketepikan juga usaha untuk membentuk dan mewujudkan ciri-ciri pengusaha sektor pertanian yang mempunyai sikap ingin dan mahu berubah, kompetitif dan berdaya saing berteraskan pengetahuan dan teknologi untuk menghadapi saingan global pada hari ini.

Hal ini kerana petani harus memanfaatkan teknologi moden dan mengeluarkan produk berdasarkan keperluan pasaran dari segi kuantiti, kualiti dan ketepatan masa pembekalan.

Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah menjalankan pelbagai projek pembangunan malah, turut menawarkan perkhidmatan profesional dan berkualiti kepada pekebun kecil, usahawan dan sektor swasta dalam usaha mempromosikan penggunaan teknologi yang moden dan lebih efisien.

Perkhidmatan secara spesifik yang ditawarkan seperti khidmat nasihat dan rundingan, perkhidmatan sokongan teknikal dan juga khidmat penyesuaian dan penguatkuasaan melibatkan pembangunan dan pengurusan komoditi pertanian, kuarantin tanaman, racun perosak, pengeluaran biji benih dan bahan-bahan yang berkaitan dengan tanaman.

Pada hari ini, kita sudah dapat menyaksikan sektor pertanian sudah semakin maju dan berdaya saing malah menjadi salah satu sektor yang sangat penting dan diberi perhatian dalam mentransformasikan ekonomi Sarawak.

RAKAN Sarawak amat bertuah kerana sepanjang hampir tiga (3) dekad yang lalu telah berpeluang melihat dan mendokumentasikan beberapa program yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menjadikan sektor ini terus mampu menjadi tunjang pembangunan masyarakat khasnya di luar bandar.

Ke Arah Produk Berkualiti dan Budaya Niaga Bistari

RAKAN Sarawak keluaran suku keempat tahun 1999 mengulas tentang bidang pertanian yang semakin mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat sehingga kerajaan melalui beberapa dasar seperti Dasar Pertanian Negara Ketiga telah memberikan penekanan khusus kepada pertanian komersial.

Pertanian komersial bukan sahaja berupaya memenuhi keperluan permintaan makanan negara malah turut dapat memberikan pulangan kewangan yang lumayan melalui pengeksportan makanan yang mempunyai nilai tambah.

Ke arah produk berkualiti dan budaya niaga bistari (gambar tahun 1999)

Melalui beberapa agensinya seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kerajaan telah memainkan peranan aktif membimbing para petani, penternak dan nelayan yang berminat menjadi usahawan di dalam bidang pertanian ini.

Program Pembangunan Manusia Berasaskan Kampung

Merujuk rencana yang dipetik dari RAKAN Sarawak keluaran suku ketiga tahun 2000, Jabatan Pertanian melalui Pertubuhan Peladang Kawasan telah melaksanakan program Projek Pembangunan Manusia Berasaskan Komoditi (PMAK) di kampung Selangau-Danau/Hunai, Bekenu.

Program tersebut berteraskan pembangunan manusia serta disulami dengan pembangunan projek serta persekitaran kampung, bermula dengan perubahan sikap serta sistem nilai dan cara berfikir masyarakat kampung untuk dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih berdaya maju dan berkualiti.

Salah satu matlamat program adalah untuk membasmi kemiskinan dan kemunduran kawasan kampung dengan melaksanakan aktiviti meningkatkan pendapatan keluarga menerusi pelbagai projek berbentuk ekonomi yang berdaya maju agar mereka dapat menikmati pembangunan sepenuhnya.

Projek PMAK di Kampung Selanyau pada masa itu terdiri daripada tiga komponen utama iaitu pembangunan kampung, pembangunan manusia dan pembangunan ekonomi.

Program Pembangunan untuk Memperkasa Wanita

Program Bimbingan Usahawan (EGP) diperkenalkan untuk membantu wanita menjadi lebih produktif dalam bidang ekonomi selaras dengan visi dan misi Jabatan Pertanian dalam RMK8.

Merujuk kepada rencana yang dipetik daripada RAKAN Sarawak terbitan November 2005, EGP bertujuan untuk mengenal pasti aktiviti-aktiviti bagi menambah pendapatan wanita yang berpotensi, berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang pertanian, pemprosesan makanan atau kraftangan melalui penerapan ciri-ciri budaya niaga yang sistematik.

Program Bimbingan Usahawan (EGP) diperkenalkan semasa RMK8 bagi membantu wanita menjadi lebih produktif

Pemilihan peserta untuk program ini dilakukan oleh setiap bahagian di mana setiap peserta yang terpilih hendaklah memperolehi pendapatan kurang daripada RM10 ribu setahun.

Tempoh pelaksanaan program ini adalah selama tiga tahun, dan setiap peserta yang telah mengikuti kursus akan diberi bantuan tidak melebihi RM10 ribu atau mengikut keperluan projek.

Pada tahun 2004, terdapat kira-kira 18 orang usahawan wanita telah menyertai program EGP ini di Bintulu.

Sementara itu, program Industri Kecil (SSI) telah diperkenalkan untuk menaik taraf perusahaan industri kampung ke tahap industri kecil untuk menjadikannya berdaya maju di kalangan perusahaan yang terlibat dalam program bimbingan cawangan Pembangunan Ekonomi Wanita Jabatan Pertanian (WEDA).

Program Pembangunan untuk Memperkasa Wanita Merujuk artikel yang dipetik dari RAKAN Sarawak keluaran November 2005, pemilihan peserta untuk program ini mengambil kira faktor bahawa peserta itu hendaklah seorang pengusaha wanita perseorangan yang terbabit secara aktif dalam perusahaan industri kampung.

Selain itu, calon berkenaan hendaklah mempunyai ciri keusahawanan yang berdaya maju, iaitu berpendapatan bersih minimum kira-kira RM24, 000 setahun dan telah mempunyai beberapa peralatan/ mesin atau bangunan sendiri selain bersedia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian.

Usaha Jabatan Pertanian melalui cawangan WEDA ini telah banyak membantu golongan sasarnya untuk berjaya dalam perusahaan masing-masing.

Penubuhan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)

Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan telah diperkenalkan pada tahun 2000 sebagai salah satu daripada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan di dalam negara serta menggalakkan penglibatan pihak swasta untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.

Merujuk sebuah artikel dalam RAKAN Sarawak keluaran suku kedua tahun 2009, kerajaan telah membelanjakan RM25.7 juta dalam RMK-8 untuk TKPM sementara bagi tempoh RMK-9, kerajaan memperuntukkan RM137 juta untuk program ini iaitu RM76.25 juta di bawah RMK-9 dan selebihnya iaitu RM61 juta adalah di bawah dasar jaminan bekalan makanan.

Pembangunan TKPM melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pengusaha

TKPM merupakan salah satu strategi di bawah dasar pertanian negara yang ketiga bertujuan menggalakkan pelaksanaan projek pertanian berskala besar, komersial dan teknologi tinggi oleh usahawan termasuk sektor swasta.

Penubuhan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pembangunan TKPM melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pengusaha bertujuan untuk melahirkan usahawan dalam bidang pengeluaran tanaman makanan dan mewujudkan zon kekal bagi pengeluaran tanaman makanan.

Program Pendidikan Pertanian Dipertingkatkan bagi Menghadapi Cabaran Globalisasi

Seiring dengan perkembangan sektor pertanian di Sarawak, pelbagai institusi telah diwujudkan, antaranya yang telah lama bertapak ialah Institut Pertanian Sarawak (IPS) yang telah ditubuhkan pada tahun 1983.

Merujuk kepada artikel yang dipetik dari RAKAN Sarawak terbitan September 2002, IPS adalah sebuah institusi latihan di bawah Jabatan Pertanian Sarawak yang berpengalaman luas dalam bidang latihan dan satu-satunya institusi yang memberi tumpuan pengajian sepenuhnya dalam sektor pertanian pada peringkat sijil.

Tempoh pengajian di IPS adalah selama dua tahun melibatkan tiga Program Pendidikan Pertanian Dipertingkatkan bagi Menghadapi Cabaran Globalisasi bidang iaitu asas, kemahiran dan pengkhususan yang dianggap penting bagi pembangunan pertanian.

Majlis Penyampaian Sijil Institut Pertanian Sarawak Sesi 2000/2002 pada 20 Ogos 2002

Sejak ditubuhkan sehingga kini, IPS telah berjaya melahirkan ramai tenaga mahir dalam sektor pertanian meliputi bidang pengurusan dan teknologi pengeluaran tanaman, memproses hasil pertanian, ternakan, perladangan, mekanisasi ladang dan landskap. Bagi menghadapi cabaran masa hadapan, IPS telah menyusun beberapa perancangan dan strategi antaranya memperkenalkan beberapa kursus baharu seperti Sijil Akuakultur serta menaiktaraf kemudahan di bangunan yang sedia ada selain membeli peralatan baru

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article