- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Digital Penggerak Ekonomi Masa Kini

Must read

Artikel ini disesuaikan daripada artikel asal : Memperkasa Ekonomi Digital yang disiarkan dalam RAKAN Sarawak keluaran Oktober – Disember 2019

Kerajaan Negeri di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 telah membentuk inisiatif untuk mencapai agenda pembangunan digital dengan memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu pertanian terancang, Industri 4.0, pelancongan, bandar pintar, e-dagang dan kerajaan digital.

Setakat ini, kerajaan telah menyediakan sejumlah RM750 juta bagi tujuan tersebut dan untuk tahun 2020, sejumlah RM400 juta akan disediakan bagi meneruskan pelaksanaan pelbagai aktiviti ekonomi digital termasuk pembinaan 300 buah menara telekomunikasi, Pertanian Pintar dan Lampu Isyarat Pintar.

Selain itu, ia juga untuk membangunkan Pusat Operasi Bersepadu Sarawak (SIOC), Hab Inisiatif dan Inovasi Kampung Digital, Kolaborasi Berasaskan Kawasan (ABC) Geran penyelidikan untuk membangunkan komponen digital dalam sektor ekonomi dan Memperkasakan serta Mempertingkatkan Kemahiran Graduan.

Berswafoto menggunakan telefon pintar

Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang berusaha menaik taraf perhubungan telekomunikasi yang dilaksanakan secara berperingkat agar semua kawasan akan dirangkumi dengan rangkaian internet.

Sehubungan itu, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan membina kira-kira 600 buah menara telekomunikasi yang memberi tumpuan terhadap kawasan luar bandar menjelang tahun 2022 dan daripada itu, 300 buah menara telekomunikasi akan siap dibina pada 2020.

Perkara ini dinyatakan Pengurus Besar SMA, Dr. Zaidi bin Razak ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat Lembaga Multimedia Sarawak di Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Masjid Kuching pada 19 November 2019.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Lembaga Multimedia Sarawak di Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Masjid Kuching pada 19 November 2019

Berhubung perkara tersebut, beliau memaklumkan bahawa SMA akan bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad untuk membangunkan lebih banyak infrastruktur digital yang lebih berdaya tahan.

Menyentuh tentang Kampung Digital Sarawak, beliau memberitahu bahawa SMA telah melaksanakan 492 inisiatif yang menjurus kepada pembangunan keusahawanan.

Sebanyak 200 program telah diadakan di lima Hab Inovasi Digital (DIH) iaitu di Kuching, Sarikei, Bintulu, Miri dan Sibu yang memberi manfaat kepada kira-kira 5,100 orang peserta dan menjelang 2020, sebanyak 14 DIH akan beroperasi di seluruh negeri Sarawak.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu SMA turut bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mewujudkan hab inovasi mikro di kawasan luar bandar yang strategik untuk memenuhi keperluan pembangunan masyarakat luar bandar di mana lebih banyak program berkesan diadakan.

Matlamatnya adalah untuk mengenal pasti serta menyerlahkan kepakaran komuniti luar bandar selain untuk meningkatkan usahawan tempatan dengan alatan digital yang sesuai.

Ke arah usaha tersebut, SMA akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi strategik untuk membantu komuniti luar bandar dengan akses kepada pasaran dalam talian.

Usahawan yang berpotensi, terutamanya dari hab inovasi digital dan hab inovasi mikro akan dijemput untuk mengembangkan perniagaan mereka secara global melalui kampung digital.

Bagi memperkasakan e-dagang sebagai platform untuk mencapai pasaran tempatan dan antarabangsa, SMA telah bekerjasama dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak membangunkan platform e-dagang termasuk e-Marketplace untuk komuniti yang disasarkan bermula dari usahawan wanita kemudian akan diperluaskan kepada setiap komuniti.

Selain itu, SMA turut bekerjasama dengan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dan Jabatan Kerja Raya membangunkan pusat pengumpulan sehenti yang akan menyediakan koleksi, penyimpanan, pembungkusan, jualan dan perkhidmatan pemasaran kepada pengeluar produk tempatan.

Mengenai bandar pintar, beliau menyatakan pelbagai inisiatif turut dilaksanakan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada merangkumi infrastruktur fizikal dan utiliti, perumahan dan pembangunan bandar, pengangkutan, logistik dan sebagainya.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mendengar penerangan ringkas tentang pembangunan bandar pintar Sarawak

Perkhidmatan tersebut dapat ditambah baik dan dipertingkatkan dengan mengeksploitasikan kekuatan alat dan sistem teknologi terkini seperti teknologi komunikasi generasi kelima (5G), Kecerdasan Buatan (AI), data besar, data terbuka, lampu isyarat pintar, pemeteran pintar, sistem tempat meletak kenderaan pintar dan sebagainya.

Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan SIOC dan platform rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk penyatuan maklumat bagi tujuan pemantauan dan pengurusan bencana, keselamatan, dan pembangunan di Sarawak.

Selain itu, Kerajaan Sarawak sedang dalam proses perancangan dan kerjasama dengan pakar dan perunding bandar pintar untuk membangunkan “Pelan Induk Bandar Pintar Kuching” ke arah menjadikan Sarawak sebagai model bandar pintar.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa sektor pertanian merupakan salah satu bidang tumpuan utama di Sarawak dan oleh sebab itu, SMA telah menaiktarafkan 40 plot fertigasi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Rampangi yang dikendalikan secara digital.

Aplikasi untuk sistem fertigasi pertanian

Sejak awal tahun 2019, seramai 14 orang petani telah terlibat dalam projek perintis dan merujuk kepada kajian perintis, pendapatan para petani yang terlibat telah mencecah RM20 ribu sebulan.

Sektor pertanian perlu memanfaatkan teknologi moden

Bagi memperkukuhkan lagi kebolehan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam teknologi digital dan data pula, SMA berhasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan universiti-universiti di Sarawak termasuk Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA Sarawak, Swinburne Sarawak, Curtin Malaysia dan University College of Technology Sarawak.

Menurut beliau, SMA menyelaras semua projek penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh universiti melalui Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk ekonomi digital.

Setakat ini, CoE telah menyelaras 26 translasi penyelidikan asas dan gunaan, diterjemahkan dalam bentuk output yang akan memberi kesan kepada masyarakat serta mempunyai potensi komersil.

SMA juga telah menubuhkan sebuah kemudahan pusat sehenti R&D iaitu COE OpenLab yang akan menjadi tuan rumah alat teknologi dan platform digital daripada rakan kongsi teknologi strategik termasuk Industri Binaan Malaysia (IBM), Huawei, Honeywell, Keysight Techologies, Fusionex dan General Electric.

Dengan adanya COE OpenLab ini, ia akan memudahkan pengeluaran hasil penyelidikan, produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di peringkat global.

Untuk mendapatkan kerjasama daripada rakan industri strategik, SMA telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IBM Malaysia Sdn Bhd dalam Kecerdasan Buatan; General Electric (GE) Malaysia dalam Industri 4.0; Huawei Technology (Malaysia) Sdn Bhd dalam Narrowband Internet of Things (NBIoT);

Fusionex International dalam Data Besar (Big Data); Keysight Technologies Sdn Bhd dalam Internet untuk Segalanya (Internet of Things atau IoT) dan Honeywell International Sdn Bhd dalam Bandar Pintar.

Bagi memastikan pembangunan yang saksama dan tiada yang ketinggalan, SMA telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Perpustakaan Negeri Sarawak, syarikat milik kerajaan, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat tempatan dan syarikat media tempatan.

Penduduk luar bandar juga diberi pendedahan terhadap teknologi digital

Kerjasama ini adalah bertujuan untuk menjalankan pelbagai program interaksi dan inklusiviti digital bagi memupuk kesedaran dan kemahiran inklusiviti digital di kalangan masyarakat.

SMA telah mengadakan lebih 300 program kesedaran digital yang telah memberi manfaat kepada kira-kira 48,000 orang peserta.

Penduduk luar bandar juga diberi pendedahan terhadap teknologi digital

Selain itu, SMA turut menghasilkan 19 buah video dan lima (5)  risalah serta menyiarkan 20 rancangan radio dalam Bahasa Iban dan Bahasa Melayu berkisar tentang kesedaran ekonomi digital.

Antara lain, SMA turut menyediakan kemudahan internet untuk sekolah luar bandar, kemudahan komputer serta internet di 31 buah perpustakaan luar bandar, membekalkan papan perisian (komputer berkos rendah – Raspberry Pi) dan mengadakan latihan untuk sekolah luar bandar.

SMA turut bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan mewujudkan sebuah platform “Fintech” iaitu perkhidmatan kewangan bersepadu yang mudah diakses bagi membantu para pelanggan terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar untuk melakukan transaksi dengan mudah tunai melalui telefon pintar.

Berdasarkan rekod, transaksi yang dicatatkan oleh Ejen Bank BSN dalam tempoh tiga bulan pertama operasinya adalah berjumlah RM100,000.

Selain acara tahunan seperti persidangan ekonomi digital, SMA turut mengadakan program mendekati komuniti di beberapa buah kawasan dan setakat ini program tersebut sudah diadakan di Long Busang, Sebauh, Lawas dan Long San.

Artikel ini disesuaikan daripada artikel asal : Memperkasa Ekonomi Digital yang disiarkan dalam RAKAN Sarawak keluaran Oktober – Disember 2019

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article