- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

MANRED Pandang Serius Isu Pembangunan Tanah NCR

Must read

Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) memandang serius isu pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Oleh kerana itu, MANRED sentiasa mencari inisiatif terbaik untuk memaju dan mengusahakan tanah NCR yang terbiar agar pemilik-pemilik tanah mendapat manfaat dari sudut ekonomi melalui projek-projek pertanian yang dilaksanakan dengan sokongan agensi-agensi di bawah Kementerian ini.

MANRED kerap mengadakan sesi dialog bersama komuniti luar bandar kerana pemilik tanah NCR harus memahami proses usaha sama dengan agensi Kerajaan Sarawak dalam memajukan tanah NCR selain untuk memudahkan usaha mereka membangunkan tanah itu secara terancang.

Encik Sirai Daha

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Tanah Adat dan Agro-Komoditi, MANRED Encik Sirai Daha ketika ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak baru-baru ini memberitahu, terdapat dua dialog yang biasa diadakan oleh MANRED iaitu dialog umum dan dialog lapangan.

Dialog umum bertujuan untuk memberi penerangan tentang tatacara, prosedur dan proses pembangunan tanah NCR serta penerangan mengenai pelbagai program atau projek yang disediakan dan dipromosikan oleh kerajaan untuk pembangunan tanah NCR.

Dialog Pembangunan Pertanian dan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR)

Dialog ini juga bertujuan untuk menjalin hubungan rapat dan membentuk jaringan kerjasama dengan kementerian serta jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Manakala, dialog lapangan merupakan susulan kepada dialog umum untuk mendapatkan verifikasi dari pemilik tanah sendiri berkenaan permohonan membangunkan tanah NCR selain untuk memastikan tiada muslihat atau tipu helah di sebalik permohonan yang telah dihantar kepada pihak MANRED.

Hal ini kerana, banyak isu-isu telah timbul sebelum ini seperti kawasan pembangunan tanah NCR diluluskan tanpa pengetahuan pemilik-pemilik tanah sedangkan semua urusan membangunkan kawasan tanah NCR seharusnya mendapat persetujuan daripada pemilik tanah.

Pemilik tanah diberi penerangan tentang tatacara, prosedur dan proses pembangunan tanah NCR

Menurut beliau juga, sesi dialog turut melibatkan pihak Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk menerangkan kepada komuniti tentang tatacara permohonan lesen pembalakan kerana banyak lesen-lesen atau aktiviti pembalakan haram berlaku sebelum ini.

Dengan adanya kerjasama daripada SFC, aktiviti pembalakan haram sudah dapat dikawal setelah adanya kesedaran di kalangan orang kampung apabila mereka tidak lagi membenarkan sesiapa sahaja menceroboh tanah NCR mereka yang telah diukur untuk menebang kayu-kayu balak.

Pada dasarnya, program dialog yang dianjurkan ini adalah kesinambungan daripada program pembangunan tanah NCR Sarawak dan Sabah yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada tahun 2010, Kerajaan telah mula melaksanakan program pengukuran tanah NCR di bawah Seksyen 6 agar tanah-tanah yang telah diukur menjadi produktif kepada orang-orang kampung terutama pemilik tanah.

Menurut Encik Sirai Daha, dari segi pembangunan terancang, Sarawak masih mempunyai lebih 600,000 hektar tanah NCR yang belum dibangunkan dan ia akan dibangunkan secara mampan.

Langkah ini adalah bagi memastikan pemilik tanah mendapat hasil daripada tanah yang dibangunkan sekali gus untuk mengelakkan mereka kehilangan hak atas tanah sendiri dan sebagainya.

Taklimat oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan Industri Ternakan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Dr Sajem Jinim

Sekiranya tanah itu tidak dibangunkan, pemilik tanah yang kurang sumber pendapatan cenderung untuk menjual tanah-tanah mereka yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat ini lebih kurang 204,781 hektar tanah NCR telah dibangunkan melibatkan 73,659 orang peserta.

Sebanyak 221 buah projek perladangan menggunakan tanah NCR telah dilaksanakan melalui:

  1. Model Usaha sama (JV) oleh LCDA melibatkan 49 buah projek (± 91,404 Ha)
  2. Model Pengurusan Projek oleh SALCRA melibatkan 22 buah projek (± 72,178 Ha)
  3. Model Pengurusan Projek oleh FELCRA melibatkan 129 buah projek (± 33,038 Ha)
  4. Model Pengurusan Projek oleh SLDB melibatkan 6 buah projek (± 1,315 Ha)
  5. Model Sewaan (Leasing Model) oleh Syarikat Pelabur melibatkan 15 buah projek (± 6,846 Ha)

Dari tahun 2018 hingga 2020, Kementerian melalui Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah menyerahkan sejumlah 1,864 surat hak milik tanah kepada 1,656 peserta SALCRA merangkumi kawasan seluas 2,972 hektar.

Pada masa yang sama, sejumlah 2,596 lot tanah melibatkan kawasan seluas 4,006 hektar telah diukur bagi tujuan yang sama.

Ini adalah sejajar dengan peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan SALCRA 1976 untuk memberikan perlindungan kepada hak milik setiap peserta terhadap tanah NCR mereka yang telah dibangunkan oleh SALCRA.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article