- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Impak Sektor Pelancongan terhadap Pembangunan Sri Aman

Must read

Sektor pelancongan yang dibangunkan di Bahagian Sri Aman khususnya di Daerah Lubok Antu telah membawa pelbagai pembangunan dari segi prasarana dan infrastruktur sekali gus telah dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk di Lubok Antu.

Jika 25 tahun yang lalu, Daerah Lubok Antu agak sunyi dan dikelilingi hutan belukar namun pada hari ini, kita dapat melihat berdirinya bangunan kedai baharu yang besar dan cantik menandakan khidmat dan strategi pemasaran juga sudah bertambah di sini.

Wujudnya rumah-rumah kedai yang semakin banyak ini dapat membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk menceburi bidang perniagaan.

Kerajaan Negeri sememangnya telah berjaya mengubah daerah ini menjadi lebih baik daripada sebelumnya dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas yang serba lengkap dan sangat diperlukan bagi membantu meningkatkan tahap sosioekonomi serta keselesaan penduduk.

Pembangunan yang telah dibawa ke daerah ini sedikit sebanyak telah mengubah gaya hidup masyarakat kerana mereka kini sudah boleh berkomunikasi melalui pelbagai sistem telekomunikasi seperti telefon awam, telefon persendirian, telefon perniagaan, telefon pejabat dan telefon mudah alih.

Kerajaan turut menyediakan kemudahan rekreasi untuk manfaat penduduk terutama golongan belia dan ianya diselenggarakan oleh Majlis Daerah Lubok Antu.

Antara kemudahan-kemudahan rekreasi yang disediakan di Daerah Lubok Antu ialah padang bola sepak, gelanggang sepak takraw, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak, tempat berkelah dan “agro tourism” yang terletak di Panjai Ruai, Lubok Antu.

Dari segi sistem perhubungan jalan raya, Lubok Antu kini lebih mudah dihubungi dan jalan raya yang berturap sepanjang perjalanan dari bandar raya Kuching mencantikkan lagi pemandangan yang boleh kita nikmati di sepanjang perjalanan.

Kemudahan-kemudahan asas yang lain termasuk kunci air, rumah ibadat seperi gereja, masjid, surau dan tokong Cina, pusat kesihatan, sekolah, perkhidmatan sosial kerajaan, pertubuhan sosial dan agensi-agensi kerajaan turut disediakan untuk memudahkan penduduk menjalankan pelbagai aktiviti dari masa ke semasa.

Apabila sektor pelancongan di Sri Aman semakin berkembang, sudah tentu ia akan memberi impak yang besar terhadap industri perhotelan mahupun industri inap desa.

Kemudahan seperti hotel dan inap desa ini sangat penting kerana pelancong yang berniat untuk berkunjung ke Sri Aman sudah tentu akan memikirkan terlebih dahulu di mana mereka akan menginap, lokasi tempat penginapan dan sebagainya.

Setakat ini, sudah lebih daripada 10 buah hotel yang beroperasi di bandar Sri Aman dan dua buah hotel di Lubok Antu serta beberapa buah inap desa yang terkenal seperti Rumah Wilson Bana, Rumah Guyu dan Rumah Ngumbang.

Di Rumah Wilson Bana (35 pintu) yang terletak 27 km dari bandar Sri Aman, para pengunjung akan berpeluang untuk mempelajari cara pembuatan Pua Kumbu, mengisar beras dan aktiviti ekspedisi.

Rumah Guyu yang terletak di Nanga Ukom perlu mengambil masa perjalanan selama satu jam setengah dari Pangkalan Hidro Batang Ai dengan menggunakan bot.

Rumah Guyu merupakan rumah panjang yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dan sangat berpotensi untuk dijadikan sebagai destinasi pilihan pelancong dari negara asing.

Rumah Ngumbang pula mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam dengan menggunakan bot dari Pangkalan Hidro Batang Ai turut menyediakan kemudahan penginapan, pakej pelancongan “Melihat Orang Utan” dan air terjun Wong Ensulai.

Inisiatif Memperkasakan Sektor Pelancongan Melalui “Digital Tourism”

Pejabat Residen Sri Aman akan membangunkan “Digital Tourism” sebagai satu usaha untuk meningkatkan promosi tempat-tempat pelancongan, aktiviti-aktiviti sosial dan kebudayaan yang dijalankan di Sri Aman.

Melalui digital tourism, para pelancong tidak perlu lagi mencari maklumat tentang produk-produk pelancongan dengan merujuk kepada majalah, bahan-bahan bercetak dan sebagainya kerana ia boleh didapati dengan mudah melalui laman sesawang dan aplikasi digital yang diwujudkan.

Fokus akan diberikan kepada Budaya, Pengembaraan & Alam (CAN); Produk Berasaskan Akuakultur (seperti perikanan/ikan tilapia dalam sangkar di Lubok Antu); Pembangunan Tarikan Pelancongan; Rangkaian Strategik (antara kerajaan dengan NGO/ Ketua Masyarakat); Program Latihan; dan Penglibatan Sektor Swasta.

Antara Produk Pelancongan Sri Aman Yang Semakin Dikenali

Pesta Benak Sri Aman

Pesta Benak yang telah bermula sejak tahun 2001 merupakan acara ikon Bahagian Sri Aman dan salah satu daripada produk pelancongan yang paling terkenal dan sangat penting kerana ia telah berjaya meletakkan bandar Sri Aman di dalam Peta Pelancongan Sarawak.

Bukan itu saja, popularitinya akan terus dijadikan sebagai tunjang untuk membangun dan mempromosikan produk-produk pelancongan yang lain khususnya yang berteraskan alam semula jadi, pengembaraan, budaya dan kraf tangan yang terdapat di Sri Aman.

Setiap kali berlangsungnya Pesta Benak, Bandar Sri Aman pasti dibanjiri ribuan pengunjung bukan hanya dari Sri Aman, malah dari luar Sri Aman seperti dari Betong, Kuching, Miri, Sibu bahkan dari Semenanjung Malaysia dan luar negara juga turut datang untuk menyaksikan fenomena benak.

Antara pengisian penting semasa Pesta Benak diadakan termasuk lumba perahu, lumba benak, lumba pam ski, sukaneka air, pameran, gerai-gerai jualan dan pentas rakyat.

Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice)

Kubu Alice merupakan bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1864 semasa pemerintahan Rajah Brooke yang kedua iaitu Sir Charles Brooke.

Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice)

Dahulunya, Kubu Alice dikenali sebagai Kubu James sempena dengan nama Sir James Brooke, Rajah Sarawak yang pertama dan kini ia sudah dinamakan sebagai Muzium Warisan Sri Aman setelah dinaiktaraf pada tahun 2013 dan siap pada 18 April 2015.

Muzium Warisan tersebut telah diisi dengan bahan-bahan bersejarah di Sri Aman termasuk gambar-gambar dan sejarah kubu-kubu lama yang terdapat di Sarawak agar para pengunjung dapat mengenali sejarah Sarawak dan Sri Aman khasnya.

Rumah Sri Aman

Rumah Sri Aman pada asalnya dikenali sebagai Rumah Segi Lapan, kemudian namanya diubah kepada Rumah Simanggang sebelum dinamakan sebagai Rumah Sri Aman pada 19 Mac 1974 sempena dengan Deklarasi Sri Aman atau Perjanjian Keamanan.

Rumah Sri Aman

Pejabat Residen telah mengusulkan cadangan kepada Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas agar Rumah Sri Aman itu dijadikan sebagai galeri yang boleh dikunjungi oleh orang ramai selain daripada orang kenamaan.

Galeri tersebut yang akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Muzium akan memaparkan sejarah Sri Aman dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Sri Aman.

Pangkalan Empangan Batang Ai

Pangkalan Empangan Batang Ai yang terletak di Daerah Lubok Antu telah dibangunkan sebagai sebuah taman rekreasi kerana mempunyai kawasan sekitar yang cantik dan berupaya menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke Lubok Antu.

Pangkalan Empangan Batang Ai

Sebagai sebuah tempat rekreasi, pelbagai kemudahan asas turut disediakan seperti jambatan gantung dan tempat pejalan kaki bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan tasik buatan manusia.

Atas sebab itu juga, Kerajaan Sarawak telah menjadikan Pesta Batang Ai sebagai acara tahunan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung datang ke Pangkalan Empangan Batang Ai.

Taman Negara Batang Ai

Taman Negara Batang Ai yang berkeluasan 10,000 km2 juga menjadi tarikan utama pengunjung terutama pelancong dari luar negara untuk datang ke Lubok Antu.

Taman Negara ini telah diwartakan pada tahun 1991 dan ia mengandungi pelbagai spesies flora dan fauna yang terlindung termasuk beruang, harimau bintang, 27 spesies ikan, 22 spesies katak dan 121 spesies burung.

Tempat ini dapat dihubungi melalui jalan sungai dengan perahu sewa yang disediakan oleh penduduk tempatan atau agensi pelancongan yang telah dipertanggungjawabkan.

Antara aktiviti menarik yang dapat dijalankan di taman negara ini ialah seperti melihat spesies orang utan, gibbon, dan burung kenyalang.

Aiman Batang Ai Resort & Retreat

Di pinggir Taman Negara Batang Ai ini, terdapat sebuah destinasi percutian yang sangat terkenal iaitu Aiman Batang Ai Resort & Retreat yang mempunyai 100 buah bilik yang direka bentuk mengikut rumah panjang tradisional Iban.

Aiman Batang Ai Resort & Retreat

Sebelum ini, ia dikenali sebagai Batang Ai Longhouse Resort yang sinonim dengan pekan Lubok Antu dan ia diurus oleh hotel Hilton tetapi diambil alih oleh Planet Borneo Lodge Management sejak Januari 2016.

Perjalanan ke pusat peranginan ini termasuklah menggunakan pengangkutan air yang mengambil masa kira-kira 30 minit dari jeti di tasik hidro Batang Ai.

Penternakan Ikan dalam Sangkar

Sejak beberapa tahun yang lalu, penduduk-penduduk yang menganggotai Persatuan Peladang Lubok Antu telah menjalankan aktiviti menternak ikan dalam sangkar di Tasik Empangan Batang Ai sebagai salah satu usaha untuk menjana ekonomi sampingan.

Menternak ikan dalam sangkar di Tasik Empangan Batang Ai

Pada tahun 1993, Batang Ai telah digazetkan sebagai Zon Industri Akuakultur oleh Jabatan Pertanian Sarawak setelah ia dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai untuk menternak ikan dalam sangkar.

Kemudian, Kerajaan Negeri telah melantik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (SALCRA) sebagai agensi peneraju untuk melaksanakan projek penternakan ikan tilapia.

Projek pertama mereka telah dilaksanakan pada tahun 2013 bertempat di Stesen Perikanan Batang Ai milik Jabatan Pertanian Sarawak dengan menternak ikan Tilapia Merah dan Tilapia Hitam selain spesies lain seperti Baung, Semah dan Lampan Jawa.

Produk Pelancongan Berasaskan Alam Semula jadi

Antara tempat menarik yang terdapat di Daerah Sri Aman ialah Taman Rekreasi Sungai Raya, Tapang Rumput, Taman Negara Gunung Lesung, Wong Pupu, dan Pulau Seduku Nature Reserve.

Wong Tapang Rumput Gua yang terletak kira-kira 35 km dari bandar Sri Aman (antara Jalan Sri Aman dan Kuching) juga merupakan salah satu tempat rekreasi yang sangat menarik, sesuai untuk diadakan aktiviti perkelahan dan mandi-manda.

Sementara itu, Sungai Raya yang berjarak 15 km dari bandar Sri Aman pula terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan airnya yang jernih mampu memberi tarikan kepada pelancong.

Di kawasan Batu Lintang, kira-kira 35 km dari bandar Sri Aman terdapat air terjun Wong Pupu yang berjaya menjadi tarikan utama kerana mempunyai pemandangan yang sangat indah dihiasi pohon-pohon menghijau dan sering didatangi pelancong tempatan dan asing.

Bukit Lesung yang berjarak 3 km dari pekan Lingga pula sangat sesuai untuk aktiviti sukan lasak seperti “Jungle Trekking” dan ekspedisi pendakian dan tempat ini boleh dikunjungi menggunakan bot.

Manakala Wong Ajong yang terletak 5 km dari pekan Engkilili dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas, bilik persalinan, pondok bermalam, meja dan kerusi sesuai untuk aktiviti barbeku dan aktiviti riadah dan ia boleh dikunjungi menggunakan pengangkutan darat.

Artikel ini pertama kali disiarkan di RAKAN Sarawak keluaran Julai-September 2019

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article