JBALB Cadang 126 Buah Projek Bekalan Air Untuk Dilaksanakan Dalam RMK-12
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) terus menggandakan usaha mencapai sasaran liputan bekalan air bersih 100 peratus di seluruh negeri Sarawak menjelang tahun 2025.
Sebagai agensi pelaksana di bawah Kementerian Utiliti Sarawak (MOU), sebanyak 126 buah projek dicadangkan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Jumlah kos keseluruhan projek yang dicadangkan dianggarkan sekitar RM16.2 bilion.
Seramai 99 isi rumah baharu di seluruh negeri dijangka mendapat manfaat daripada projek-projek yang bakal dilaksanakan di bawah RMK-12.
Projek-projek tersebut merangkumi penyambungan paip ke kawasan-kawasan baharu, naik taraf kapasiti loji rawatan air dan menaik taraf pam penggalak untuk meningkatkan tekanan air rendah di beberapa buah kawasan yang terkesan.
Selain itu, JBALB juga akan berusaha mengurangkan gangguan bekalan air terutama di kawasan luar bandar serta meningkatkan keupayaan sistem operasi jabatan melalui penggunaan teknologi digital.
Inisiatif sistem bekalan air alternatif, iaitu program SAWAS (Sarawak Alternative Water System Supply) turut dicadangkan di bawah RMK-12 bagi kawasan-kawasan yang tidak disambungkan dengan grid air utama (bekalan paip utama dari loji).
Usaha berkenaan perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada penduduk dan kawasan yang terlepas daripada menikmati bekalan air bersih di bawah inisiatif SAWAS.
Daripada 126 projek tersebut, 106 buah projek merupakan projek baharu manakala 20 buah projek lagi ialah sambungan daripada RMK-11.
Antara lain, JBALB juga mengemukakan cadangan program pengurangan air tidak terhasil atau NRW (Non-Revenue Water) untuk dilaksanakan di bawah RMK-12.
NRW menjadi tanda aras kerugian atau pembaziran yang berlaku daripada air terawat yang tidak mendatangkan hasil atau tidak dibilkan akibat daripada kebocoran paip serta kecurian air untuk kegunaan komersial mahupun kegunaan domestik.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan yang mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Utiliti Negeri secara maya pada 14 Jun lepas memaklumkan bahawa sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan untuk melaksanakan 321 projek bekalan air di bawah Projek Rakyat.
Beliau yang merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan turut memaklumkan sebanyak 165 projek bekalan air berjaya diselesaikan setakat ini sementara 156 buah projek lagi dijangka siap sepenuhnya pada 2023.
Kesemua projek yang dilaksanakan akan mengurangkan masalah bekalan dan tekanan air rendah dan meningkatkan jumlah air terawat kepada pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas.