Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin telah mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion.
PERMAI yang diumumkan Perdana Menteri itu sewajarnya mencerminkan iltizam kerajaan yang sangat komited untuk meringankan beban rakyat ketika berdepan dengan pandemik COVID-19.
Sebanyak 22 inisiatif yang digariskan di bawah PERMAI bukanlah tindakan baharu kerajaan, seperti dijelaskan Perdana Menteri, ia adalah untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.
Jika dilihat secara amnya, inisiatif-inisiatif ini wajar diteruskan kerana ia adalah satu-satunya cara kerajaan membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup malah, ia bukan hanya untuk tempoh jangka masa pendek tetapi juga untuk tempoh jangka masa panjang.
Langkah kerajaan memperkenalkan PERMAI dilihat sebagai satu strategi ampuh dan bertepatan dengan menggariskan tiga matlamat utama iaitu; Memerangi Wabak COVID-19, Memelihara Kebajikan Rakyat; dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan.
Dalam usaha memerangi wabak COVID-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi lain yang menggalas tugas penting untuk memutuskan rantaian dan jangkitan COVID-19.
Melihat kepada situasi pandemik COVID-19 yang semakin parah di negara kita ketika ini, tambahan dana ini sangat penting untuk meningkatkan kapasiti dan memperkukuh kesihatan awam sekaligus memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh sebaliknya dapat terus beroperasi dengan berkesan.
Kita sedia maklum, sekiranya dana tambahan ini tidak diberikan, KKM pasti berdepan dengan kekangan kewangan untuk menambah keperluan bekalan seperti reagen dan kit saringan serta kelengkapan alat pelindung diri (PPE) untuk menampung pertambahan jumlah petugas kesihatan.
Lagi pula, dalam memerangi wabak COVID-19 ini, kerajaan telah melaksanakan empat (4) inisiatif iaitu; Melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19; Mengukuhkan Sistem Kesihatan Negara; Meningkatkan Kerjasama dengan Hospital Swasta; dan Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja.
Dari sini kita dapat lihat betapa pentingnya pertambahan dana tersebut bagi menampung keperluan perbelanjaan berkaitan COVID-19 pelbagai agensi terlibat antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan.
Inisiatif meningkatkan kerjasama dengan hospital swasta juga ialah tindakan bijak kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 kerana ia sekurang-kurangnya dapat meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam.
Matlamat kedua iaitu memelihara kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.
Tidak ada seorang pun yang dapat menyangkal matlamat utama kerajaan melaksanakan PKP adalah untuk memutuskan rantaian dan menyelamatkan negara daripada terus di badai pandemik COVID-19.
Namun, kesan pelaksanaan PKP telah menyebabkan sosioekonomi negara terjejas teruk bahkan ramai yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Perdana Menteri turut mengakui kesan pelaksanaan PKP ke atas pertumbuhan ekonomi telah menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun kedua 2020 merosot dengan sangat ketara malah, kadar pengangguran juga turut meningkat.
Namun, dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi, kerajaan berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil, iaitu daripada 17.1 kepada 2.7 peratus, dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada 4.7 peratus, daripada suku kedua kepada suku ketiga 2020.
Inisiatif seperti Mempercepatkan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat; Memperkukuh Program Kebajikan; Meneruskan Tempoh Moratorium dan Pengurangan Ansuran Pinjaman; dan Menambah baik Program i-Sinar adalah antara aspek paling utama yang dekat di hati rakyat Malaysia.
Inisiatif Melanjutkan Tempoh Pelepasan Cukai Khas Ke Atas Pembelian Telefon Bimbit, Komputer dan Tablet; Melanjutkan Tempoh Capaian Internet Percuma; Melanjutkan Tempoh Pengecualian Cukai Jualan ke atas Kenderaan Penumpang; dan Melanjutkan Tempoh Moratorium bagi Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga amat dinanti-nantikan.
Inisiatif-inisiatif ini wajar diteruskan kerana ia memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan rakyat jelata yang sudah tentu memerlukan insentif kewangan bagi meringankan beban ekonomi mereka akibat pelaksanaan PKP.
Misalnya, inisiatif memperkukuh program kebajikan sangat relevan dalam membantu mengurangkan beban ramai penerima elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit terlantar dan sebagainya.
Inisiatif seperti penambahbaikan program i-Sinar KWSP dan melanjutkan tempoh moratorium pula akan dapat membantu penerima mengukuhkan sumber ekonomi keluarga serta memanfaatkan moratorium kewangan demi memakmurkan ekonomi keluarga menerusi tabungan dan pelaburan.
Kerajaan memahami sepanjang tempoh PKP, semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai cabaran termasuk kesukaran dalam menguruskan aliran tunai, perbelanjaan utiliti dan sewa premis.
Justeru, matlamat ketiga PERMAI adalah untuk menyokong kelangsungan perniagaan dengan berusaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh sektor perniagaan di negara kita.
Beberapa inisiatif yang ingin disentuh di bawah matlamat ketiga ini antaranya program subsidi upah yang diperluaskan kepada semua majikan yang beroperasi dalam PKP tanpa mengambil kira sektor.
Di bawah program tersebut, kita difahamkan, kerajaan yang telah mengehadkan 200 orang pekerja bagi setiap permohonan semasa PKP 1.0 dan PKP 2.0 akan ditingkatkan kepada 500 orang pekerja pada PKP 3.0. dan setiap pekerja yang bergaji kurang daripada RM4, 000 akan mendapat subsidi upah sebanyak RM600.
Inisiatif ini dilihat amat penting pada ketika ini dalam membantu syarikat-syarikat meneruskan kelangsungan perniagaan agar tiada syarikat yang akan menghentikan operasi, membuang pekerja atau menutup terus perniagaan mereka.
Seterusnya ialah inisiatif Bantuan Kewangan One-Off sebanyak RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.
Menurut pangkalan data terkini, lebih kurang 110,000 orang pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan kenderaan e-hailing sepenuh masa akan menerima bantuan tunai tersebut, melibatkan jumlah keseluruhan RM55 juta.
Berdepan dengan situasi sukar dan penuh mencabar hari ini, bantuan ini sangat dinanti-nantikan kerana mereka turut mengalami kerugian teruk sepanjang tempoh PKP akibat ketiadaan pelanggan.
Inisiatif-inisiatif yang melibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti meneruskan Geran Khas Prihatin, Mempercepatkan Pelaksanaan Skim Mikrokredit, Menyokong dan Merancakkan Perniagaan Dalam Talian dan Menambah Baik Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin wajar diteruskan.
Hal ini kerana PKS merupakan pemacu utama pertumbuhan pekerjaan dan ekonomi di negara kita bahkan 99 peratus daripada perniagaan di Malaysia ialah PKS.
Inisiatif kerajaan ke atas PKS ini dapat membantu meringankan kos perbelanjaan yang ditanggung untuk meneruskan perniagaannya malah dapat mendorong para usahawan untuk terus bergiat maju dalam perniagaan yang dijalankan walaupun berdepan situasi sukar.
Inisiatif Program MARA PRIHATIN Peace of Mind 2.0 yang diteruskan menggambarkan kerajaan amat memahami denyut nadi usahawan MARA kerana adanya program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan MARA, akhirnya mereka dapat terus kekal beroperasi seperti biasa.
Inisiatif Pemberian Diskaun Bil Elektrik juga diteruskan dengan diskaun 10% sehingga Mac 2021 bagi enam (6) sektor yang terkesan iaitu pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan, agensi pengembaraan dan pelancongan.
Inisiatif pemberian diskaun bil elektrik ini memberi manfaat besar kepada enam sektor ini memandangkan banyak kos lain yang perlu ditanggung untuk meneruskan perniagaan.
Di bawah inisiatif Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi, 50% jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstrukturkan semula pinjaman mereka, serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.
Sebagai kesimpulan, jelas menunjukkan program PERMAI sememangnya tertumpu kepada membela nasib rakyat, pada masa yang sama turut menggiatkan usaha untuk merancakkan ekonomi syarikat dan ekonomi domestik agar kesan negatif daripada pandemik COVID-19 dapat diminimumkan.
Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di bawah PERMAI ini dijangka dapat memantapkan lagi ekonomi negara, secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban bukan secara umum atau keseluruhan, tetapi sekurang-kurangnya kepada golongan sasaran B40.