- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Muzium Sarawak Rujukan Sejarah dan Budaya

Must read

Institusi muzium telah berkembang sebagai pusat rujukan sejarah dan budaya serta berfungsi sebagai institusi pendidikan yang memberi kesan mendalam terhadap wacana awam.

Muzium dapat membuktikan kewujudan pelbagai budaya dan kepercayaan yang menjangkaui kata-kata dalam bentuk penulisan dan lisan.

Muzium juga menerangkan bukti realiti, sejarah dan pengaruh yang menjangkaui apa yang kita telah pelajari dan alami.

Lebih penting, muzium berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pemeliharaan objek-objek budaya yang dianggap mempunyai signifikan dan nilai dalam pembentukan identiti sesebuah negara.

Pembukaan muzium Sarawak baharu yang dikenali sebagai Muzium Budaya Borneo dalam sedikit masa lagi bakal menjadi pusat rujukan sejarah dan budaya masyarakat pribumi Sarawak yang pelbagai, bertepatan dengan objektif kewujudannya, iaitu mempamerkan warisan budaya dan sejarah Sarawak.

Bangunan Muzium Budaya Sarawak

Kerajaan Sarawak sememangnya memandang serius peranan muzium dalam membangunkan aspek budaya dan warisan sehinggalah membangunkan beberapa muzium yang lebih spesifik seperti Muzium Warisan Islam, Muzium Sejarah Cina, Muzium Sejarah Semula Jadi, Muzium Arkeologi Niah, Muzium Petroleum serta membangunkan muzium-muzium di peringkat bahagian dan daerah seperti Muzium Limbang dan Muzium Daerah Baram.

Menyingkap perkembangan institusi muzium di Sarawak, pembangunan Muzium Sarawak terbahagi kepada empat (4) fasa, iaitu Fasa Satu (1) semasa era Brooke, Fasa Dua (2) adalah selepas Perang Dunia Kedua, Fasa Tiga (3) selepas pembentukan Malaysia dan Fasa Empat (4), iaitu fasa Muzium Sarawak menuju ke alaf baharu.

Rajah Putih Kedua, Sir Charles Brooke, pengasas Muzium Sarawak pada tahun 1891

Fasa Satu (1) Muzium Sarawak telah diasaskan oleh Rajah Putih Kedua, Sir Charles Brooke pada tahun 1891 lantas menjadi muzium pertama yang wujud di Kepulauan Borneo.

Minat mendalam Charles Brooke terhadap aktiviti eksplorasi budaya dan etnologi penduduk pribumi Sarawak, terutamanya masyarakat Iban yang tinggal di sekitar Sungai Rejang telah membawa kepada pengumpulan koleksi artifak yang tertumpu pada koleksi antropologi dan etnologi sahaja.

Bahkan, beliau juga menggalakkan para pegawainya supaya menulis tentang etnografi dan cerita rakyat tempatan untuk dimuatkan ke dalam Sarawak Gazette.

Koleksi awal yang menjadi asas kepada koleksi Muzium Sarawak dikenali sebagai Brooke Low Collection yang didapati di kawasan-kawasan sungai seperti di Saribas, Undup, Lingga, Rejang, Ulu Ai, Skrang, Lemanak dan Engkari.

Antara koleksi yang dimiliki oleh Charles Brooke adalah seperti Sirat, Kelambi, Baju Taja (baju perang), Pua, Bidang, Terabai, Duku Ilang dan Penugal (peralatan pertanian tradisional Iban).

Pada 1892 hingga 1931, sebanyak 2,515 unit spesimen telah dikumpul, merangkumi artifak-artifak budaya milik etnik-etnik lain di Sarawak seperti etnik Kayan, Ukik, Punan, Melanau, Kajaman dan Melayu Sarawak.

Charles Brooke juga telah membeli artifak-artifak Borneo yang dibawa ke England oleh pembesar-pembesar Eropah terdahulu bagi dijadikan koleksi untuk pembukaan Muzium Sarawak.

Antara artifak yang dibeli termasuklah senjata, peralatan pertanian, peralatan memburu, tekstil, ukiran kayu, bakul, topi dan kraf tangan yang kebanyakannya tidak lagi dihasilkan oleh generasi Sarawak hari ini.

Tom Harrisson bergambar bersama seorang lelaki dari suku kaum Kelabit di Sarawak pada tahun 1944

Fasa Dua (2), iaitu selepas Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1945 dan 1946, pembangunan semula Muzium Sarawak dipelopori oleh bekas tentera British, Tom Harrisson.

Beliau telah meyakinkan Kerajaan British betapa pentingnya penyelidikan yang dijalankannya di Sarawak dalam bidang arkeologi.

Penyelidikan awal dan yang terulung oleh Harrisson dalam memulihkan semula fungsi Jabatan Muzium Sarawak dinamakan sebagai Projek Pemulihan Bau (1950 – 1953) dengan menjalankan eksplorasi mengumpul spesimen dari Bau ke Ulu Limbang.

Sepanjang menjadi Kurator Muzium Sarawak, beliau telah menghasilkan beberapa karya penyelidikan arkeologi menerusi Sarawak Museum Journal yang menjadi rujukan utama kepada para penyelidik bidang arkeologi di Malaysia.

Malah, Harrisson yang telah memartabatkan Muzium Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi juga dikenali sebagai ‘Bapa Arkeologi’ atas sumbangan beliau dalam mentarikhkan semula tapak di Gua Niah.

Pencapaian paling signifikan dalam kerjaya Harrisson adalah apabila beliau berjaya membuat kronologi kebudayaan di Sarawak sejak 50,000 tahun dahulu melalui pentarikhan karbon di Gua Niah.

Selain itu, beliau juga banyak menjalankan kajian pra sejarah di Sarawak (Harrisson 1957, 1959, 1967,1971, 1975).

Tom Harrisson telah menghasilkan lebih daripada 60 buah penulisan berkaitan penyelidikan arkeologi Sarawak dalam bentuk artikel mahupun buku sepanjang menjadi Kurator Muzium Sarawak.

Tokoh penyelidikan lain selepas Tom Harrisson ialah Lord Medway Earl of Cranbook V yang merupakan ahli arkeologi dan botani yang telah menghasilkan beberapa buah penulisan mengenai Gua Niah dan tapak-tapak lain di Sarawak.

Ketika menyertai penggalian pertama dalam ekskavasi Gua Niah, Lord Medway telah menerbitkan sebuah makalah bertajuk Food Bone in Niah Cave pada tahun 1958.

Makalah tersebut secara tidak langsung telah menjadi satu penyelidikan yang sangat signifikan hingga kini, terutama usaha beliau mengembangkan kaedah penyelidikan arkeologi secara saintifik dan pengkajian tentang ilmu zooarkeologi.

Penyelidikan yang telah dibangunkan oleh Medway telah merintis kepada pengembangan ilmu arkeologi selama lebih 50 tahun di Eropah dan Amerika Syarikat.

Fasa Tiga (3) pembangunan Muzium Sarawak, iaitu selepas pembentukan Malaysia pada 1963 bermulanya penyelidikan yang dijalankan oleh pakar sejarah dan etnologi tempatan bernama Benedict Sandin pada Disember 1966 hingga 1974.

Struktur bangunan Muzium Etnologi yang juga dikenali sebagai Muzium Lama sebelum menjalani kerja-kerja pemuliharaan

Kemudian pada 1974 hingga 1991, Kurator Lucas Chin meneruskan tradisi Tom Harrisson dalam bidang arkeologi melalui penulisan beliau yang bertajuk The Role of Museum and Other Agencies in The Preservation of Material Culture.

Kepakaran Lucas Chin bukan hanya kepada arkeologi, bahkan turut mencakupi etnografi dan antropologi.

Bekas Kurator Muzium Sarawak, Ipoi Datan (berkhidmat dari 2009 hingga 2019) turut berperanan penting dalam menjadikan Muzium Sarawak sebagai rujukan sejarah dan budaya pada Fasa Empat (4) pembangunan institusi muzium di Sarawak.

Beliau banyak bekerjasama dengan pelbagai ahli akademik dari dalam dan luar negara, antaranya Stephen Chia dari Universiti Sains Malaysia melalui kajian Preliminary Report on Archaeological Survey and Excavations at Bukit Sarang Caves, Ulu Kakus, Sarawak (2003) berkaitan dengan kajian lepas yang telah dibuat oleh Tom Harrisson pada tahun 1965.

Dapatan awal kajian tersebut mendapati bahawa Gua Bukit Sarang yang terletak 67 kilometer dari bandar Tatau, Bintulu mempunyai hubungan dengan manusia primitif di Gua Niah.

Kajian tersebut turut mengkaji secara mendalam mengenai tapak baharu, iaitu Lubang Puteh, Lubang Nunok, Lubang Ringen dan Lubang Makuta menerusi kaedah soil profile dan radiocarbon dating yang membawa kepada penemuan beberapa artifak batu, serpihan seramik dan juga fosil.

Sehingga 2018, terdapat lebih 22,386 unit artifak disimpan di bahagian etnologi Muzium Sarawak. Jumlah ini tidak termasuk artifak lain seperti artifak daripada bahan arkeologi, herbarium dan zoologi serta artifak daripada Muzium Islam.

Sesuai dengan namanya, Muzium Budaya Borneo yang baharu dibangunkan sebagai pusat penyimpanan koleksi bagi warisan negeri Sarawak untuk warisan ketara dan warisan tidak ketara serta budaya yang dipercayai asli dari Kepulauan Borneo.

Di samping berperanan dalam memulihara budaya semula jadi dari zaman pra sejarah Borneo hingga ke era pembentukan Malaysia, muzium berkenaan bakal menjadi pusat rujukan dan penyelidikan, sebagai kampus muzium berkelas dunia, menjadi pusat pemuliharaan warisan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk penyelidikan warisan Sarawak serta sebagai pusat untuk meraikan kepelbagaian budaya.

Bahan-bahan pameran yang berkisar tentang sejarah, budaya dan warisan masyarakat Sarawak yang pelbagai diharap akan memberi manfaat kepada generasi akan datang dalam mengenali dan menghayati identiti kepelbagaian masyarakat negeri ini.

Oleh itu, tanggungjawab memulihara khazanah negeri ini tidak seharusnya diletakkan kepada Jabatan Muzium Sarawak sahaja, malah sumbangan masyarakat dalam usaha tersebut dalam konteks yang lebih relevan seiring dengan era teknologi dan digital hari ini amat dialu-alukan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article