- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sektor Pertanian Dimajukan Sebagai Entiti Perniagaan Berdaya Saing

Must read

Sektor pertanian telah dimajukan sebagai sebuah entiti perniagaan berdaya saing kerana potensinya sebagai perniagaan yang menguntungkan selain menjadi penggerak dan nadi ekonomi buat Negeri Sarawak.

Ramai yang tidak menyangka bahawa sektor pertanian telah dapat menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan serta memastikan pembangunan di kawasan luar bandar berlaku dengan seimbang dan mapan.

Sebagai sebuah entiti perniagaan, sudah tentu sektor ini tidak terkecuali daripada penghasilan produk, pertukaran nilai, keuntungan perniagaan dan memuaskan keperluan dan kehendak pengguna.

Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan telah memberi tumpuan terhadap aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta program pengembangan pertanian.

Unit Penyelidikan Pertanian (Research Division) yang berpusat di Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Semenggok telah mencapai kemajuan memberangsangkan dalam teknologi pertanian melalui beberapa program penyelidikan tanaman dan pengurusan tanah.

ARC juga banyak membantu Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) dalam menjalankan analisis ke atas tanaman, tanah, air, baja, pelbagai jenis material dan sisa racun serangga selain turut melakukan penyelidikan keatas buah dabai sekaligus berhasil membangunkan produk berkaitan buah dabai.

Antara produk lain yang telah dibangunkan ialah Terung Asam Kering, Jus Terung Asam, Kek Gubahan Tiung, Kek Tiung, Kek Keju Tiung, Jem Terung Asam, Tiung Delite (Gula Jeli Terung Asam), Terung Asam Keping, Keropok Terung Asam dan Aiskrim Terung Asam dan lain-lain.

DOA turut menjalankan kajian penanaman kubis bungan dan brokoli melalui sistem fertigasi di tanah rendah dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pasaran import.

Proses pengeluaran pes durian untuk dieksport ke negara China

Kajian penghasilan bio-kompos daripada sisa-sisa ladang seperti kulit durian dan batang pisang turut dijalankan bagi menambah nilai produk daripada sisa-sisa ladang yang berlebihan.

Pada tahun 2016, DOA telah mula menjalankan kajian terhadap pembiakan dan pemeliharaan udang kara sehingga berjaya menghasilkan 1,000 ekor benih udang kara manakala, pada tahun 2019, DOA berjaya memperkenalkan ternakan udang kara secara moden (tanks on racks indoors).

Pada tahun 2020, sebanyak enam kursus penternakan udang kara melibatkan 180 orang peserta telah dianjurkan, dan bermula pada tahun 2021, DOA telah mempergiatkan usaha untuk mendapatkan pensijilan myGAP bagi pengusaha-pengusaha udang kara.

Bagi program pengembangan pertanian, DOA telah melaksanakan Program Pembangunan Manusia Asas Komoditi (PPMAK) dalam Rancangan Malaysia Ke-6 (RMK-6) sehingga RMK-9 bagi meningkatkan pengeluaran makanan asas.

Program Bimbingan Usahawan (EGP) pula diperkenalkan untuk menjadikan wanita lebih produktif dalam bidang ekonomi selain bermatlamat untuk mengenalpasti aktiviti-aktiviti bagi menambah pendapatan wanita yang berpotensi serta berkemahiran dalam bidang pertanian, pemprosesan makanan atau kraftangan melalui penerapan budaya niaga yang sistematik.

Dalam usaha melahirkan usahawan di kalangan wanita, Program Industri Kecil (SSI) turut diperkenalkan bagi meningkatkan taraf perusahaan industri kampung ke tahap industri kecil untuk menjadikannya berdaya maju di kalangan perusahaan yang terlibat dalam program bimbingan cawangan Pembangunan Ekonomi Wanita Jabatan Pertanian (WEDA).

Pemilihan peserta untuk program ini mengambil kira faktor bahawa peserta itu hendaklah seorang pengusaha wanita perseorangan yang terbabit secara aktif dalam perusahaan industri kampung.

Selain itu, calon berkenaan hendaklah mempunyai ciri keusahawanan yang berdaya maju, iaitu berpendapatan bersih minima kira-kira RM24, 000 setahun dan telah mempunyai beberapa peralatan atau bangunan sendiri selain bersedia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian.

Usaha DOA melalui cawangan WEDA ini telah banyak membantu golongan sasarnya untuk berjaya dalam perusahaan masing-masing.

Pada 2010, kerajaan menerusi DOA telah memperkenalkan Program Azam Tani yang mensasarkan penyertaan penduduk-penduduk kampung dan golongan berpendapatan rendah untuk membantu mereka menjana pendapatan yang tinggi.

Sesiapa pun tidak pernah menduga bahawa sektor pertanian telah mampu mengubah nasib seseorang individu dalam memberikan pendapatan tinggi kepada pengusahanya.

Terdapat beberapa contoh petani dan penternak yang telah membuktikan bidang usaha pengeluaran makanan, ternakan dan perikanan boleh memberi pulangan perniagaan yang lumayan.

Projek integrasi penternakan lembu pedaging

Misalnya Encik Donney Chia Kian Ting dari Kuching yang mempunyai keluasan ladang sayur buah dan sayur daun seluas 10 hektar berjaya meraih pendapatan bulanan sebanyak RM25, 000 sebulan.

Begitu juga dengan kejayaan yang diraih Encik Puti anak Johan dari Serian yang terlibat dalam penternakan ikan empurau dalam tangki berjaya meraih pendapatan bulanan sekitar RM96, 000.

Manakala Encik Saffaee Bin Osman dari Mukah yang mengusahakan projek integrasi ternakan lembu, kambing dan bebiri di ladang kelapa sawit seluas 250 hektar berhasil memperolehi pendapatan berjumlah RM33, 000 sebulan.

Selain itu, Encik Tiong Kung Sing, yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran fertigasi sejak 2015 juga telah berjaya meraih pendapatan kira-kira RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Di bawah RMK-11, pelbagai program dan projek pembangunan pertanian telah dilaksanakan dan memberi manfaat kepada 180 ribu orang peserta yang terdiri daripada golongan petani, nelayan dan usahawan tani.

Antara kejayaan yang telah dicapai dalam RMK-11 ialah, memperkenalkan kaedah penanaman secara fertigasi dan hidroponik dimana seramai 3,549 orang petani telah mendapat manfaat daripada peruntukan berjumlah RM12.85 juta.

DOA juga turut mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) dalam beberapa projek pertanian yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil tani.

Penggunaan teknologi ‘drone’ untuk penyemburan baja terhadap tanaman padi

Di bawah inisiatif ini, TKPM Rampangi yang mempunyai 40 buah struktur pelindung hujan (SPH) telah dilengkapi dengan teknologi IoT dan dijadikan sebagai projek perintis DOA.

Dalam tempoh dua tahun iaitu dari 2018 hingga 2020, nilai hasil pengeluaran daripada TKPM Rampangi telah mencapai RM697, 529 dengan pengeluaran sebanyak RM66.9 metrik tan.

Bermula pada tahun 2021, DOA sedang dalam perancangan untuk mengadaptasi model yang sama di beberapa buah lokasi yang berlainan, antaranya ialah Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok, Stesen Pertanian Tarat dan Pusat Latihan Pertanian Sg. Sebiew.

Beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan iaitu membina Pusat Pengumpulan, Pemporsesasn dan Pembungkusan (CPPC) untuk hasil-hasil pertanian dan membangunkan Taman Pertanian (Agro-Park) serta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

CPPC yang dikendalikan oleh sektor swasta akan membeli hasil pertanian daripada petani serta menyediakan pasaran yang terjamin untuk mereka.

Kerajaan Sarawak berhasrat untuk membangunkan lebih banyak CPPC dan pada tahun ini (2021), kerajaan merancang untuk menubuhkan CPPC di Bebuling, Layar, Sarikei, Julau, Lachau, Sebangan, Lundu, Long Lama dan Kapit.

Ini tambahan kepada CPPC yang telah dibangunkan di Tarat dan yang sedang dibangunkan di Limbang, Lawas, Betong beserta sebuah pasar borong di Kota Samarahan.

Penubuhan CPCC adalah untuk mengukuhkan rantaian bekalan pertanian dan mewujudkan platform pasaran kepada hasil yang dikeluarkan oleh peladang.

Sementara itu, terdapat 17 Agropark telah dicadangkan untuk dibangunkan di seluruh Sarawak dan bagi tahun 2021, lima (Agro-park akan mula dibangunkan iaitu:

I.          Sungai Baji Agropark Phase 2, Sarikei (127 Hektar)

II.          Bebuling Spaoh Agropark, Betong (550 Hektar)

III.         Lubok Tamang Agropark, Betong (870 Hektar)

IV.        Simanggang Agropark, Sg. Tisak, Sri Aman (273 Hektar)

V.         Parit Bugis Agropark, Sarikei (3871 Hektar)

Sejumlah RM23 juta telah dibelanjakan dalam tempoh RMK-11 untuk membangunkan tujuh (7) TKPM di Sarawak, dianggarkan seluas 406 hektar.

Tujuh TKPM yang telah dan sedang dibangunkan terletak di Semenggok, Pejiru dan Rampangi (Kuching); Sungai Ma’aw (Sibu); Penipah (Mukah); Kabuloh (Miri); dan Kubong (Limbang).

Setakat ini, lima (5) TKPM telah beroperasi iaitu TKPM Kabuloh, Semenggok, Rampangi, Pejiru dan Penipah dengan anggaran nilai hasil jualan melebihi RM6.8 juta pada tahun 2020.

Kerajaan menerusi DOA terus komited mencari pelbagai kaedah yang baharu dan berinovatif untuk dilaksanakan bagi memperkasakan sektor ini.

Antaranya, menggiat dan menggalakkan pertanian bercorak komersial, tersusun, penggunaan tanah yang intensif, pengurusan yang cekap, amalan agronomi yang betul dan penggunaan teknologi yang lebih canggih dan moden.

Projek tanaman cili yang menggunakan teknologi fertigasi di bawah struktur pelindung hujan

Tidak diketepikan juga usaha untuk membentuk dan mewujudkan ciri-ciri pengusaha sektor pertanian yang mempunyai sikap ingin dan mahu berubah, kompetitif dan berdaya saing berteraskan pengetahuan dan teknologi untuk menghadapi saingan global pada hari ini.

Selain itu, Kerajaan Sarawak juga akan terus menggalak serta menyokong Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memulakan perniagaan yang berkeupayaan tinggi untuk meningkatkan pendapatan.

Hal ini kerana, PPK memainkan peranan penting dalam rantaian nilai bermula daripada tahap pengeluaran sehingga ke tahap pemasaran.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lepas, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.5 juta kepada 28 PPK untuk membeli hasil tani secara borong daripada petani kerana tidak dapat dijual. Sebanyak 423 tan metrik hasil tani telah dibeli daripada lebih 500 orang petani dan daripada jumlah tersebut, PPK telah berjaya menjual kembali 221 tan metrik (52%) hasil tani dalam pasaran.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article