- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Maklumat dan Berita, Ada Beza?

Must read

Hari ini, dalam dunia digital tanpa sempadan, masyarakat dihujani dengan lambakan berita dan maklumat.

Media sosial menjadi platform popular penyebaran dan penerimaan berita dan maklumat. Dianggarkan 53.6% penduduk dunia menggunakan media sosial dengan purata penggunaan harian selama 2 jam 25 minit.

Walau bagaimanapun, tidak semua pembaca dapat membezakan antara berita dan maklumat.

Terdapat perbezaan antara berita dan maklumat. Secara asasnya, berita ialah maklumat khusus yang merupakan komunikasi sama ada dalam bentuk media cetak mahupun media elektronik.

Kepesatan teknologi maklumat dan kemunculan platform media sosial hari ini telah menyebabkan lambakan maklumat atas talian

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, berita ditakrifkan sebagai maklumat mengenai sesuatu kejadian (peristiwa, diri sendiri, dan lain-lain) yang disampaikan sama ada secara lisan atau dengan surat dan sebagainya.

Manakala maklumat pula merupakan satu bentuk makluman, pemberitahuan dan pengumuman.

Sejak berabad lamanya, surat khabar merupakan sumber utama berita yang dibaca dalam kehidupan seharian.

Surat khabar menghimpunkan laporan mengenai isu semasa, kejadian-kejadian tertentu, namun masih menyampaikan maklumat tepat mengenai pelbagai subjek kepada pembaca pada ruangan tertentu.

Ramai yang mendapati ruang pemisah atau dikotomi antara berita dengan maklumat sukar dibezakan.

Perkataan ‘news’ (berita) berkembang daripada perkataan ‘new’ (baharu). Oleh yang demikian, apa saja maklumat mengenai sesuatu kejadian, peristiwa, acara, bencana atau kemalangan, malah hasil kewangan syarikat juga dianggap sebagai berita.

Sebagai contoh, paparan ‘berita terkini’ di bahagian bawah skrin televisyen yang membawa berita tentang peristiwa yang telah ataupun baru saja berlaku sering muncul ketika program selain daripada berita sedang bersiaran.

Kebiasaannya jika ini berlaku, siaran program berkenaan akan dihentikan buat seketika bagi memberi laluan kepada berita terkini mengenai peristiwa tersebut akan disiarkan jika dianggap sebagai sangat penting untuk para penonton.

Berita mempunyai empat ciri utama, iaitu ketepatan, seimbang, objektiviti, ringkas serta jelas dan semasa.

Syarat penting untuk sesuatu berita ialah kekemasan atau ketepatan masa. Seorang wartawan lazimnya memberi penekanan kepada sudut terkini sesuatu peristiwa dan perkataan ‘hari ini’’ dan ‘esok’ mempunyai kaitan dengan kebanyakan berita.

Situasi contoh dapatan maklumat adalah seperti petunjuk mengenai jadual penerbangan ke destinasi yang dipaparkan di skrin atau boleh diperoleh dengan bertanya kepada kakitangan penerbangan di kaunter maklumat.

Begitu juga halnya di dalam kelas, iaitu semua ilmu yang disampaikan oleh guru kepada pelajar secara dasarnya adalah dalam bentuk maklumat yang bertujuan untuk membuatkan para pelajar memahami dengan jelas apa yang disampaikan.

Ciri-ciri maklumat ialah relevan, boleh dipercayai dan difahami, lengkap, tepat serta dapat membantu mengurangkan ketidakpastian.

Maklumat atau pengetahuan diperoleh melalui proses mengetahui atau mengumpul maklumat yang akan mengembangkan kemampuan individu dalam berinteraksi dengan dunia sekeliling.

Proses pengumpulan maklumat akan berterusan sepanjang hayat dan sepanjang kehidupan individu akan mengalami pelbagai bentuk permasalahan yang membuatkan individu tersebut mempelajari sesuatu dan mendapat maklumat baharu.

Perbezaan Ringkas di Antara Berita dan Maklumat

•      Berita merupakan satu bentuk penyampaian fakta mengenai peristiwa atau kejadian yang baru saja berlaku atau sedang berlaku sementara maklumat bersifat umum dan tidak bersifat segera.

•      Berita disampaikan bertujuan untuk membuatkan masyarakat peka terhadap persekitaran, komuniti secara keseluruhan, peristiwa yang berlaku manakala maklumat pula merupakan fakta biasa yang tidak berubah seiring dengan waktu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article