- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mengiktiraf Sumbangan Penggiat Sastera dan Penulis

Must read

Anugerah Sastera Negeri Sarawak

Sastera melambangkan jati diri dan jiwa bangsa. Maka wajarlah penganugerahan diberikan kepada penggiat sastera bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam memartabatkan sastera.

Atas dasar ini, Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) diperkenalkan sebagai satu bentuk pengiktirafan eksklusif dan berprestij daripada Kerajaan Sarawak kepada para sasterawan dan penulis yang cemerlang dalam menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan kebangsaan, khususnya di Sarawak.

Mengimbas kembali, sejarah ASNS mula diperkenalkan pada 1994 apabila Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Sosial menyediakan peruntukan khas bagi membiayai segala kos dalam pelaksanaan anugerah tersebut termasuk hadiah-hadiah yang diberikan.

Pada ketika itu, Kementerian Pembangunan Sosial berperanan sebagai wakil Kerajaan Sarawak dengan Menteri yang memegang portfolio kementerian selaku Pengerusi Panel ASNS.

Manakala Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pula bertindak sebagai Urus Setia pengurusan secara keseluruhan.

ASNS dianjurkan dengan matlamat dan objektif tertentu seperti memberi penghargaan kepada sumbangan penulis dan sekali gus mendorong mereka untuk berkarya dengan lebih giat lagi, menggalakkan penulis di Sarawak, secara umumnya, untuk mendekati bidang penulisan dengan lebih serius dan bertanggungjawab.

Objektif seterusnya adalah bagi membantu ke arah peningkatan dan kemajuan sastera kebangsaan di negeri ini dan meningkatkan imej dan prestasi bidang sastera dan penulisan pada keseluruhannya.

Sejak 1994, ASNS telah dilangsungkan pada 1995, 1997, 1998, 1999, 2001, 2009, 2014, dan 2018.

Sepanjang tempoh penganjurannya, seramai empat orang penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak (anugerah utama) telah diberi pengiktirafan.

Allahyarham Haji Muhammad Bujang atau dikenali sebagai Melati Sarawak merupakan antara penggiat sastera terulung di Sarawak

Pada tahun 1994, Allahyarham Haji Muhammad Bujang telah diberi pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang pertama.

Kemudian pada 1995, Allahyarham Muhammad Rakawi Yusuf pula diberi pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang kedua.

Empat belas tahun selepas itu, pada tahun 2009, YBhg. Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah diberi pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang ketiga.

Seterusnya pada tahun 2014, Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang keempat dianugerahkan kepada Encik Jong Chian Lai.

Penganjuran ASNS juga merupakan satu usaha menghargai penulis yang telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kebahasaan dan kesusasteraan di negeri Sarawak bagi satu tempoh atau jangka masa tertentu.

Anugerah ini dilaksanakan dalam tempoh antara dua tahun atau lebih mengikut kesesuaian dan persetujuan Jawatankuasa Induk ASNS.

Tahun ini, ASNS telah dianjurkan buat kali yang ke-10 dan pemilihan dan keputusan penerima anugerah dibuat oleh Jawatankuasa Panel Penilai ASNS ke-10 yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak.

Kategori-kategori anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak (Anugerah Utama), Anugerah Khas Bahasa dan Sastera, Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Novel, Puisi, Cerpen, Esei Kritikan dan Skrip Drama), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Bahasa Iban, Bidayuh, Melayu Sarawak, Melanau, Cina, Orang Ulu dan Bahasa Inggeris).

Berikut merupakan senarai penerima ASNS Kali Ke-10, 2021:

i.     Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak

       Penerima: Zainal Abidin bin Suhaili

ii.     Anugerah Khas Bahasa dan Sastera

       Penerima: Allahyarham Awang Bujang Awang Hamdan

       (diberikan secara  posthumous)

iii.    Anugerah Penulis Sarawak Genre Novel

       Penerima: Abang Median bin Abang Said

iv.    Anugerah Penulis Sarawak Genre Puisi

       Penerima: Ja’afar bin Haji Hamdan

v.    Anugerah Penulis Sarawak Genre Cerpen

       Penerima: Abang Median bin Abang Said

vi.    Anugerah Penulis Sarawak Genre Esei Kritikan

       Penerima: Ja’afar bin Haji Hamdan

vii.   Anugerah Penulis Sarawak Kategori Bahasa Iban

       Penerima: Janang anak Ensiring

Bagi Anugerah Penulis Sarawak Genre Skrip Drama, tiada calon yang dinilai layak menerima anugerah ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article