- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Signifikan 22 Julai dan Era Pasca Pandemik COVID-19

Must read

Tarikh 22 Julai sentiasa diingati oleh setiap rakyat Sarawak walaupun sudah tersurat dalam lipatan sejarah Negeri Sarawak lebih 100 tahun lalu di bawah kuasa asing bermula daripada pemerintah keluarga Brooke.

Segalanya bermula 22 Julai 1963, rakyat Sarawak diberi kuasa oleh pihak koloni British untuk mentadbir negeri sendiri atau kuasa “self-rule”. Bendera Union Jack telah diturunkan dan Gabenor British terakhir, iaitu Sir Alexander Waddell kemudian berundur meninggalkan bumi Sarawak.

Tanpa apa-apa pertumpahan darah pihak British telah menyerahkan kuasa untuk mentadbir negeri ini kepada rakyat Sarawak sendiri dengan pelantikan Ketua Menteri pertama, iaitu mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dan Allahyarham ayahanda saya Tun Datuk Abang Haji Openg bin Abang Haji Sapie’e sebagai Gabenor pertama, kesemuanya lantikan daripada kalangan Anak Sarawak sendiri.

Namun apa kaitannya dengan keadaan getir yang kita hadapi sekarang dan hala tuju Sarawak secara umumnya.

Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg merungkai dan menjawab segala persoalan ini ketika menyampaikan perutusan di TVS sempena Hari Sarawak.

Menurut Ketua Menteri, sebagai contoh terdekat bagaimana cara kita menangani pandemik yang melanda negeri pada waktu ini dengan menghargai kuasa yang ada pada kita mengikut Perlembagaan untuk membuat keputusan yang disesuaikan dengan keadaan di Sarawak agar ia  lebih praktikal dan berkesan.

Sarawak menghargai kuasa yang ada pada kita mengikut Perlembagaan untuk membuat keputusan yang disesuaikan dengan keadaan di Sarawak agar ia lebih praktikal dan berkesan

Pada perspektif lebih luas, keupayaan Sarawak untuk membuat keputusan sendiri untuk kepentingan Sarawak seharusnya mencerminkan jati diri anak Sarawak untuk menentukan masa hadapan mereka sendiri agar negeri ini setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Jelas beliau, kita menghormati keputusan di peringkat kerajaan persekutuan di Putrajaya tetapi tidak semua keputusan yang dibuat sesuai ataupun praktikal untuk dilaksanakan di Sarawak.

Selain saiz Sarawak yang hampir sama besar dengan tanah Semenanjung tidak termasuk kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa kita melaksanakan keputusan yang telah dibuat di peringkat persekutuan.

Salah satu contoh jelas, iaitu modifikasi kepada proses pemberian vaksin yang membolehkan rakyat kita di luar bandar diberi suntikan vaksin dahulu kemudian barulah didaftar dalam aplikasi MySejahtera kerana kita akur bahawa sukar bagi rakyat Sarawak di rumah-rumah panjang dan kampung untuk mendaftar dan mengakses MySejahtera.

Ruang yang diberikan ini, telah membolehkan kita membuat keputusan sesuai dengan keperluan Sarawak juga telah membolehkan kita mengambil langkah-langkah yang telah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak.

Pihak SDMC dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pihak industri, telah menubuhkan pusat pemberian vaksin di tempat-tempat kerja dan juga penubuhan pasukan-pasukan bergerak untuk menjangkau kepada mereka yang tidak dapat datang ke pusat-pusat vaksin di samping pihak tentera juga membantu di kawasan-kawasan luar bandar.

Langkah tersebut telah menjadikan Sarawak adalah antara negeri yang terpantas dalam program pemberian vaksin dengan lebih daripada 60 % daripada rakyat dewasa sebanyak 2.2 juta telah menerima dos pertama.

Para Petugas kesihatan menghantar vaksin menggunakan helikopter di salah sebuah klinik di pedalaman di Miri

Langkah-langkah telah dikenakan oleh pihak Jawatan Kuasa Bencana Negeri Sarawak (SDMC) untuk menghambat penularan COVID-19, termasuk langkah untuk mempercepatkan program pemberian vaksin nampaknya telah berjaya menurunkan kes jangkitan harian kebelakangan ini.

Begitu juga Kerajaan Negeri telah melaksanakan program bantuan makanan melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) dan juga Kerajaan Persekutuan melalui Pemulih tetapi kita tidak dapat menolak kemungkinan ada yang tertinggal atau tidak mendapat bekalan yang mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKP.

Pihak syarikat, pasar raya, pertubuhan agama, organisasi, parti politik dan orang perseorangan telah tampil untuk mengedarkan bahan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan.

Di ambang Sarawak menuju ke arah mencapai status negeri maju pada tahun 2030, Kerajaan Sarawak mengambil langkah ke hadapan dalam merancang pembangunan ekonomi secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur fizikal termasuk infrastruktur Internet.

Beliau yakin dengan dasar Sarawak yang berpandangan jauh, pembangunan ekonomi negeri ini mampu kita bawa ke tahap yang lebih tinggi dan peningkatan kepada pendapatan rakyat dengan produk-produk yang mempunyai nilai tambah. Jelas beliau lagi, sambutan perayaan pada kali ini cukup bermakna dengan pelancaran Strategi Pelan Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang bertujuan melakar hala tuju ekonomi kita hingga ke 2030 dengan mengambil kira impak COVID-19.

Strategi Pelan Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) langkah ke hadapan Sarawak melakar hala tuju ekonomi kita hingga ke 2030
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article