- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Industri Sukan Terus Diperkasakan

Must read

Salah satu daripada enam (6) Bidang Tumpuan Nilai Teras Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) adalah berkenaan ‘Pemerkasaan Industri Sukan’.

Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat anak Nyalau, Industri sukan merupakan salah satu penyumbang terbesar dalam ekonomi dan pembangunan sosial sesebuah negara.

Oleh itu, Kementerian belia dan Sukan (KBS) kini sedang dalam proses penggubalan sebuah dokumen VSN2030 yang akan memetakan perancangan 10 tahun Malaysia untuk memperkasakan lagi polisi demi pembangunan industri sukan yang lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif.

Industri sukan bukan sahaja berkaitan dengan industri pembuatan produk berkaitan sukan semata-mata, tetapi turut melibatkan pelbagai komponen lain termasuklah dari segi perkhidmatan, perubatan, sains sukan, pelancongan dan lain-lain berteraskan atlet, masyarakat dan aktiviti sukan itu sendiri.

Justeru, negara kita memerlukan pemerkasaan teras sukan yang lebih dinamik, progresif dan memberi nilai tambah terhadap pembangunan sektor ekonomi berlandaskan komponen sukan.

Malah, adalah penting untuk negara kita terus melakukan penambahbaikan terhadap industri sukan supaya ia akan dapat memberi kesan positif kepada ekosistem sukan negara.

Jelas beliau, industri sukan melibatkan sebuah ekosistem yang luas kerana terdiri daripada penganjur acara, penyedia perkhidmatan, penyiaran, pelancongan sukan, agensi sukan dan sebagainya, secara tidak langsung talah dapat mewujudkan peluang serta penciptaan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat anak Nyalau

Demikian dijelaskan oleh Encik Lamat semasa ditemu bual dalam program Sesi Libat Urus Kanvas Visi Sukan Negara 2030 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung pada 5 Julai, lepas apabila diminta mengulas tentang industri sukan yang terdapat di Malaysia amnya dan di Sarawak, khasnya.

Sejak berdepan dengan krisis pandemik COVID-19 awal tahun lepas, KBS turut merasakan keresahan yang dialami oleh penggiat industri sukan yang terpaksa berhadapan dengan penutupan sektor sukan dan rekreasi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelaksanaan PKP ini juga antara lain telah menyebabkan ramai penggiat industri sukan berhadapan dengan pelbagai kesulitan, antaranya termasuklah tanggungan hutang, pemberhentian pekerja dan ada yang terpaksa menutup perniagaan terutamanya operator gimnasium serta pusat kecergasan.

Menerusi pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November tahun lepas, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta sebagai pembiayaan mudah di bawah Skim Pembiayaan Industri Sukan untuk memastikan kelangsungan pengusaha atau operator fasiliti yang terjejas.

Inisiatif Skim Pembiayaan Industri Sukan ini berupaya untuk mendayaupayakan pengusaha atau operator fasiliti sukan seperti pemilik akademi atau perniagaan sukan, operator fasiliti, syarikat pengurus atau penganjur acara serta pekerja dalam industri sukan yang terjejas teruk akibat daripada penularan pandemik COVID-19.

Rasionalnya inisiatif ini antaranya ialah untuk membantu meringankan impak dan beban pengusaha fasiliti sukan yang terkesan dengan memberikan sinergi baharu melalui bantuan dana pembiayaan pengurusan fasiliti komersial.

Selain itu, ia juga untuk meningkatkan tahap ketersediaan (readiness) memulakan perniagaan dan menstabilkan semua perniagaan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 selain memperkasakan sektor swasta dalam memberi perkhidmatan kesukanan kepada masyarakat selaras hasrat kerajaan bagi memastikan pembudayaan sukan sentiasa berkembang.

Rasionalnya juga ialah ia seiring fokus KBS pada tahun 2021 untuk memajukan ekonomi negara menerusi pemerkasaan pembangunan industri sukan malah selari dengan model baharu yang bakal diperkenalkan oleh KBS iaitu gelembung sukan (sports bubble).

Antara lain ialah, sebagai pemangkin dalam mengaktifkan semula industri sukan negara dan menjalinkan kerjasama strategik antara sektor kerajaan melalui perkongsian dan pengintegrasian sumber.

Enam (6) Bidang Tumpuan Nilai Teras Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030)

Selain skim tersebut, KBS turut melaksanakan tujuh Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan yang memfokuskan agenda kepada penggiat industri sukan sebagai usaha tuntas serta penampan untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif pertama ialah pemberian Geran Prihatin Industri Sukan (GPIS) untuk membantu pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi komersial yang terjejas sebagaimana yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan bantuan RM3,000 secara one-off.

Peruntukan sebanyak RM18 juta telah disediakan dan dijangka akan memanfaatkan kira-kira 6,000 buah syarikat atau perniagaan berdaftar berkaitan industri sukan.

Inisiatif kedua ialah Moratorium bagi penggiat industri sukan seperti mana yang diumumkan di dalam PEMULIH di mana peminjam individu sama ada B40, M40 atau T20 dan juga usahawan mikro layak memohon kepada pihak bank bagi mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik.

Inisiatif ini merupakan antara cadangan balas KBS kepada Kementerian Kewangan khususnya dalam membantu industri sukan yang semakin terjejas serta mempunyai komitmen dengan pihak bank sedangkan mereka tidak boleh beroperasi untuk membayar balik fasiliti kewangan yang dipinjam.

Inisiatif ketiga ialah, Insentif Sewaan Fasiliti Sukan dan Rekreasi di bawah seliaan KBS pada kadar 50 peratus untuk tempoh enam bulan akan datang.

Insentif sewaan ini terpakai kepada fasiliti sukan dan rekreasi milik Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) dan Impact Integrated.

Selain itu, KBS turut memberikan Insentif Operator Perniagaan di fasiliti terpilih di bawah seliaan KBS dengan memberi pengecualian sebanyak 50 peratus kadar sewaan selama enam bulan bermula dari tarikh PKP 3.0 berkuat kuasa.

KBS turut memanjangkan cadangan pelaksanaan insentif pengurangan bayaran lesen perniagaan kepada operator sukan untuk pertimbangan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) dan semua Kerajaan Negeri.

Inisiatif keempat ialah tawaran MYVAC khusus untuk pekerja industri sukan bagi menyokong para pekerja penggiat industri sukan yang terkesan.

Di bawah inisiatif ini, KBS akan menawarkan dan memberi keutamaan pengambilan sukarelawan MYVAC kepada para pekerja industri sukan melalui Program MYVAC@Sportsindustry.

Sebanyak seribu slot MYVAC dikhususkan kepada para pekerja penggiat industri sukan yang berdaftar dengan KBS atau MITI melalui sistem CIMS dan mereka akan menikmati kadar bayaran elaun sama seperti MYVAC sedia ada iaitu RM100 sehari jika bertugas dua sesi dengan anggaran 12 jam sehari.

Inisiatif kelima ialah penambahbaikan Skim Pembiayaan Industri Sukan hasil kolaborasi rentas diantara Kementerian Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan KBS dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta.

Inisiatif keenam ialah Program Vaksinasi Industri Sukan (SPORTIVAC) untuk membolehkan penggiat industri sukan diberikan keutamaan untuk menerima vaksin yang akan diselaraskan oleh Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (SPIKE).

Program SPORTIVAC ini adalah hasil rundingan Menteri Belia dan Sukan Malaysia YB Dato’ Sri Reezal Merican dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin.

Inisiatif terakhir ialah Penawaran Kursus Berkaitan Sukan Secara Percuma kepada penggiat industri sukan serta orang ramai khususnya para belia dalam meningkatkan kemahiran dan ilmu berkaitan sukan.

Dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif ini, jelas membuktikan bahawa kerajaan terutamanya KBS amat memahami segala kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha industri sukan seperti mana banyak industri lain yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Namun begitu, satu-satunya jalan untuk memastikan industri sukan dapat keluar daripada krisis ini adalah dengan pembukaan sepenuhnya sektor sukan dan rekreasi, justeru kejayaan ini juga bergantung kepada kejayaan negara melaksana pelan pemulihan seperti yang dirancang.

Industri sukan salah satu penyumbang terbesar dalam ekonomi dan pembangunan sosial negara
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article