- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Meningkatkan Pemilikan Rumah Dalam Kalangan Rakyat

Must read

Memiliki rumah kediaman sendiri menjadi impian setiap individu. Membeli rumah juga merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang, lebih-lebih lagi apabila sudah mendirikan rumah tangga dan berkeluarga.

Selain berfungsi sebagai tempat berlindung, rumah memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran hidup aktif yang boleh mempengaruhi dan membentuk perilaku manusia, produktiviti dan pembangunan.

Namun, tidak semua orang dapat memenuhi keperluan asas ini dengan membeli rumah sendiri. Tidak kurang juga bilangan individu dan isi rumah yang menyewa sekian lama kerana masih belum mampu untuk membeli rumah sendiri.

Ketidakmampuan membeli rumah berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti harga rumah yang terlalu tinggi, sukar mencari rumah berharga sesuai dengan gaji, faedah yang tinggi, kos sara hidup dan kurang bijak mengurus kewangan peribadi.

Faktor-faktor lain seperti proses pembelian yang rumit, isu rumah mampu milik, beban hutang dan kekangan kewangan, gaji yang kecil dan tiada pendapatan tetap merumitkan lagi pemilikan rumah individu.

Isu ketidakmampuan membeli rumah dalam kalangan rakyat sebenarnya sudah lama diambil perhatian oleh kerajaan, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

Pelbagai program rumah mampu milik dan skim pembiayaan mudah telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi meningkatkan pemilikan rumah di negara ini.

Antaranya ialah Rumah Mesra Rakyat (RMR), Program Bantuan Rumah (PBR), Program Perumahan Rakyat (PPR), Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Skim MyHOme bagi pembelian rumah daripada pemaju swasta.

Lakaran reka bentuk rumah mampu milik SPEKTRA Permata di Sarawak (Sumber Laman Sesawang Perbadananan Pembangunan Perumahan Sarawak)

Kesemua program tersebut diperkenalkan khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rumah PPR misalnya, dijual pada harga sekitar RM50,000 seunit, khas untuk isi rumah dengan purata pendapatan bulanan di bawah RM3,000.

PPR merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara.

Di Sarawak, program PPR diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).

Bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini, Kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan program rumah mampu milik.

Antaranya ialah Skim Perumahan Khas Rakyat (SPEKTRA) dan Rumah Pertiwiku.

Program SPEKTRA yang pertama kali dilaksanakan di Daerah Lundu pada 2017 menawarkan pelbagai kategori rumah mampu milik seperti SPEKTRA Lite untuk golongan berpendapatan rendah dan SPEKTRA Medium untuk golongan berpendapatan pertengahan.

Program rumah mampu milik adalah salah satu daripada inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kemampuan membeli rumah di kalangan rakyat

Seunit rumah teres tengah untuk SPEKTRA Lite dijual pada harga tidak melebihi RM100,000 dan teres selekoh dijual pada harga tidak lebih daripada RM120,000.

Manakala untuk SPEKTRA Medium pula, harganya tidak melebihi RM135,000 untuk teres tengah dan tidak melebihi RM168,000 untuk teres selekoh.

Kerajaan Sarawak juga telah melancarkan SPEKTRA Permata dan setakat suku pertama 2020, sebanyak 1,380 buah rumah dalam kategori ini siap dibina.

Di bawah Rumah Pertiwiku, projek ini disasarkan kepada golongan berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Projek perintis Rumah Pertiwiku telah dilaksanakan di Kemuyang, di Sibu, Jepak, di Bintulu, Niah dan Lambir di Miri dan di Kuching.

Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk membina 2,000 hingga 3,000 unit rumah untuk golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Dari segi keluasan, rumah mampu milik di Sarawak telah dinaik taraf dan ditetapkan pada 700 kaki persegi berbanding 444 kaki persegi sebelum ini.

Di Malaysia, tahap kemampuan membeli rumah diukur melalui gandaan median. Gandaan median ialah nisbah antara median harga rumah dan median pendapatan tahunan isi rumah rakyat.

Tahap kemampuan memiliki rumah diukur melalui kaedah gandaan median

Sebagai contoh, jika pendapatan tahunan purata rakyat ialah RM50,000 dan purata harga rumah ialah RM150,000, maka gandaan mediannya ialah 3.0.

Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) menerangkan, gandaan median Malaysia adalah sekitar 4.0 dan 5.0 dari tahun 2002 hingga 2016, melebihi paras ambang 3.0 untuk kemampuan memiliki rumah berdasarkan standard pengukuran antarabangsa, iaitu gandaan median.

Berdasarkan standard pengukuran ini, rumah dianggap mampu milik maksimum di Malaysia dianggarkan pada RM188,208 (gandaan median 3.0) kerana pendapatan isi rumah median negara hanyalah RM5,228.

Walau bagaimanapun, harga rumah median sebenar (suku ketiga 2018) ialah RM293,000 dan ini melangkaui kemampuan pendapatan kebanyakan isi rumah di Malaysia.

Ketidakmampuan membeli rumah mengikut harga pasaran ini disebabkan kadar pertumbuhan pendapatan rakyat Malayisia yang tidak seiring dengan kadar kenaikan harga rumah.

Dalam tempoh di antara tahun 2007 hingga 2016, harga rumah meningkat sebanyak 9.8%, manakala pendapatan isi rumah bertambah sebanyak 8.3%.

Selain itu, DRMM juga menerangkan, ketidakmampuan membeli rumah timbul disebabkan pendapatan boleh guna rakyat Malaysia yang tidak mencukupi untuk menanggung pembiayaan perumahan.

Lebih kurang 50% pekerja Malaysia mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,160 dan pertumbuhan kadar pendapatan ini dilihat tidak memberi keupayaan kepada pemilikan rumah berdasarkan harga rumah median pada masa ini.

Objektif keempat DRMM adalah untuk memandu hala tuju pembangunan perumahan mampu milik bagi memastikan setiap isi rumah mampu memiliki rumah berdasarkan tahap kemampuan.

Manakala objektif kelima pula adalah menggariskan spesifikasi dan ciri-ciri pembangunan perumahan yang mampan, berdaya huni dan selamat bagi meningkatkan kualiti hidup pada harga yang mampu dimiliki oleh rakyat.

Kedua-dua objektif tersebut menunjukkan bahawa kerajaan cakna terhadap isu pemilikan rumah yang membelenggu rakyat di negara ini.

Inisiatif meningkatkan kemampuan pemilikan rumah diteruskan oleh kerajaan seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2021.

Dalam Bajet 2021, kerajaan akan terus menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah di bawah peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan untuk membina sehingga 14,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat.

Sebanyak RM315 juta diperuntukkan untuk membina 3,000 unit rumah Mesra Rakyat oleh Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Daripada jumlah tersebut juga, kerajaan memperuntukkan RM125 juta bagi melaksanakan penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam.

Selain itu, RM310 juta lagi disalurkan untuk menjayakan Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

Kerajaan turut memperkenalkan pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000 bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025.

Dalam masa yang sama, kerajaan akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Sewa untuk Memiliki (Rent-to-Own) yang akan dilaksanakan sehingga 2022.

Program tersebut melibatkan 5,000 rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih RM1 bilion dan dikhaskan untuk pembeli rumah pertama.

Melihat pada perspektif yang lebih besar, pembangunan perumahan memberi sumbangan penting terhadap kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Maka, inisiatif kerajaan memperkenalkan rumah mampu milik adalah sebagai usaha untuk meningkatkan pemilikan rumah di negara ini demi kesejahteraan dan kehidupan rakyat yang berkualiti.

Infografik menerangkan Skim Rumah SPEKTRA Permata (Sumber : Laman Sesawang Perbadananan Pembangunan Perumahan Sarawak)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article