- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Impak dan Keberkesanan Tenaga Boleh Diperbaharui

Must read

Matlamat Sarawak bukan hanya untuk menjadi pengguna sumber tenaga mesra alam, sebaliknya mempunyai misi yang lebih besar iaitu mahu menjadi peneraju kepada sumber tenaga lestari dan boleh diperbaharui (Energy Renewal).

Usaha Sarawak ini bukanlah baharu tetapi telah bermula sejak lebih 30 tahun lalu dengan projek loji hidroelektrik (HEP) Batang Ai yang berkapasiti 108 megawatt telah dibina oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) pada 1985.

Kemudian, Sarawak meneruskan usaha yang sama pada 2014 dengan pembinaan Projek Hidroelektrik (HEP) Murum bernilai RM4.1 bilion yang mampu membekalkan sebanyak 944 megawatt (MW) tenaga dengan purata kuasa tahunan 5,952 gigawatt-jam (GWh).

Empangan Murum pemangkin kepada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE)

HEP berkenaan adalah projek hidroelektrik pertama SEB yang dibina selaras dengan inisiatif Koridor Tenaga Diperbahaui Sarawak (SCORE).

Kewujudan HEP Murum ini telah merancakkan lagi sektor perindustrian di Sarawak terutamanya Taman Perindustrian Samalaju, salah satu daripada lima nod pertumbuhan di bawah SCORE.

HEP Murum yang terletak di hulu Sungai Rajang, Daerah Belaga dan di tengah-tengah kawasan kediaman masyarakat Penan dan Kenyah turut memberi impak positif kepada perkembangan sosio-ekonomi penduduk setempat.

Seterusnya ialah empangan Bakun yang berada lebih kurang 180 kilometer dari Bintulu dan 900km dari Kuching berkeupayaan membekal 2,400 megawat tenaga elektrik dengan lapan unit turbin yang beroperasi 24 jam setiap hari kecuali apabila diberhentikan bagi tujuan penyelenggaraan.

Kewujudan stesen jana kuasa tersebut menyaksikan ledakan pembangunan berlaku di tengah-tengah kawasan pedalaman yang telah memberi impak besar terhadap transformasi pembangunan ekonomi dan sosial di Sarawak.

Stesen Jana kuasa ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi di kawasan SCORE selain mentransformasikan kehidupan rakyat seiring dengan kemajuan yang mendatang.

Sarawak Hidro memainkan peranan penting sebagai pemangkin dalam mengangkat Sarawak ke tahap pembangunan yang lebih tinggi melalui rangsangan pertumbuhan industri baharu.

Sehubungan itu, projek-projek pembangunan di empangan Bakun adalah usaha kerajaan untuk membantu mengubah dan meningkatkan taraf hidup rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.

Sarawak merupakan teraju utama penjanaan kuasa

Impak terbesar daripada pembinaan empangan tersebut ialah peluang terbuka luas untuk mereka melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan ekonomi kerana wujudnya peluang pekerjaan dan perniagaan.

Difahamkan, majoriti tenaga kerja di Stesen Jana kuasa Hidro Elektrik Bakun adalah anak tempatan termasuk dari Belaga dan Sungai Asap, selain daripada pekerja dari Semenanjung Malaysia.

Selain membuka peluang pekerjaan, empangan Bakun dilihat mampu memberi impak besar dalam mempelbagaikan sumber ekonomi penduduk melalui sektor pelancongan.

Empangan Bakun amat berpotensi menjadi tarikan terutama pelancong asing memandangkan kawasan tersebut dikelilingi oleh landskap yang cukup menarik serta kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Dengan pembangunan sektor pelancongan, ia akan menarik lebih ramai pelancong asing dan pelawat dari luar untuk berkunjung ke kawasan tersebut.

Ini sekali gus akan mewujudkan pelbagai kegiatan baharu yang dapat membantu meningkatkan hidup penduduk di Sungai Asap dan kawasan sekitar empangan Bakun.

Seterusnya ialah Empangan Hidroelektrik Baleh di pedalaman Kapit yang berkeupayaan menjana tenaga elektrik sebanyak 1,285 MegaWatt (MW) dijangka akan memulakan operasinya pada 2026.

Jana kuasa hidroelektrik Baleh ini akan mengukuhkan lagi usaha Sarawak mengembangkan tenaga diperbaharui bagi menampung permintaan tenaga untuk keperluan industri domestik selain eksport ke negara jiran, pada masa depan.

Disebabkan Tenaga hidro ini dapat mewujudkan ekonomi hijau dan menjamin kemakmuran negeri Sarawak menjelang 2030, Kerajaan Sarawak komited untuk menghasilkan tenaga diperbaharui termasuk pengeluaran hidrogen hijau serta solar terapung di empangan hidro yang ada.

Kombinasi sumber tenaga strategik itu akan membolehkan Sarawak memainkan peranan penting bagi menangani isu pemanasan global selaras dengan objektif ‘Paris Accord’ sebagai landasan untuk pertumbuhan ekonomi dunia yang dijana oleh tenaga mesra alam.

Dalam pada itu, kesemua sektor ekonomi di Sarawak termasuk penanaman semula hutan, sektor pertanian serta pembuatan akan dipacu oleh teknologi hijau.

Kemampuan Sarawak mewujudkan SCORE telah menarik minat banyak pelabur-pelabur dari luar membangunkan kawasan perindustrian di negeri ini sekali gus telah membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan di negeri ini.

Kerana itu juga, Sarawak terus komited menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui bagi menjana sektor perindustrian yang merupakan penggerak ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Hal ini kerana, pembangunan sektor perindustrian khususnya sumber tenaga boleh diperbaharui Sarawak SCORE di Samalaju sangat memerlukan bekalan kuasa elektrik.

Justeru, keperluan berkenaan boleh dibekalkan dengan jana kuasa hidro Murum dan Bakun dengan harga tarif yang rendah untuk menarik lebih banyak pelabur-pelabur asing.

Sebagai menyokong usaha kerajaan ini, penduduk juga perlu sedar akan impak dan keberkesanan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kerana penggunaan tenaga semasa adalah penyumbang utama kepada perubahan iklim dan menghasilkan 2/3 gas rumah hijau secara global.

Pada dasarnya, kita tidak akan dapat mencapai matlamat untuk mengehadkan pemanasan global hingga 1.5 oC di atas tahap pra-industri tanpa melabur dalam tenaga boleh diperbaharui.

Transformasi ini bukan saja mampu tingkatkan pendapatan ekonomi negara malah juga peluang pekerjaan, melindungi alam sekitar dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Alat Voltan Foto (PV) atau sel-sel suria yang menukarkan cahaya matahari kepada tenaga elektrik
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article