- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bagaimana Mengenal Pasti Maklumat Palsu

Must read

Maklumat palsu ada di mana-mana dan mudah disebar luas, lebih-lebih lagi dalam era digital masa kini apabila maklumat berada di hujung jari.

Platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp merupakan antara saluran mudah untuk menyebarkan maklumat atau berita palsu.

Ketika dunia berdepan pandemik COVID-19, maklumat dan berita palsu menular dengan begitu pantas sehingga memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan negara.

Tidak kurang juga ada maklumat yang tidak benar boleh menyebabkan gangguan emosi dan tekanan mental kepada segelintir masyarakat yang terkesan dengan kerencatan aktiviti ekonomi akibat penularan wabak tersebut.

Malah, ada yang menganggap penularan maklumat dan berita palsu dianggap lebih berbahaya daripada wabak COVID-19.

Rantaian pelbagai jenis maklumat dan berita palsu membanjiri platform media sosial sehinggakan ada segelintir pengguna seakan berlumba-lumba untuk menjadi juara berkongsi maklumat tanpa rasa ragu-ragu akan kebenarannya dan tanpa mengetahui dari mana sumber maklumat yang diterima.

Namun, untuk mengelak daripada menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, terdapat panduan untuk mengenal pasti maklumat palsu dengan tiga (3) langkah mudah.

Pertama, pengguna perlu menyemak terlebih dahulu sumber maklumat dan berita sebelum ia dipanjangkan.

Elakkan berkongsi maklumat dari sumber berbunyi seperti ‘daripada kenalan saya’ atau ‘sumber dari rakan sekerja saudara saya’ kerana besar kemungkinan maklumat seperti ini tidak benar.

Sekiranya benar sekali pun, kemungkinan cerita asal telah diubah dengan maklumat palsu untuk menjadikan berita tersebut sensasi.

Dalam zaman yang serba canggih, teknologi multimedia dan digital boleh menjadikan maklumat palsu kelihatan rasmi dan meyakinkan seolah-olah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Pelbagai aplikasi yang membolehkan maklumat diubah seperti dengan meletakkan logo rasmi kerajaan atau menggunakan gambar personaliti popular atau orang kenamaan bagi menimbulkan rasa percaya kepada penerima maklumat.

Dalam isu COVID-19, laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ketua Pengarah Kesihatan YBhg Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan antara sumber rujukan utama untuk mendapatkan maklumat sahih.

Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah sumber rujukan utama maklumat berkaitan COVID-19

Lebih daripada itu, kerajaan juga telah mewujudkan portal Sebenarnya.my sebagai rujukan kepada masyarakat mendapatkan kepastian di sebalik maklumat dan berita yang tular.

Yang kedua, penerima maklumat dinasihatkan untuk berfikir tentang manfaat yang akan diperolehi sebelum berkongsi dan memanjangkan maklumat.

Berfikir seketika dapat membantu menilai kesan sama ada maklumat yang belum dipastikan kebenarannya jika dipanjangkan akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan kepada umum.

Tindakan sedemikian dapat mengelakkan rasa panik di kalangan orang awam sekiranya maklumat yang ingin dipanjangkan boleh menimbulkan keresahan.

Ketiga, berwaspadalah apabila menerima maklumat dan berita yang memaparkan kisah yang begitu menyayat hati dan menyentuh emosi.

Kadang-kadang, cerita yang dikongsikan sengaja ditokok tambah untuk meraih perhatian umum dengan muslihat tertentu.

Pandemik COVID-19 terbukti menjejaskan pendapatan individu, isi rumah dan pendapatan negara. Tidak dinafikan ada di kalangan komuniti dan badan sukarelawan yang berniat untuk membantu mereka yang terkesan dengan melancarkan bantuan dan kutipan derma.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan juga terdapat segelintir pihak yang cuba untuk mengambil kesempatan dengan menipu pada ketika krisis seperti COVID-19 yang sedang melanda.

Krisis kesihatan ini turut membuka ruang dan peluang kepada penipu (scammer) dalam talian untuk menjalankan aktiviti penipuan seperti melancarkan kempen derma palsu (dengan paparan maklumat dan imej palsu).

Jika ada yang ingin menderma, dermalah ke pihak yang benar-benar diyakini integritinya dan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa seperti pejabat Zakat dan badan bukan kerajaan (NG0) yang sah.

Namun, di sebalik langkah mengenal pasti maklumat palsu yang disebutkan, realitinya adalah penyebaran maklumat palsu sukar dihentikan.

Hal ini dikatakan demikian kerana dalam zaman media sosial sekarang, majoriti pengguna secara nalurinya mudah untuk menekan butang kongsi tanpa berfikir terlebih dahulu. Oleh itu, berfikirlah sejenak sebelum berkongsi sebarang maklumat dan berita

Click to rate this post!
[Total: 1 Average: 3]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article