Rawatan kesihatan sememangnya memerlukan kos perbelanjaan yang besar, lebih-lebih lagi untuk penyakit kronik tidak berjangkit seperti masalah jantung, penyakit buah pinggang, kanser dan sebagainya.
Melanggan insurans ataupun takaful perubatan adalah sebagai jaminan kesihatan sekiranya berlaku kecemasan berkaitan kesihatan.
Namun, tidak semua orang mampu melanggan insurans dan membayar jumlah bayaran bulanan secara konsisten dengan kadar yang telah ditetapkan dalam perjanjian.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada syarikat swasta yang menawarkan faedah dalam bentuk pembiayaan insurans perubatan kepada para pekerja.
Insurans merujuk pada perjanjian tanggungan yang dibuat oleh sesebuah syarikat bagi menggantikan kerugian terhadap sesuatu pihak yang melibatkan pembayaran premium tertentu.
Manakala insurans perubatan pula bermaksud insurans atau perlindungan yang merangkumi keseluruhan atau sebahagian daripada risiko yang melibatkan perbelanjaan perubatan dan kesihatan.
Insurans perubatan ada kepentingannya yang perlu diketahui oleh orang ramai. Hari ini, insurans atau takaful perubatan menjadi satu keperluan utama.
Bukan hanya insurans perubatan melibatkan kos yang tinggi, malah juga beberapa pertimbangan lain perlu diberi perhatian.
Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat yang dikenali sebagai mySalam.
Perlindungan yang ditawarkan oleh mySalam disasarkan kepada golongan B40 yang layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Ini bermakna, para penerima BSH layak secara automatik untuk memohon skim perlindungan kesihatan tersebut.
Di Malaysia, golongan B40 atau Bottom 40 dikategorikan sebagai kumpulan isi rumah terendah dengan purata pendapatan bulanan seisi rumah di bawah RM4,850.
Seramai 3.69 juta atau 40 peratus daripada penduduk negara ini dikategorikan sebagai golongan B40.
Inisiatif kerajaan memperkenalkan mySalam adalah bertujuan untuk menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada golongan B40 yang berumur 18 hingga 65 tahun.
Setakat 2020, mySalam telah memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 penduduk Malaysia sejak ia diperkenalkan pada 2019.
Faedah yang ditawarkan mySalam ialah RM50 elaun hospital harian sehingga tempoh 14 hari dan pembayaran tunai RM8,000 dibayar sekali seumur hidup apabila penerima menghidap satu daripada 45 jenis penyakit kritikal yang disenaraikan di laman sesawang mySalam.
Sekiranya ketua isi rumah menghidap penyakit kronik seperti kanser, secara langsung, ia akan memberi kesan kepada anak dan isterinya.
Pesakit boleh membuat tuntutan daripada mySalam bagi membantu meneruskan kelangsungan hidup sementara dirawat di hospital.
Setakat ini, manfaat di bawah skim mySalam hanya merangkumi hospitalisasi di semua hospital kerajaan, hospital universiti dan hospital tentera yang disenaraikan.
Skim berkenaan yang dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip Syariah sedikit sebanyak membantu meringankan beban kos rawatan pesakit.
Kos perubatan yang semakin meningkat dikatakan sebagai sebab utama pentingnya untuk seseorang individu mengambil insurans perubatan.
Secara umumnya, ramai yang tidak sedar bahawa kebanyakan kos perubatan kesihatan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Malah, setiap kos perubatan yang ditanggung bukan hanya melibatkan kos rawatan sahaja, malah termasuk kos konsultasi bersama doktor, perkhidmatan juru rawat, bayaran ubatan-ubatan serta peralatan perubatan yang dikenakan.
Oleh yang demikian, perkhidmatan insurans atau takaful perubatan yang dilanggan dapat mengurangkan beban kos rawatan yang ditanggung.
Pelanggan insurans tidak perlu menghabiskan wang gaji dan simpanan semata-mata untuk membayar kos rawatan kerana pihak insurans akan membayarnya bagi pihak pelanggan.
Perubahan gaya hidup dan tabiat pemakanan yang semakin membimbangkan juga antara sebab untuk seseorang individu mendapatkan insurans perubatan.
Gaya hidup tidak sihat yang melibatkan tabiat pemakanan tidak seimbang, persekitaran pekerjaan dan faktor pencemaran alam sekitar menyumbang kepada peningkatan risiko untuk menghidap penyakit kronik seperti kanser, masalah pernafasan, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.
Rawatan untuk penyakit-penyakit kronik tersebut sememangnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa insurans perubatan membenarkan pelanggan mendapat potongan cukai.
Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memberikan keutamaan mendapatkan pelepasan cukai kepada mereka yang mengambil takaful atau insurans perubatan.
Selain itu, sesetengah insurans perubatan turut memberikan manfaat tambahan seperti bayaran kos ambulans, kos jagaan harian di wad, kelas wad, pemeriksaan kesihatan serta kos vaksin tertentu.
Insurans perubatan turut memberi kelebihan apabila seseorang pesakit ingin dimasukkan ke hospital swasta kerana tidak perlu menunggu giliran yang terlalu lama.
Berbeza sekali dengan hospital kerajaan, jumlah pesakit yang ramai kadang-kadang memerlukan pesakit terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan disebabkan hospital kerajaan tidak dapat menampung jumlah pesakit yang begitu ramai setiap hari.
Faktor jangka hayat yang semakin meningkat juga merupakan antara sebab pentingnya untuk mengambil insurans perubatan.
Kajian menunjukkan jangka hayat penduduk Malaysia akan bertambah pada tahun-tahun mendatang.
Ia bermakna, peratusan rakyat Malaysia yang berusia lebih daripada 55 tahun juga akan semakin bertambah.
Situasi tersebut juga bermakna,semakin tinggi jangka hayat individu, semakin merosot jugalah tahap kesihatannya dan keperluan untuk menjaga kesihatan warga emas juga akan semakin meningkat.
Dalam situasi ini, insurans perubatan boleh membantu seseorang mengatasi masalah kekurangan dana penjagaan kesihatan di hari tua kelak.
Di bawah skim mySalam, hasrat kerajaan adalah ingin menyediakan sebuah skim perlindungan kesihatan sosial untuk membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan mengatasi masalah kewangan apabila menghidapi penyakit-penyakit kritikal.
Antara lain, perlindungan takaful adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu dan memudahkan golongan berpendapatan rendah untuk menjalani kehidupan yang normal apabila berhadapan dengan cabaran kewangan akibat daripada penyakit yang dihidapi.
Skim mySalam juga merupakan batu loncatan untuk kerajaan mula menyediakan jenis-jenis perlindungan bagi melindungi mereka yang sangat memerlukan berdasarkan kemampuan kewangan semasa kerajaan.
Oleh itu, skim tersebut harus dianggap sebagai hanya sebahagian daripada program kerajaan untuk memperbaiki keadaan kesihatan sosial rakyat negara ini.
Skim mySalam dirancang berdasarkan pada dapatan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Bank Negara Malaysia bahawa ramai rakyat Malaysia berpendapatan rendah tidak mendapatkan rawatan perubatan kerana tidak mempunyai simpanan kecemasan dan juga kehilangan mata pencarian apabila menjalani rawatan di hospital.
Oleh yang demikian, pembayaran RM8,000 di bawah skim mySalam diharap dapat memberi sumbangan yang substantif untuk rawatan perubatan penyakit kritikal yang diperlukan di hospital kerajaan.
Pendapatan gantian sebanyak RM50 sehari hingga 14 hari setahun adalah bagi menggalakkan pesakit untuk mendapatkan rawatan, terutamanya untuk ketua isi rumah supaya berusaha menjadi lebih sihat tanpa perlu risau akan kehilangan pendapatan sepenuhnya dalam tempoh tersebut. Inisiatif daripada kerajaan ini seharusnya diambil peluang oleh golongan B40 yang layak memohon kerana ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban tanggungan kos perubatan.