- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Inisiatif Bandar Pintar Menjadikan Kehidupan Lebih Selesa

Must read

Sarawak bercadang untuk membangunkan aplikasi Bandar Pintar atau Smart City untuk meningkatkan perkhidmatan-perkhidmatan awam di beberapa buah bandar utama di negeri ini dengan menjadikan bandar raya Miri sebagai model pertama.

Beberapa aplikasi pintar sudah pun dilaksanakan di bandar raya Miri dan buat masa sekarang, sistem pengumpulan sampah dan sistem maklumat pintar sedang dilaksanakan di bandar raya tersebut yang akan mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan.

Pada masa yang sama, satu pelan induk Bandar Pintar sedang dibangunkan untuk bandar raya Kuching yang turut meliputi kawasan Darul Hana, Petra Jaya.

Pelbagai infrastruktur dan teknologi yang diperlukan termasuk pusat arahan (command centre) akan dimasukkan ke dalam projek Bandar Pintar Kuching.

Inisiatif-inisiatif Bandar Pintar lain yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat juga telah dilaksanakan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) seperti e-dompet Sarawak Pay dan sistem identiti tunggal untuk perkhidmatan atas talian dengan pengguna direkodkan seramai 290,000 orang.

Selain itu, sistem lampu isyarat pintar sedang dilaksanakan yang mampu mengurangkan tempoh perjalanan sebanyak 30 peratus menjelang 2022.

Sebagai permulaan, sebanyak 140 buah simpang telah dikenal pasti di kawasan Greater Kuching untuk dipasangkan dengan lampu isyarat pintar dan akan dilaksanakan di Bintulu, Miri dan Sibu untuk peringkat seterusnya.

Bandar Raya Miri – melaksanakan pelbagai inisiatif teknologi dan digital untuk mentransformasinya menjadi bandar pintar

Satu lagi aplikasi dalam inisiatif Bandar Pintar yang sedang dibangunkan adalah Pusat Operasi Bersepadu Sarawak dan platform CCTV yang bertujuan untuk mengukuhkan maklumat dalam pemantauan dan pengurusan bencana, keselamatan dan pembangunan di negeri ini.

Secara umum, konsep Bandar Pintar bermula dari pelaksanaan idea untuk pengurusan sumber dan alam bina yang lestari dan mesra pengguna.

Hari ini, konsep Bandar Pintar semakin popular di seluruh dunia dan dibangunkan dengan perkembangan penggunaan teknologi yang lebih efisien dan menyeluruh, seterusnya meningkatkan fungsi kecekapan dan produktiviti pengurusan sesebuah bandar raya.

Antara aspek-aspek yang termasuk dalam peralihan kaedah dan amalan semasa ke dalam sistem yang lebih efisien merangkumi aspek pengangkutan awam, pengurusan trafik, pengurusan sisa dan pembuangan sampah, pengurusan tenaga elektrik, pengurusan data pengguna, keselamatan awam dan kesejahteraan sosial masyarakat.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), faktor-faktor yang mendefinisikan Bandar Pintar adalah, penggunaan teknologi digital dan elektronik yang meluas dalam kalangan komuniti di bandar, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mentransformasi kehidupan dan suasana kerja dalam sesuatu wilayah, penyatuan ICT dalam sistem kerajaan dan penggabungan amalan yang membawa ICT dan masyarakat bersama-sama untuk meningkatkan inovasi dan pengetahuan yang mereka tawarkan.

Manakala Frost and Sullivan (2014) pula mengenal pasti lapan aspek yang mentakrifkan konsep Bandar Pintar, iaitu tadbir urus pintar, tenaga pintar, bangunan pintar, infrastruktur pintar, mobiliti atau pergerakan pintar, teknologi pintar, penjagaan kesihatan pintar dan warga kota pintar.

Beberapa bandar raya di dunia dilihat seakan pantas menjadi ‘pintar’. Bandar raya Singapura yang merupakan model terbaik Bandar Pintar di dunia menggunakan kamera trafik pintar yang dapat menghadkan aliran trafik bergantung pada jumlah dan memudahkan perjalanan beribu-ribu pengguna pangangkutan setiap hari.

Di Kaunas, Lithuania, kos tempat letak kereta didebit secara automatik dari akaun bank pemandu apabila mereka meletakkan kenderaan.

Di kebanyakan bandar lain di seluruh dunia, jadual perjalanan bas awam diumumkan di setiap hentian bas dengan ketepatan masa yang hampir sempurna.

Hari ini juga seperti menjadi kebiasaan di bandar raya di serata dunia yang menyediakan WiFi percuma yang boleh diakses seperti di Buenos Aeries, Argentina dan Ramallah, Palestin.

Walaupun belum ada piawaian yang mendefinisikan Bandar Pintar sebenar, namun matlamat pewujudan Bandar Pintar adalah untuk memacu misi dalam memajukan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan pembangunan dan pembangunan semula sesebuah kawasan.

Oleh itu, penggunaan teknologi dimanfaatkan untuk menghasilkan sistem pengurusan pintar yang lebih efisien di bandar raya yang akan meningkatkan infrastrukur dan perkhidmatan serta menyumbang dalam menjadikan sesebuah bandar lebih selesa untuk didiami.

Begitulah halnya dalam konteks Sarawak, iaitu matlamat inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dan sedang dibangunkan setakat ini adalah untuk menjadikan bandar raya mahupun bandar di negeri ini lebih selesa untuk didiami seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat. Biarpun sistem pintar bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan sumber kewangan yang besar, namun, komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pelbagai inisiatif teknologi dan digital untuk mentransformasi bandar raya Miri dan Kuching sebagai Bandar Pintar memerlukan usaha sama daripada kerajaan, sektor swasta atau pemaju sistem dan masyarakat.

Artikel ini disesuaikan daripada artikel asal yang pernah dipaparkan dalam terbitan bercetak RAKAN Sarawak Januari-Mac 2020

Inisiatif Bandar Pintar Menjadikan Kehidupan Lebih Selesa
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article