- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Berkhidmat Dengan Semangat Kebangsaan

Must read

Rakyat Sarawak diseru supaya berkorban dan memberi khidmat dengan ikhlas bersama kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 yang sedang melanda negeri dan negara.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, sempena negara menyambut bulan kemerdekaan, khidmat yang dicurahkan kepada negeri dan negara perlu berbekalkan semangat kebangsaan di bawah naungan bendera kebangsaan Jalur Gemilang.

Kerajaan Sarawak jelas beliau tidak akan menyerah kalah dan berputus asa dalam memerangi COVID-19 yang masih menular.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya, Kuching pada 16 Ogos 2021.

Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sebagai simbolik pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri

Majlis turut dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan serta Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion.

Menyentuh mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Ketua Menteri memaklumkan Sarawak muncul antara negeri yang hampir mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan.

Pemberian vaksin yang dijalankan di bandar hingga ke kawasan yang jauh terpencil seperti di Long Singut, Ulu Baleh menjadikan negeri ini mendahului negeri-negeri lain.

Usaha yang dijalankan merupakan dasar utama Kerajaan Sarawak mempercepatkan pemberian vaksin dalam komuniti dalam memerangi wabak berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Sarawak atas usaha mereka yang bertungkus lumus dengan mengorbankan segala kepentingan diri dan keluarga untuk memastikan seluruh rakyat selamat daripada jangkitan wabak tersebut.

Kerajaan Sarawak tegas beliau akan sentiasa memandang serius betapa perlunya usaha keras digemblengkan oleh semua pihak yang terlibat dari semasa ke semasa dalam memerangi COVID-19 sehingga keadaan dalam negeri ini kembali normal pada masa akan datang.

Sejumlah RM5.3 bilion juga telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat di bawah program Bantuan Khas Sarawakku Sayang dari (BKSS) 1.0 hinggalah ke BKSS 7.0.

Beliau berharap supaya bantuan tersebut termasuklah bantuan Prihatin Nasional daripada Kerajaan Persekutuan dapat memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

Sarawak juga merupakan negeri pertama yang memperkenalkan pelan pemulihan ekonomi Pasca COVID-19 melalui Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Selesai majlis pelancaran, Ketua Menteri turut menyempurnakan upacara ‘flag-off’ Konvoi Jalur Gemilang yang disertai oleh 22 buah kenderaan daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di perkarangan bangunan DUN.

Antara agensi yang terlibat ialah JaPen Sarawak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Jabatan Penyiaran Sarawak (RTM), Polis Diraja Malaysia, Pos Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak, BERNAMA dan Perbadanan Filem Nasional (FINAS) Sarawak.

Konvoi berkenaan telah melalui perjalanan sejauh 34.4 kilometer mengelilingi bandar raya Kuching. Laluan bermula dari Jalan Diplomatik, iaitu dari pejabat JaPen Sarawak-Dewan Undangan Negeri Sarawak –Jalan Astana, Jalan Tun Abdul Rahman Ya’kub, Jalan Muhibbah (Kampung Dagok, Kpg No 3, Kpg No 4, Kpg No 6) – Jalan Datuk Ajibah Abol (Kpg Masjid) – Jalan Market – Jalan Main Bazaar – Wayang Street – Jalan Tabuan – Jalan Simpang Tiga – Bulatan Simpang Tiga– Jalan Tun Abd Razak – Jalan Datuk Merican Salleh – Jalan Tun Salahuddin Bridge –Jalan Demak dan berakhir di JaPen Sarawak.

Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri yang diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 16 Ogos 2021
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article